Sunday, June 17, 2012

1001 nikmat

Begitu banyak dan tidak terhitung nikmat yang maha Agung! Oh, betapa kita seronok menikmati segala kesenangan ini, namun ada saudara seakidah yang masih tidak ketahuan nasib dan makan minumnya! Dan Sejauh mana kita mensyukuri 1001 nikmatnya? Sejauh mana kita menjadi hambanya yang benar-benar telah berterima kasih? T_T


Alhamdullilah, Allahuakbar,

Sebenarnya jika difikir dan mahu disenaraikan segala kurniaan yang Allah kurniakan pada kita, tidak langsung dapat disenaraikan. Sedari kita ditiupkan ruh di alam rahim itu, nikmat yang Maha Besar sudah bermula. Kasih sayangnya sudah disemai buat bakal umat nabi Muhammad! Di alam rahim itu, Allah melindungi dengan kukuh bersama si ibu, yang padanya barakah dan rahmat. Disirami dengan zat-zat dan nutrisi agar ia bertumbuh dan berkembang menjadi segumpal daging yang seterusnya Allah kasihkan dengan tulang temulang dan segala urat saraf yang menjalar. 



Tidak cukup dengan itu, Allah mengurniakan satu alat yang menjadi nadi seorang manusia iaitu jantung untuk terus bernyawa dan terus bernafas hatta di luar alam nyata berserta organ-organ yang cukup unik. Sampai masa, lahirnya si kecil berteriak tanda syukurnya pada yang Maha Esa yang telah menyampaikannya pada dunia nyata. 



Nikmat Tuhan belum berhenti dan tidak akan berhenti. Si kecil, dikurnia para ibu bapa yang padanya Allah titipkan rasa kasih, sayang dan simpati agar si kecil dijaga, dibelai, dipelihara penuh kelembutan. Di cukupkan makan dan minum, tempat berlindung dan segala segi aspek fizikal. Ah! tidak perlu diceritakan betapa segalaNya adalah dengan izin dan kasihnya Allah pada hamba-hambanya.



Sesungguhnya segala kenikmatan yang Allah kurniakan adalah pinjaman semata. Yang kadangkala Allah selangselikan dengan sedikit ujian, agar kita tidak dibiarkan terus lena melayari segala nikmatnya. Agar kita beringat! Tapi, berapa ramai yang menyedarinya? Kadang-kadang, kita ditimpa dengan pelbagai bentuk ujian, sakit, kemalangan, kehilangan yang pada ketika itu nikmatNya sedang memuncak. Kita mengeluh, apa semua ini?


Maka ingatlah kembali pada segala nikmat yang tercurah sebelum ini. Mungkin ujian ini sebagai kafarah, pada noda dan dosa yang terkadang kita melakukannya tanpa sedar atau sekalipun sedar. Kerana itu, teruskanlah berterima kasih, teruskanlah bersyukur kerana ianya umpama peringatan halus datang terus daripadaNya.



Aneka Kurnia


Ketahuilah, kurniaNya cukup beraneka. KurniaNya bukan setakat duniawi sahaja, malah mencakupi segala segi. Kurnia nikmat dunia, sudah tentunya kesihatan yang baik, harta dan sumber pendapatan yang halal, juadah yang beraneka, keamanan yang dikecapi hatta senafas udara yang disedut! Malah air tidak putus-putus kita gunakan pada setiap ketika. Belum kita campur dengan kejadian alam yang cukup membuka mata hati bagi mereka yang mahu berfikir. Allahuakbar.



Nikmat Iman dan Islam adalah nikmat cukup besar! Kita dilahirkan terus sebagai Islam yang padanya kita mengenal Allah, mengenal Rasul, serta menatap naskhah hebat al Quran. SubhanAllah. Dan Allah telah memilih kita untuk diberikan kekuatan untuk terus beriman dan beramal padaNya! 



Dan ketahuilah nikmat yang dinanti oleh semua penghuni syurga ialah nikmat akhirat yang padanya kekal. Itulah ganjaran buat mereka yang bersyukur saat diberi nikmat di dunia. Ganjaran syurga yang Allah ciptakan tidak akan sama nilainya dengan amalan manusia di dunia. Dengan segala sifat pemurahNya, Allah mengurniakan kadar pahala yang jauh lebih bernilai dengan telah dikerjakan di dunia. Oh syurga! Tidak akan terbayang keasyikannya! Allahuakbar.




Jika kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya"
(Surah Ibrahim, 14 : 34)


Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabku amatlah berat" 
(Surah Ibrahim, 14: 7)


Jom jadi Ahli Syukur. :)


Nota: Diubah suai dari solusi isu no 43, tulisan Pahrol Mohamad Juoi.

0 comments: