Saturday, December 15, 2012

Menggapai CintaNya

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani




Alhamdullilah.
Masih dikurniakan nikmat tanpa henti sepanjang berada di dunia ini
Masih dibekal dengan Iman dan Islam walau penuh duri yang menerjah
Masih dibelai dengan kasih, sayang dan cinta dari Pemilik Cinta


Allahu Akbar


Setelah segala nikmat ini, mengapa, mengapa dan mengapa kita sebagai hambanya sering saja tidak tahu berterima kasih!?
Mengapa kita sering saja mudah lupa akan kasih dan cintaNya yang tidak pernah kering kepada hamba-hambanya?
Mengapa kita begitu senang dialpakan dengan semua ini?


Duhai air mata, mengalir lah..
Duhai air mata, deraslah tanpa ditahan
Duhai air mata, tumpahlah atas nama taqwa
Duhai air mata, percayalah
bahawa air mata ini akan menjadi bukti
untuk terlepas dari seksa api yang membakar


Allah berkata dalam hadith Qudsi:

Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta, sesiapa yang mendekatiKu sehasta, maka akan Aku dekat padanya sedepa, dan sesiapa yang datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan berlari-lari kecil" 
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Allahu Akbar!
Siapakah kita kepadaNya?
Allah dengan segala MahaKuasanya berkenan menunjukkan rasa cintanya kepada kita.
Siapakah kita?
Sehingga Dia menandatangi kita dengan sedemikian rupa? 
 T_T


CintaNya dibuktikan lagi seperti sabda Nabi:
Rabb turun ke langit dunia, di sepertiga akhir dari malam hari, lalu berkata, 'Adakah orang yang meminta kepadaKu, untuk Aku penuhi permintaannya?, adakah manusia yang memohon kepadaKu, untuk Aku ampuni dosa-dosanya?, adakah yang memohon taubat kepadaKu untuk aku terima taubatnya, dan adakah yang berdoa kepadaKu, untuk Aku kabulkan doanya?'"
(HR. Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad)

dan seperti sabdanya, ia terjadi pada "setiap malam"


Subhanallah! Allahuakbar


Allah! Gapaikan kami pada cintaMu, agar tegar cinta kami menuju jalan redhaMu. 










Rujukan: Hati sebening mata air, Amru Khalid, 2006

Sunday, October 21, 2012

Ajaibnya Doa!



"Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara manusia dengan tuhan. Bila-bila masa, siapa saja insan itu, di mana saja dia berada, bangsa apa, keturunan apa dia, siapa mak bapanya, siapa datuk neneknya, jika dia ingin berhubung dengan Allah azzawajalla atau kembali kepada Allah, maka tidak pernah ada halangan!"



Masih terngiang-ngiang kata-kata Dr. Mohd Asri bin Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan nama Dr. Maza, seorang ilmuwan dan tidak salah jika saya gelarkan dia sebagai ulama' muda yang cukup terkenal dengan kelantangan beliau bersuara. Oh. Bukan perihal beliau yang ingin saya kongsikan tetapi, apa yang beliau sampaikan melalui video yang saya tonton dalam lebih kurang 11 minit itu benar-benar menyedarkan saya bahawa suatu doa seorang hamba kepada tuhannya adalah telus dan terus. Tanpa halangan!

Video Dr Mohd. Asri



Sungguh, tatkala kedua tangan menadah ke langit, mata menatap erat kedua tapak tangan, ketika itulah manusia berhubung terus dengan Tuhannya. Tiada perantaraan atau medium di antara manusia dengan tuhannya. Hanya Doa! Doa yang membuatkan manusia itu, terus dekat dan berhubung dengan pemilik alam semesta, Allah Azzawajalla!


Manusia tidak perlu kepada patung-patung atau berhala-berhala atau segala kelengkapan makanan dan manisan mahupun kertas-kertas yang perlu dibakar untuk terus berhubung dengan tuhannya. Hanya DOA!


Berdoalah kepada Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina"
(Surah al-Ghafir,40 : 60)




Subhanallah! Sungguh Islam benar-benar suatu agama yang syumul! (sempurna). Allah, rahmati kami dan bukakanlah pintu hati kami untuk terus berdoa kepadamu, walau apa jua keadaan sama ada ketika kami susah mahupun di kala senang. Kerana, terhalangnya hati daripada berdoa adalah lebih malang, daripada doa yang tidak makbul.



Memetik kata-kata penulis 'cinta', Ustaz Pahrol Mohd Juoi,  

Percayalah. Allah mendidik (mentarbiyah) manusia melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan"


Apabila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Apabila kesenangan bertamu, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang seorang manusia untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi, apabila si kaya menjengah, usah pula terjejas sifat qanaah (merasa cukup dengan segala kurniaan Allah). Ingat! Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.

(Pahrol Mohd Juoi)


Dan Kami pasti akan menguji kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira, kepada orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah, 2: 155)


Maka ingatlah kepada Ku, Aku pun ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada Ku"
(Surah al-Baqarah, 2: 152)



p/s: Jom berdoa! =)



Rujukan: Novel Nota Hati Seorang Lelaki, Pahrol Mohd. Juoi.

Monday, October 15, 2012

Aku Milik Siapa


Kepekatan malam semakin menelan 
Cebisan terakhir terang di kalbu,
Namun masih tidak menghuni lagi
lena di kelopak sepasang mata,
Minda tidak terpadam,
Menikam-nikam persoalan
yang makin membiru tanpa jawapan,
Tenang yang di cari, namun badai yang memukul
Membalas kembali
menanya kembali garisan persoalan yang tidak berbalas,
Milik siapa diriku?


Nampak senang 
namun tiada ulasan yang melengkapi persoalan
Apakah aku milik Adam dan Hawa yang sejiwa
dalam permainan gelongsor yang mengasyikkan itu?
Apakah aku milik kepingan kertas bernilai
yang aku bakar untuk menikmati sebatang rokok
lalu meniti laluan maut biarpun aku sedar hakikatnya?
Perawan suci anggun wajahnya,
Jerawat manis di dinding pipi menambah lagi jelitanya,
Bibirnya yang merah bagaikan delima merekah,
Di kala hati terluka lara dialah pengubat segala derita kecewa,
Apakah aku milik kekasih hati?
Nampak lengkap, tetapi masih tidak dapat
membayangi persoalan yang ku cari.....
Aku milik siapa sebenarnya?!


Dalam aku termangu tanpa jawapan
di kamar yang berteman gelap gelita,
Tiba-tiba sebutir nur mula menerangi segalanya
Dalam terang nur yang sungguh indah tak terbilang,
Laungan sebuah suara menjawab dan 
membuka simpul mati pada persoalan yang ku cari.


Wahai manusia!
Jasadmu milik tujuh kaki di bawah tanah,
Dan temanmu adalah liang lahad
yang indah berukir ayat suci al-Quran
Engkau sebenarnya adalah rohmu,
Pemilik abadinya ialah Azza wa Jalla,
Allah yang maha berkuasa dan maha mencipta,
Terpadam nur,
menghilang suara!
Namun terjawab sudah apa yang dicari
Surutlah gelora di hati dan minda,
Apa yang kuterima ini adalah hikmah, 
Syukur tak terhingga,
Ya Allah terangilah hati ini, 
Apabila badai memukul laluan hidup hamba yang lemah ini,
Tanpa-Mu siapalah aku,
Kini ku sedar milik siapa diriku,
ALLAH, Kaulah Pemilik segala aku..  


Nukilan,

Ganesh a/l Krishana Moorthy (Garry)


[Sama-sama kita  mendoakan moga penulis ini memperoleh cahaya hidayah dan kembali kepada agama fitrah. InsyaAllah. Amin ya rabb]


Allah, Sungguh hidayah adalah milikmu.



Sumber: Majalah Solusi Isu No. 39




....segala urusan itu milik Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa sekiranya Allah mengkehendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya."

(Ar ra'd, 13 : 31)

Thursday, September 6, 2012

Syurga buatmu




Senyumnya tidak pernah lekang

Jernih matanya sentiasa bersinar

Sesucinya wajahnya umpama air wuduk yang tidak pernah kering

Lembut tutur katanya pada setiap bait yang dilantunkan

Ketegasan lambang kehormatan

Langkahnya tersusun pantas dan teratur

Seolah-olah menyaksikan bidadari dunia!


Jika mampu ku lukiskan

Murninya akhlaknya

Entah  bagaimana mahu diterjemah

Jika mampu ku lukiskan tingginya adabnya

Entah bagaimana mahu dipamerkan

Jika dapat ku gambarkan bersihnya hatinya

seperti seputih salju yang gugur



Aku melihat seolah-olah

Sebuah taman Syurga nan indah dan abadi

Menanti penuh syahdu

Bersama bunga-bunga yang mekar dan harum mewangi

Seolah-olah melambai-lambai

Penuh sabar menyaksikan penghuninya bakal melangkah

Bersama semilir angin yang lembut menyapa


Berbahagialah mereka yang berakhlak mulia

Damailah mereka menanti Syurga penuh cinta

Tenanglah mereka atas segala budi dan adab yang terlaksana

Subhanallah!

Aku juga mahu ke sana

Menuju pengakhiran yang pasti

Mengadap wajahNya

Penuh ikhlas dan redha.


Tuhanku, Aku TIDAK LAYAK masuk SyurgaMu, namun tidak berupaya menghadapi API NERAKAMU, terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku"

Nabi saw bersabda,

Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya"
(HR At -Tirmidzi)


Penyebab utama masuknya manusia ke dalam syurga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya"
(HR At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

 Dalam hadith lain, Nabi SAW turut bersabda,

Mukmin yang paling sempurna imannya, adalah orang yang paling baik akhlaknya"
(HR Abu Dawud)

Akhlak Bunga Diri


TEMPAT MU DI SYURGA


Banyak orang berbondong-bondong mendatangi rasulullah, mereka bertanya. "Wahai Rasullulah, Fulanah menjadi buah bibir kerana rajin solatnya, puasanya dan zakatnya, padahal ia menyakiti tetangganya". Rasullulah menjawab, "Tempatnya di Neraka". Kemudian disebutkan pada nabi wanita lain yang menjadi buah bibir kerana sedikit solatnya, puasanya dan zakatnya sedangkan dia tidak pernah menyakiti para tetangganya, Maka jawab nabi, "Tempatnya di Syurga"

(HR Ahmad)


Bila berbicara mengenai syurga, hati sungguh merasa tenang. Perkataan syurga itu bagi saya amat istimewa. Beruntung lah mereka yang akhlaknya terjaga, hatinya bersih dari segala noda kekotoran. Ia bukan perkara mudah! Akhlak adalah segala-galanya dalam membangun jiwa dan pekerti menuju syurganya yang kekal abadi. Seperti sabdanya, meskipun dia mengerjanya solat, berpuasa dan menunai zakat, tetapi menyakiti jiran dan tetangganya, nauzubiilah, tempatnya di Neraka!

Allah!. Moga kami tidak tergolong dalam golongan itu.


DOA

Mari kita sama-sama amalkan doa nabi ini, agar sentiasa terpelihara akhlak dan pekerti kita menuju syurgaNya yang penuh cinta. InsyaAllah.

Dan berilah hidayah padaku, agar baik akhlakku. Tiada yang mampu memberi hidayah untuk memperbaikinya kecuali Engkau"

************************
Ya Allah, perbaikilah akhlak ku, sebagaimana engkau menciptakanku sebaik-baik ciptaan"
 Amin ya rabb.



Masuklah ke (dalam syurga) dengan aman dan damai, Itulah hari yang abadi. Mereka di dalam memperoleh apa yang mereka kehendaki, dan Kami ada tambahannya"
(Surah Qaf, 50: 34-35)



Sumber rujukan:  Semulia Akhlak Nabi, Amru Khalid. 2006.






Wednesday, July 18, 2012

Allah itu dekat

Allah. Hanya itu yang mampu terucap. Allah, pengizin segalanya. Allah, Azzawajalla. Penentu segalanya. Yang mengetahui lahir batin setiap hambanya. Kerana sesungguhnya, Allah itu amat dekat.

Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat leher.
(Surah Qaf: 16)


Apabila kita telusuri setiap langkah dan perjalanan dalam kehidupan sehari-hari, adakah pada setiap saat itu, kita telah merasai bahawa Allah itu ada?
Adakah kita telah merasai bahawa sesungguhnya Allah itu amat dekat?
Adakah kita telah merasai kehadiran DIA pada setiap hela nafas ini?
Adakah sudah kita merasakan cukup, dengan adanya Allah sebagai sebaik-baik penolong?
Sebagai sebaik-baik tempat kita meletakkan kebergantungan?



Oh. Terkadang kita GAGAL untuk menghadirkan perasaan dan hati itu hanya untuk Dia semata-mata. Kita gagal menempatkan hanya Dia yang selayaknya berada di hati. Hanya Dia selayaknya untuk dipuji dan disebut-sebut. Maka, kalaulah telah ada kesedaran kita sebagai hambanya yang telah bersyukur, maka semaklah kembali pada setiap niat yang dilintaskan di hati. Semak kembali niat dan lintasan hati, pada setiap kali kita memulakan apa jua perbuatan. Moga barakah Allah sentiasa bersama kerana Allah tidak pernah melupakan hamba-hambanya, sebaliknya hamba-hambanya yang sering melupakan siapa Pencipta dan Pemberi rezekinya.


RINDU



Oh. Betapa aku rindu untuk menangis di hadapanMu. 
Betapa aku rindu untuk memujaMu di tengah malam yang penuh syahdu, sunyi dan penuh damai. 
Betapa aku merindukan saat-saat indah melantunkan ayat-ayat suci, saat embun mulai menitis lembut lalu gugur ke tanah.Oh.. 



Maka, kepadaMu daku bermohon, dikurnia kekuatan untuk merasai nikmat beribadah kepadaMu, di bulan penuh barakah. Untuk merasa nikmat memadu kasih bersamaMu ya Rabb. Lalu merasai keindahan dan kesyahduan pada setiap amalan. Merasa kemanisan ibadah bersama jiwa dan raga. Bismillah..



Ahlan Ya Ramadhan....



Dan apabila hamba-hambaKu bertanya, kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku Dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada Ku"
 (Al Baqarah, 2:186)

Maka, ingatlah kepada Ku, Aku pun ingat kepadamu"
(Al Baqarah, 2:152)

Sunday, June 17, 2012

1001 nikmat

Begitu banyak dan tidak terhitung nikmat yang maha Agung! Oh, betapa kita seronok menikmati segala kesenangan ini, namun ada saudara seakidah yang masih tidak ketahuan nasib dan makan minumnya! Dan Sejauh mana kita mensyukuri 1001 nikmatnya? Sejauh mana kita menjadi hambanya yang benar-benar telah berterima kasih? T_T


Alhamdullilah, Allahuakbar,

Sebenarnya jika difikir dan mahu disenaraikan segala kurniaan yang Allah kurniakan pada kita, tidak langsung dapat disenaraikan. Sedari kita ditiupkan ruh di alam rahim itu, nikmat yang Maha Besar sudah bermula. Kasih sayangnya sudah disemai buat bakal umat nabi Muhammad! Di alam rahim itu, Allah melindungi dengan kukuh bersama si ibu, yang padanya barakah dan rahmat. Disirami dengan zat-zat dan nutrisi agar ia bertumbuh dan berkembang menjadi segumpal daging yang seterusnya Allah kasihkan dengan tulang temulang dan segala urat saraf yang menjalar. 



Tidak cukup dengan itu, Allah mengurniakan satu alat yang menjadi nadi seorang manusia iaitu jantung untuk terus bernyawa dan terus bernafas hatta di luar alam nyata berserta organ-organ yang cukup unik. Sampai masa, lahirnya si kecil berteriak tanda syukurnya pada yang Maha Esa yang telah menyampaikannya pada dunia nyata. 



Nikmat Tuhan belum berhenti dan tidak akan berhenti. Si kecil, dikurnia para ibu bapa yang padanya Allah titipkan rasa kasih, sayang dan simpati agar si kecil dijaga, dibelai, dipelihara penuh kelembutan. Di cukupkan makan dan minum, tempat berlindung dan segala segi aspek fizikal. Ah! tidak perlu diceritakan betapa segalaNya adalah dengan izin dan kasihnya Allah pada hamba-hambanya.



Sesungguhnya segala kenikmatan yang Allah kurniakan adalah pinjaman semata. Yang kadangkala Allah selangselikan dengan sedikit ujian, agar kita tidak dibiarkan terus lena melayari segala nikmatnya. Agar kita beringat! Tapi, berapa ramai yang menyedarinya? Kadang-kadang, kita ditimpa dengan pelbagai bentuk ujian, sakit, kemalangan, kehilangan yang pada ketika itu nikmatNya sedang memuncak. Kita mengeluh, apa semua ini?


Maka ingatlah kembali pada segala nikmat yang tercurah sebelum ini. Mungkin ujian ini sebagai kafarah, pada noda dan dosa yang terkadang kita melakukannya tanpa sedar atau sekalipun sedar. Kerana itu, teruskanlah berterima kasih, teruskanlah bersyukur kerana ianya umpama peringatan halus datang terus daripadaNya.



Aneka Kurnia


Ketahuilah, kurniaNya cukup beraneka. KurniaNya bukan setakat duniawi sahaja, malah mencakupi segala segi. Kurnia nikmat dunia, sudah tentunya kesihatan yang baik, harta dan sumber pendapatan yang halal, juadah yang beraneka, keamanan yang dikecapi hatta senafas udara yang disedut! Malah air tidak putus-putus kita gunakan pada setiap ketika. Belum kita campur dengan kejadian alam yang cukup membuka mata hati bagi mereka yang mahu berfikir. Allahuakbar.



Nikmat Iman dan Islam adalah nikmat cukup besar! Kita dilahirkan terus sebagai Islam yang padanya kita mengenal Allah, mengenal Rasul, serta menatap naskhah hebat al Quran. SubhanAllah. Dan Allah telah memilih kita untuk diberikan kekuatan untuk terus beriman dan beramal padaNya! 



Dan ketahuilah nikmat yang dinanti oleh semua penghuni syurga ialah nikmat akhirat yang padanya kekal. Itulah ganjaran buat mereka yang bersyukur saat diberi nikmat di dunia. Ganjaran syurga yang Allah ciptakan tidak akan sama nilainya dengan amalan manusia di dunia. Dengan segala sifat pemurahNya, Allah mengurniakan kadar pahala yang jauh lebih bernilai dengan telah dikerjakan di dunia. Oh syurga! Tidak akan terbayang keasyikannya! Allahuakbar.




Jika kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya"
(Surah Ibrahim, 14 : 34)


Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabku amatlah berat" 
(Surah Ibrahim, 14: 7)


Jom jadi Ahli Syukur. :)


Nota: Diubah suai dari solusi isu no 43, tulisan Pahrol Mohamad Juoi.

Saturday, June 9, 2012

Kasih Seorang Rasul

Kisah ini saya bawakan dari buku Semulia Akhlak Nabi karangan Amru Khalid di bawah tajuk Tawadhu'. Tertarik untuk berkongsi bagaimana halusnya kasih sayang baginda terhadap kanak-kanak perempuan ini yang cukup menyentuh hati.


********************


Jumlah wanita dalam Perang Khaibar waktu itu ialah sebanyak 20 orang. Di antara mereka, ada seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil. Nabi saw lalu bersabda kepada kanak-kanak ini.

Kemarilah, naik di belakangku"

Jarak tempoh perjalanan pada ketika itu ialah 90 km. Para sahabat menceritakan,


Jika nabi ingin beristirehat baginda menurunkan kanak-kanak perempuan ini dari atas unta dengan mengarahkan unta tersebut berlutut, lalu beliau berkata, "Hulurkan tanganmu" Demikian nabi saw menurunkan kanak-kanak kecil ini.


Kanak-kanak perempuan itu menceritakan,

ketika perang telah tamat dan kemenangan berpihak pada kaum muslimin, aku melihat Rasulullah saw membahagi-bahagikan harta rampasan perang. Tatkala melihatku, baginda bersabda "Kemarilah" Aku menghampiri baginda, lalu baginda mengeluarkan seuntai kalung seraya berkata kepadaku "pakailah kalung ini" 

Ketika aku ingin mengambil kalung tersebut dari baginda untuk ku pakai, tiba-tiba baginda bersabda,

Jangan! Aku akan memakaikannya untukmu. Maka Rasullulah saw memakaikan kalung tersebut ke leherku. "


Kanak-kanak perempuan ini lalu berkata, " Demi Allah, selepas ini, kalung ini tidak akan terlepas dari leherku untuk selamanya kerana aku telah bertekad agar ia terkubur bersamaku kelak, sampai datang hari kiamat. Pada hari itu (kiamat), aku akan mengatakan pada Rasullullah, "Kalung ini, wahai Rasullulah."


Begitulah kisah sebuah ketulusan hati nurani Rasulullah yang berlaku pada 1400 tahun yang lalu. Betapa ketawadhukan baginda sungguh luar biasa. Hatta terhadap kanak-kanak, fakir miskin, orang tua dan segenap lapisan masyarakat.



Lawan kepada sifat tawadhu ialah sombong. Ayuh kita sama-sama berdoa agar tidak sesekali merasa lebih hebat dari yang orang lain. Nabi saw mendefinisikan kesombongan sabdanya,

Kesombongan itu menolak kebenaran dan merendahkan martabat manusia"

Nabi saw turut bersabda,


Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun seberat zarah (sebiji sawi). "

Nauzubillahi min zalik! Moga kita dijauhkan. Tetapi terus didekatkan dengan jalan-jalan menuju pintu-pintu syurga yang serba indah dan sempurna.. InsyaAllah.


Penulis Amru Khalid mengakhiri topik tawadhu' ini dengan iringan doa :

Ya Allah, kurniakan kami sikap tawadhu'....


Ya Allah, patrikan pada diri kami sikap tawadhu'....


Ya Allah kami berlindung dari kesombongan....


Ya Allah jauhkan kami dari sifat sombong....


Ya Allah tolonglah kami untuk selalu dapat berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah kepadaMu sebaik-baiknya....


Amin ya rabb


Entry Bajet Bagus ini juga berkisar tentang sifat riak, sombong dan takbur secara lebih praktikal. :)



p/s: Gambar sempena hari bapa yang bakal menjelma ( tak pasti tarikhnya bila, tak patut betul!).
Selamat Hari Bapa buat Abah. Terima kasih atas penat lelah dan pengorbanan. ^^
 

Thursday, May 31, 2012

Menjadi diriku

Tak seperti bintang di langit
Tak seperti indah pelangi
Kerana diriku bukanlah mereka
Ku Apa Adanya


Dan wajahku memang begini
Sikapku jelas Tak Sempurna
Ku akui ku bukanlah mereka
Ku Apa Adanya


Menjadi diriku
Dengan Segala Kekurangan
Menjadi diriku
Atas Kelebihanku...


Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku Hanya Insan Biasa
Ku pun tak Sempurna


Tetap ku bangga
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki






.:. Edcoustic : Menjadi diriku .:.


Dia menempatkan kita dalam lautan kelapangan, dan Dia membanjiri kita dengan limpahan kesenangan. Sesungguhnya, rahmat Ya Rahman Ya Rahim tidak bertepi. Maka sujudlah tanda kita sentiasa mengingati ILAHI. Alhamdullilah! " 


Monday, April 9, 2012

Hati seorang akhawat


Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Luarnya lasak serba mampu
Dalamnya mencari tempat mengadu

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Ingin dirinya dibiarkan lepas berdikari
Tapi bersembunyi disebalik ingin ditemani

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Kerjanya kuat menyeru pada tuhan
Jiwanya digirangkan seni dan sedikit hiburan

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Diserahkan dirinya atas jalan ilahi
Merelakan kasihnya dimiliki seorang lelaki

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Cuma hatinya bukan hanya untuk diri
Disitu ada tuhan, masyarakat, keluarga dan juga suami

Diambil dari penulis: Qayyim Hafidzi


Monday, March 12, 2012

It's His Plan

Assalamu 'alaikum.  

Bismillah.


Sudah agak lama tidak menjengah ke tinta ini. Lalu aku buka dan mem'bersihkan' sawang-sawang yang melekat. Agak terbatas sebenarnya peluang untuk mengakses internet di sepanjang minggu persekolahan. Ditambah dengan ketiadaan kemudahan wifi di sekolah dan di rumah sewa. Tidak mengapa. Tidak perlu mengeluh. Mungkin Allah mahu aku berehat seketika dari dunia siber yang penuh percikan dunia. Yang pernah dahulu membuat aku sedikit leka dan hampir-hampir tergelincir. Terima kasih Allah atas didikan ini. Atas didikan terus dari Allah, yang terkadang datang tanpa manusia sedar. 



Entah bagaimana hendak menterjemah segala isi di dalam hati. Kalau diterjemah rasa hati ke dalam bentuk lukisan mungkin lukisannya bercorak abstrak dan penuh warna warni. Sepanjang hampir 3 bulan berada di persekitaran yang baru, tempat kerja yang baru, rumah baru, kawan baru, terasa diri begitu kerdil. Tidak lagi bersama teman-temah sekuliah dan sahabiah-sahabiah berbulatan gembira. Benar-benar menguji diri. Sungguh. Di kala diri bersendiri. Ketika itulah, Allah menguji. Di mana tarbiyah yang dahulu kamu lakukan, di mana iman yang dipertahankan, di mana aurat yang dijaga, di mana akhlak dan peribadi yang dimuliakan. Dan ketika itulah semuanya akan terbukti dan diaplikasikan. 



Alangkah cantik susunan rancangan Dia. Dia menempatkan daku keseorangan bukan bermakna Dia tidak menyayangiku, malah tetap terus melindungiku, menutup aibku, menjaga makan minumku dan kesejahteraanku. Terima kasih Allah. Kerana sesungguhnya, Engkau mahu mendidikku, agar terus menggenggam kebergantungan hanya pada Mu.  Walau terkadang air mata tumpah tanpa sebab, tapi akhirnya lega. Lega kerana dari air mata yang Allah kurniakan ini, membuatkan daku tegar. Tegar untuk sentiasa berpaksi bahawa hidup ini adalah satu perjuangan mencari redha Allah. Perjuangan sebagai hambaNya dan khalifah dalam menyampaikan ilmuNya kepada agama dan bangsa. 





Pengalaman berhadapan dengan pelajar yang bermacam kerenah lebih-lebih lagi pelajar yang berada di kelas tercorot benar-benar berharga. Masa inilah sebenarnya yang perlu digunakan, untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai pendidik. Mengajar di kelas tercorot bukan lagi untuk mengharap mereka memperoleh A dalam mata pelajaran. Kalau itu yang terjadi, suatu bonus dan kejayaan yang cukup membanggakan. Tetapi sebenarnya, suatu usaha untuk menjadikan mereka insan dan manusia yang hidupnya mulia. Bagaimana menyuburkan mereka dengan keperibadian dan kemahiran agar mereka membangun sebagai generasi berakhlak biar pun sedikit kurang akademiknya. Suatu usaha menjadikan mereka 'suka' untuk ke sekolah dan belajar meskipun sedikit sahaja yang diperoleh pada hari itu. Kerana setiap dari mereka punya cerita tersendiri dan sejarah latar belakang yang berbeza. Sekadar perkongsian bersama. Pastinya guru-guru interim yang lain punya cerita dan strategi masing-masing kan? =)



Semuanya kan rancangan Dia. It's HIS plan. So, I just carry on and trust HIM. Thank you Allah. :)



Akhir kalam, saya kongsikan doa yang mana Rasullulah sering berpesan agar mengamalkannya.



 Ya Allah, Rahmatmu aku harapkan, janganlah kau serahkan urusanku kepada diriku sendiri, walau untuk sekelip mata, perbaikilah segala urusanku, tiada ilah yang berhak disembah selain Engkau.
(Sumber : Majalah Solusi) 



Janganlah Kau serahkan urusanku kepada diri sendiri. Kenapa begitu? Kerana sesungguhnya manusia itu bersifat lemah. Dan kepada Dia tempat bergantung.



Wallahua'lam.


_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Tuesday, January 3, 2012

Optimis


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


Sesungguhnya ilham dan buah fikiran datang dari Allah. Bukan datang dengan sendiri. Saya suka dengan perkataan optimis. Tetapi, untuk menyelongkar di sebalik makna perkataan itu, bukan kerja mudah. Memasuki tahun baru 2012, membuatkan diri tersentak dari lamunan yang panjang. Pada tahun ini, jika dizinkanNya, saya bakal memasuki alam berkerjaya. Amin. Moga dipermudahkan. Umur juga bakal meningkat. Ah! Ketepikan angka tersebut, kalau diri masih belum mampu menonjolkan bahawa anda kini  memasuki alam dewasa. Akhir remaja. Dan sudah tentu bagi seorang perempuan, emak dan abah sudah bertanya, "sudah punya teman atau tidak?" ....



Apa yang lebih penting, saya perlu sentiasa mengingatkan diri, matlamat saya diciptakan. Sentiasa refresh niat. Lebih-lebih lagi pada tahun baru 2012 yang saya jangka penuh dengan cabaran yang mendatang. Sentiasa bertanya apakah matlamat saya sebagai manusia di muka bumi, sebagai hamba Allah dan khalifah. 



