Monday, April 9, 2012

Hati seorang akhawat


Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Luarnya lasak serba mampu
Dalamnya mencari tempat mengadu

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Ingin dirinya dibiarkan lepas berdikari
Tapi bersembunyi disebalik ingin ditemani

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Kerjanya kuat menyeru pada tuhan
Jiwanya digirangkan seni dan sedikit hiburan

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Diserahkan dirinya atas jalan ilahi
Merelakan kasihnya dimiliki seorang lelaki

Hati seorang wanita bergelar akhawat
Tiadalah beza sebagaimana hati lainnya wanita
Cuma hatinya bukan hanya untuk diri
Disitu ada tuhan, masyarakat, keluarga dan juga suami

Diambil dari penulis: Qayyim Hafidzi


Monday, March 12, 2012

It's His Plan

Assalamu 'alaikum.  

Bismillah.


Sudah agak lama tidak menjengah ke tinta ini. Lalu aku buka dan mem'bersihkan' sawang-sawang yang melekat. Agak terbatas sebenarnya peluang untuk mengakses internet di sepanjang minggu persekolahan. Ditambah dengan ketiadaan kemudahan wifi di sekolah dan di rumah sewa. Tidak mengapa. Tidak perlu mengeluh. Mungkin Allah mahu aku berehat seketika dari dunia siber yang penuh percikan dunia. Yang pernah dahulu membuat aku sedikit leka dan hampir-hampir tergelincir. Terima kasih Allah atas didikan ini. Atas didikan terus dari Allah, yang terkadang datang tanpa manusia sedar. 



Entah bagaimana hendak menterjemah segala isi di dalam hati. Kalau diterjemah rasa hati ke dalam bentuk lukisan mungkin lukisannya bercorak abstrak dan penuh warna warni. Sepanjang hampir 3 bulan berada di persekitaran yang baru, tempat kerja yang baru, rumah baru, kawan baru, terasa diri begitu kerdil. Tidak lagi bersama teman-temah sekuliah dan sahabiah-sahabiah berbulatan gembira. Benar-benar menguji diri. Sungguh. Di kala diri bersendiri. Ketika itulah, Allah menguji. Di mana tarbiyah yang dahulu kamu lakukan, di mana iman yang dipertahankan, di mana aurat yang dijaga, di mana akhlak dan peribadi yang dimuliakan. Dan ketika itulah semuanya akan terbukti dan diaplikasikan. 



Alangkah cantik susunan rancangan Dia. Dia menempatkan daku keseorangan bukan bermakna Dia tidak menyayangiku, malah tetap terus melindungiku, menutup aibku, menjaga makan minumku dan kesejahteraanku. Terima kasih Allah. Kerana sesungguhnya, Engkau mahu mendidikku, agar terus menggenggam kebergantungan hanya pada Mu.  Walau terkadang air mata tumpah tanpa sebab, tapi akhirnya lega. Lega kerana dari air mata yang Allah kurniakan ini, membuatkan daku tegar. Tegar untuk sentiasa berpaksi bahawa hidup ini adalah satu perjuangan mencari redha Allah. Perjuangan sebagai hambaNya dan khalifah dalam menyampaikan ilmuNya kepada agama dan bangsa. 





Pengalaman berhadapan dengan pelajar yang bermacam kerenah lebih-lebih lagi pelajar yang berada di kelas tercorot benar-benar berharga. Masa inilah sebenarnya yang perlu digunakan, untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai pendidik. Mengajar di kelas tercorot bukan lagi untuk mengharap mereka memperoleh A dalam mata pelajaran. Kalau itu yang terjadi, suatu bonus dan kejayaan yang cukup membanggakan. Tetapi sebenarnya, suatu usaha untuk menjadikan mereka insan dan manusia yang hidupnya mulia. Bagaimana menyuburkan mereka dengan keperibadian dan kemahiran agar mereka membangun sebagai generasi berakhlak biar pun sedikit kurang akademiknya. Suatu usaha menjadikan mereka 'suka' untuk ke sekolah dan belajar meskipun sedikit sahaja yang diperoleh pada hari itu. Kerana setiap dari mereka punya cerita tersendiri dan sejarah latar belakang yang berbeza. Sekadar perkongsian bersama. Pastinya guru-guru interim yang lain punya cerita dan strategi masing-masing kan? =)



Semuanya kan rancangan Dia. It's HIS plan. So, I just carry on and trust HIM. Thank you Allah. :)



Akhir kalam, saya kongsikan doa yang mana Rasullulah sering berpesan agar mengamalkannya.



 Ya Allah, Rahmatmu aku harapkan, janganlah kau serahkan urusanku kepada diriku sendiri, walau untuk sekelip mata, perbaikilah segala urusanku, tiada ilah yang berhak disembah selain Engkau.
(Sumber : Majalah Solusi) 



Janganlah Kau serahkan urusanku kepada diri sendiri. Kenapa begitu? Kerana sesungguhnya manusia itu bersifat lemah. Dan kepada Dia tempat bergantung.



Wallahua'lam.


_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Tuesday, January 3, 2012

Optimis


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


Sesungguhnya ilham dan buah fikiran datang dari Allah. Bukan datang dengan sendiri. Saya suka dengan perkataan optimis. Tetapi, untuk menyelongkar di sebalik makna perkataan itu, bukan kerja mudah. Memasuki tahun baru 2012, membuatkan diri tersentak dari lamunan yang panjang. Pada tahun ini, jika dizinkanNya, saya bakal memasuki alam berkerjaya. Amin. Moga dipermudahkan. Umur juga bakal meningkat. Ah! Ketepikan angka tersebut, kalau diri masih belum mampu menonjolkan bahawa anda kini  memasuki alam dewasa. Akhir remaja. Dan sudah tentu bagi seorang perempuan, emak dan abah sudah bertanya, "sudah punya teman atau tidak?" ....



Apa yang lebih penting, saya perlu sentiasa mengingatkan diri, matlamat saya diciptakan. Sentiasa refresh niat. Lebih-lebih lagi pada tahun baru 2012 yang saya jangka penuh dengan cabaran yang mendatang. Sentiasa bertanya apakah matlamat saya sebagai manusia di muka bumi, sebagai hamba Allah dan khalifah. 



Harapan saya, sudah tentu apabila sudah menjadi pendidik, saya berdoa agar saya menjadi pendidik yang bukan hanya menyampaikan kandungan subjek dan mata pelajaran, tetapi juga dapat mendidik mereka dengan nilai-nilai murni supaya mereka kenal siapa Allah. Agar mereka bukan Islam hanya pada nama, tetapi juga Islam pada segenap sudut. Ah! Mungkin saya belum cukup sempurna. Saya tahu. Kerana saya juga manusia lemah dan masih berusaha menjadi lebih baik dan bermanfaat kepada yang lain. Kekurangan memang harus diperbaiki tetapi kekurangan tidak menghalang kita untuk terus menebarkan kebaikan. (Umar Muhammad Noor)


Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia kerana kamu menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah "
(al-Imran: 110) 

Adapun buih, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya, tetapi yang bermanfaat bagi manusia, akan tetap ada di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan"
(ar-Ra'd: 17)



Optimis dalam kamus dewan merujuk kepada orang yang selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu. (macam nak buat karangan SPM la pulak, haha)  Lebih mudah saya katakan orang yang optimis sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik. Optimisme pula merujuk kamus dewan, ialah sikap iaitu pandangan hidup atau pendirian yang melihat segala hal dari sudut kebaikannya sahaja atau menjangkakan perkembangan  atau kemungkinan yang baik-baik sahaja.



Ya. Saya perlu optimis pada tahun baru ini. Saya harap mereka di luar sana juga begitu. Kerana saya percaya  sikap optimis akan membantu untuk lebih berusaha walau apa jua aral melintang selain mengalirkan semangat positif dalam diri. Optimis dan berbaik sangka pada Sang Perancang yang Maha Mengetahui. Dan percaya atau tidak sikap optimisme ini sebenarnya baik untuk pesakit jantung khususnya kerana apabila pesakit memiliki harapan positif (optimis) terhadap penyakitnya, ia bukan hanya memberi kesan pada semangatnya yang kuat untuk melawan penyakit, malah memiliki harapan positif terhadap penyakit. Apa pun ianya kembali kepada ketentuan Yang Maha Mengetahui. Lanjutan bacaan :  Optimisme dan Efeknya Terhadap Jantung


Kita yang kawal fikiran kita dan fikiran kawal niat kita, dan niat menentukan kehidupan kita. Manusia yang berjaya ialah manusia yang kawal fikiran dan niat mereka"
(Prof. Dr. Muhaya Mohamad) 



Jujurnya, saya dan rakan-rakan Jurusan Sarjana Muda Pendidikan masih menunggu panggilan untuk ditemuduga. Mohon doa dari semua yang terbaca entry ini, moga dipermudahkan kami menelusuri sisi perjalanan menuju penempatan nanti yang diketahui sekitar bulan Mac depan. (nak interview, tapi baca gitu-gitu je, bole ke? T_T) Saya turut mendoakan agar setiap dari kita sentiasa dipermudah dalam segala kerja yang diusahakan dan moga ia dikira sebagai ibadah dan beroleh ganjaran dariNya. InsyaAllah. 



Ayuh, optimis dan bersangka baiklah terhadap Allah. Walau di dunia ini terkadang sering saja ditimpa badai dan kesulitan, ketahuilah di syurga nanti nikmatnya kekal selamanya. Akhir kalam, saya kongsikan Hadith 19 yang amat dekat di hati. 



Peliharalah Allah nescaya engkau dapatiNya di hadapan engkau. Kenal Allah pada masa lapang, nescaya Dia mengenal engkau pada masa susah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya, apa-apa yang ditakdirkan tidak datang kepada engkau, tidaklah ia datang kepada engkau. Tetapi apa yang sepatutnya datang kepada engkau, tidaklah ia tersalah datang kepada engkau. Dan ketahuilah sesungguhnya, kemenangan itu beserta kesabaran. Dan sesungguhnya, kelapangan itu, beserta kesusahan. Dan sungguh, bersama kesusahan itu ada kesenangan"
(Hadith 19) 





                                     

P/S:  Gambar hiasan.  ^_^

Monday, December 12, 2011

Bajet bagus

Usai membaca artikel tulisan Ir. Ahmad Jais Alias al Syaznii dalam majalah Solusi keluaran terkini. Artikel bertajuk Bajet Bagus. Artikel ini amat menarik untuk saya kongsikan kerana merasakan dunia bajet bagus ini begitu dekat dengan kehidupan seharian kita. Bagaimana kita menjalani hari-hari dengan kerendahan hati pada Pencipta tanpa merasakan diri sudah cukup bagus. Sememangnya, keyakinan pada diri, keazaman yang tinggi serta semangat dedikasi itu amat perlu dalam mencapai cita-cita, tetapi ketahuilah kita hanyalah hamba. Hamba yang mampu berharap. Namun segalanya terpulang pada izin yang maha Esa. 



Saya kira perkataan 'bajet bagus' ini sudah amat dikenali lebih-lebih lagi dalam kalangan muda mudi yang acap kali menggunakan perkataan ini. Merasakan bahawa diri sudah cukup bagus serba serbi. Tetapi sesungguhnya, perbuatan tersebut jika diteliti secara halus hatta ke dalam diri para dai'e sekali pun, pasti ada secebis rasa 'bagus' atau 'baik' yang dikatakan pada diri sendiri yang sememangnya perbuatan ini ditakuti menghampiri perasaan ujub. Moga kita dijauhkan. Amin!


Seseorang yang merasakan dirinya bagus, sebenarnya hampir-hampir menggelincirkan kakinya ke dalam lubang yang amat bahaya, yang membawa kepada tiga sifat mazmumah (keji) yang perlu dielakkan iaitu ujub, riyak, dan takkabbur."
(Ir Ahmad Jais Alias Syaznii)


Saya kongsikan sebahagian tulisan Tuan Ir Ahmad Jais Alias Syaznii ini, yang saya fikir ianya amat bermakna untuk dikongsi sebagai pedoman kita semua.


Gambar hiasan


(Petikan : Artikel Ir Ahmad Jais Alias Syaznii)


UJUB ertinya berasa takjub dengan diri sendiri. Berasa dirinya hebat dan lebih daripada orang lain, walaupun perasaan itu mungkin  tidak terlafaz atau dizahirkan dengan kata-kata. Guru saya memberikan contoh berikut:  


Seorang yang bangkit awal pagi untuk bertahajud, bermunajat sendirian di ruang kamarnya, tanpa diketahui oleh sesiapa pun meratap merayu kepada Tuhannya, boleh terpercik penyakit ujub, jika terdetik di hatinya perasaan dan kata-kata: "Alhamdullillah, awal aku bangun hari ini, tidak sangka pula dapat bertahajud dalam keadaan jiran semua masih tidur lena"


Cukup dengan merasai kehebatan diri sendiri itu, walau tiada siapa tahu dia bertahajud, maka rasa takjub dengan diri sendiri itulah namanya ujub. Penyakit ujub jika dilayan dan dibiarkan bermain-main di perasaan, jika tidak dibendung dan dirawat segera, akan mudah merebak menjadi RIYAK. Bagaimana? Jika si polan tersebut mula membuka mulut dan menceritakan kehebatannya dan mengharapkan orang melihat kehebatannya dan mengharapkan orang melihat kehebatannya. 



Contohnya: jika selepas bertahajud maka si polan segera ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Selepas solat subuh berjemaah, dia sengaja bertanya kepada jiran-jiran soalan seperti: 


Jam 5.00 pagi tadi tak dengar ke bunyi jam loceng? Saya dengar sampai ke rumah saya, ganggu wirid dan tahajjud saya tadi!"


Ungkapan itu bertujuan memaklumkan kepada jirannya, dia telah bangkit lebih awal daripada jirannya. Maka jatuhlah si polan itu perangkap riyak, iaitu melakukan amalan kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia dan mengharapkan pujian. Riyak yang kronik akan membawa si penghidapnya kepada TAKABBUR  iaitu kemuncak keburukan akhlak pada mana-mana makhluk. Orang yang takabbur akan berbangga dengan kelebihannya dan menempelak orang lain dengan menganggap semuanya lemah dan buruk. Contohnya:


Awat hang tak bangkit Subuh? Teruklah hang ni. Tengok macam aku, setengah jam sebelum azan, sudah siap tahajud dan nak pi masjid dah. Bukan macam hang, dok berdengkur lagi." 

******************************


Nauzubillahi min zalik! Betapa perlu untuk kita sentiasa bermohon perlindungan dari Allah, agar terpelihara dari rasa terdetik sebegitu di hati. Agar tidak tergelincir ke dalam lubang iblis yang membawa diri hanyut dalam rasa bangga dan meninggi diri sedang diri kita diciptakan dengan penuh kelemahan. 



Orang berilmu jika tidak disempurnakan dengan adab, akan menjadi bajet bagus

Orang kaya jika hilang adab, akan jadi sombong. 

Orang miskin jika tidak beradab akan menjadi sampah masyarakat yang melambakkan masalah sosial yang lain. 

Anak yang tidak diajar beradab, akan jadi biadap. 

Ibu bapa yang lemah adab, akan hilang tanggungjawab.

Yang paling bahaya, pemimpin yang tidak mengambil kira soal adab, ada kecenderungan menjadi pemimpin yang zalim.  

 (Penulis : Ir Ahmad Jais Alias Syaznii)




Kerana manusia itu diciptakan lemah. (an Nisa' : 28)







Artikel sebenar: Majalah solusi Isu 38. muka surat 27. Penulis: Ir Ahmad Jais Alias Syaznii

Monday, November 28, 2011

Izinkan daku menekap akhlak Baginda


Allah, Tuhanku
Betapa aku kerdil di sisi Mu
Begitu khilaf ku banyak
Betapa akhlak ku terkadang mengecewakan Mu
Betapa tutur ku, peribadi ku, 
Terkadang melewati batas ku



Ampunkan aku dan maafkan aku
Allah, Tuhanku
Andai setiap patah perkataan 
Yang meluncur keluar dari lidah ku
Adalah suatu khilaf
Andai tingkah ku kurang sopan 
Di hadapan orang tua dan
Orang-orang yang selayaknya aku hormati
Andai diri ku begitu kasar
Menongkah setiap badai yang berlalu



Maafkan aku Allah
Aku hanya hamba yang lemah
Sesungguhnya, akhlak Rasullulah tiada tandingan
Begitu mulia.
Tulus dan murni.


Allah,
Ikhlaskan dan izinkan daku
Untuk menekap barang seinci
Akhlak Baginda
Semulia Akhlak Baginda
Ya Rasulullah (saw)


Bermotivasi untuk membaca!


Thursday, November 24, 2011

Bacalah!

Bismillah


Masa itu ibarat emas. Masa itu ibarat pedang yang menghunus tajam. Dan apa jua perumpamaan yang merujuk kepada kepentingan menggunakan masa dengan betul dan berhemat. Kita semua sudah serba tahu dan begitu arif akan kepentingan masa yang terkadang kita rasakan begitu lambat berlalu dan terkadang dirasakan masa itu pantas umpama air yang mengalir laju. Apa jua situasi, saya tahu bahawa saya perlu 'tegar' untuk bijak memilih aktiviti yang bermanfaat dan tidak terlalu terbuai dengan kemalasan dan bergoyang kaki di rumah. Jika di tanya, kenapa tidak saya cuba-cuba bekerja sambilan agar tidak kebosanan di rumah? Saya hanya mampu tersenyum. Bukan tidak mau tapi saya yang tidak berminat atas sebab-sebab tertentu. 



Apa pun, tika ini saya berdoa dan terus berdoa, moga Allah mengurniakan kekuatan untuk kita meneruskan setiap inci nikmat hidup ini dengan apa jua perkara yang bermanfaat sama ada bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada agama dan negara. InsyaAllah.



Saya punya koleksi buku-buku yang belum dibaca. Boleh dikatakan banyak. Entah kenapa begitu liat hendak membaca. Sedang diri tahu betapa ilmu itu mesti dicari dan ia tidak akan datang bergolek. Saya tahu bahawa, untuk memastikan fikiran, minda dan otak kita berada dalam keadaan baik dan cergas serta mampu mengolah dan membuahkan idea yang bernas, amalan membaca amat perlu. Apatah lagi bila menjadi seorang pendidik kelak, pastinya pelajar-pelajar akan melontarkan soalan-soalan yang memerlukan guru tersebut perlu ligat mencari jawapan dan bijak menyusun kata secara profesional. Huhu. Saya masih baru dalam bidang perguruan ini. Hanya berbekalkan pengalaman berpraktikum selama lebih kurang 4 bulan rasanya terlalu sedikit untuk memperkatakan perihal dunia seorang guru. 



Di sini saya kongsikan beberapa tips untuk mengembalikan minat membaca. Betul. Membaca terkadang perlukan target dan matlamat. Mungkin tips ini berguna untuk situasi seperti saya yang terkadang susah untuk menghabiskan hatta sebuah buku. Raheeq maktum apatah lagi. Errr. (maafkan saya wahai naqibahku). Mungkin selepas ini, perlukan tekad dan keazaman untuk membaca. Selain doa yang tidak putus-putus kepada Rabbul Izzati.