Harapan saya, sudah tentu apabila sudah menjadi pendidik, saya berdoa agar saya menjadi pendidik yang bukan hanya menyampaikan kandungan subjek dan mata pelajaran, tetapi juga dapat mendidik mereka dengan nilai-nilai murni supaya mereka kenal siapa Allah. Agar mereka bukan Islam hanya pada nama, tetapi juga Islam pada segenap sudut. Ah! Mungkin saya belum cukup sempurna. Saya tahu. Kerana saya juga manusia lemah dan masih berusaha menjadi lebih baik dan bermanfaat kepada yang lain. Kekurangan memang harus diperbaiki tetapi kekurangan tidak menghalang kita untuk terus menebarkan kebaikan. (Umar Muhammad Noor)


Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia kerana kamu menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah "
(al-Imran: 110) 

Adapun buih, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya, tetapi yang bermanfaat bagi manusia, akan tetap ada di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan"
(ar-Ra'd: 17)



Optimis dalam kamus dewan merujuk kepada orang yang selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu. (macam nak buat karangan SPM la pulak, haha)  Lebih mudah saya katakan orang yang optimis sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik. Optimisme pula merujuk kamus dewan, ialah sikap iaitu pandangan hidup atau pendirian yang melihat segala hal dari sudut kebaikannya sahaja atau menjangkakan perkembangan  atau kemungkinan yang baik-baik sahaja.



Ya. Saya perlu optimis pada tahun baru ini. Saya harap mereka di luar sana juga begitu. Kerana saya percaya  sikap optimis akan membantu untuk lebih berusaha walau apa jua aral melintang selain mengalirkan semangat positif dalam diri. Optimis dan berbaik sangka pada Sang Perancang yang Maha Mengetahui. Dan percaya atau tidak sikap optimisme ini sebenarnya baik untuk pesakit jantung khususnya kerana apabila pesakit memiliki harapan positif (optimis) terhadap penyakitnya, ia bukan hanya memberi kesan pada semangatnya yang kuat untuk melawan penyakit, malah memiliki harapan positif terhadap penyakit. Apa pun ianya kembali kepada ketentuan Yang Maha Mengetahui. Lanjutan bacaan :  Optimisme dan Efeknya Terhadap Jantung


Kita yang kawal fikiran kita dan fikiran kawal niat kita, dan niat menentukan kehidupan kita. Manusia yang berjaya ialah manusia yang kawal fikiran dan niat mereka"
(Prof. Dr. Muhaya Mohamad) 



Jujurnya, saya dan rakan-rakan Jurusan Sarjana Muda Pendidikan masih menunggu panggilan untuk ditemuduga. Mohon doa dari semua yang terbaca entry ini, moga dipermudahkan kami menelusuri sisi perjalanan menuju penempatan nanti yang diketahui sekitar bulan Mac depan. (nak interview, tapi baca gitu-gitu je, bole ke? T_T) Saya turut mendoakan agar setiap dari kita sentiasa dipermudah dalam segala kerja yang diusahakan dan moga ia dikira sebagai ibadah dan beroleh ganjaran dariNya. InsyaAllah. 



Ayuh, optimis dan bersangka baiklah terhadap Allah. Walau di dunia ini terkadang sering saja ditimpa badai dan kesulitan, ketahuilah di syurga nanti nikmatnya kekal selamanya. Akhir kalam, saya kongsikan Hadith 19 yang amat dekat di hati. 



Peliharalah Allah nescaya engkau dapatiNya di hadapan engkau. Kenal Allah pada masa lapang, nescaya Dia mengenal engkau pada masa susah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya, apa-apa yang ditakdirkan tidak datang kepada engkau, tidaklah ia datang kepada engkau. Tetapi apa yang sepatutnya datang kepada engkau, tidaklah ia tersalah datang kepada engkau. Dan ketahuilah sesungguhnya, kemenangan itu beserta kesabaran. Dan sesungguhnya, kelapangan itu, beserta kesusahan. Dan sungguh, bersama kesusahan itu ada kesenangan"
(Hadith 19) 





                                     

P/S:  Gambar hiasan.  ^_^