Berdoalah agar kita dikurnia rasa ingin membaca.. Jangan hanya ada rasa ingin membeli.. "
(Ustaz Adlan Aziz, Penulis buku)



Memang betul apa ustaz tu cakap. Masa membeli bukan main ghairah. Tapi bila nak membaca liat semacam. Huu. Tapi, InsyaAllah buku-buku ilmiah yang dibeli akan tetap berguna sampai bila-bila dan moga kekal hingga anak cucu kita masih bisa menatap dan menggunakannya. Jadi saham akhirat. InsyaAllah. =)


Di ambil dari Laman web Motivasi Kerja :



  • Perkara pertama: cuba pergi ke kedai buku terlebih dahulu, anda akan lihat banyak buku yang menarik minat membaca. Sebelum ini anda hanya pergi ke kedai majalah, jauh bezanya.
  • Mulakan berjinak-jinak dengan buku yang nipis dahulu. Bila dah rasa seronok barulah baca buku-buku tebal.
  • JANGAN letakkan target nak habiskan sebuah buku dalam masa yang singkat, kerana itu akan memberi tekanan pada anda. Jadi akan mengganggu mood anda untuk membaca.
  • Letakkan target 1 Buku : 1 Bulan. Setahun anda dah baca 12 buku. HEBAT!
  • Beli satu rak buku. Susun cantik-cantik kerana itu semua akan memberi mood untuk membaca.
  • Jika berkesempatan untuk bertemu penulis buku, ambil autograf mereka. Percayalah anda akan semangat membaca!
  • Cuba ambil 15 minit sahaja SEHARI atau mungkin 10 helai untuk setiap kali pembacaan.


Selamat mencuba!

Wednesday, October 19, 2011

Kelapangan yang mengajar

Bismillah

Ruang dashboard blog ini sudah beberapa kali dibuka dan kemudian ditutup. Terasa ingin menulis. Tetapi terasa berat. Ditambah dengan kurangnya 'modal' untuk saya menulis. Puncanya cuma satu. Kurangnya membaca. Dan ditambah dengan kurangnya mujahadah saya dalam mengharungi badai kehidupan yang sesekali melibas sisi-sisi sebuah perjalanan. Saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya tidak mahu apabila saya cuma pandai menulis, mencoret seribu satu pengajaran untuk menuju sebuah kehidupan hakiki, tetapi batinnya jiwa saya meronta-ronta. Di dalam tulisan berkata begitu, tetapi pada fizikal tidak pula menonjolkan seperti penulisannya. Berdosakah saya? Astaghfirullahal 'azim.



Baiklah. Saya ingin terus jujur. Sudah berbulan lamanya saya meninggalkan bumi tempat saya belajar. Tamat sudah diri bergelar seorang mahasiswi. Dan sudah berbulan jugalah saya meniggalkan bi'ah itu. Sudah berbulan jugalah saya tiada usrah. Apatah lagi membawa usrah. (Usrah: Sebuah halaqah cinta membina kekuatan setiap individu muslim, insyaAllah, yang diketuai oleh seorang naqibah). Dan, saya sedar saya harus mencari jalan untuk terus berada dalam saf-saf tersebut, dan tidak mahu ketinggalan dalam jemaah ini. Harus terus bergerak. Dan saya tahu, kebergantungan yang hakiki hanya pada Rabbul Jallil, tempat di mana kita memohon kekuatan dan pertolongan. (no wonderlah kalau tulisan ini terasa kering T_T)



Sebetulnya, di sini, tatkala saya sendirian. Saya belajar banyak perkara. Situasi berada di samping akhawat dan sahabat, cukup berbeza. Kuncinya hanyalah dalaman dalam diri. 'Kelapangan' ini membuatkan saya belajar. Sama ada saya terus membiarkan diri kering kontang atau perlu dibasahkan dengan mutabaah amal yang terkadang sedikit goyang. Astaghfirullah. Sangat perlu menjaga sisi-sisi amalan dan tarbiyah diri sendiri (dzartiyah) dalam keadaan sebegini.



Sering terfikir dan berfikir, bagaimana agaknya keadaan apabila menempuh alam pekerjaan yang menjanjikan kesibukan dan kepenatan.  Ah! Buat kerja apa yang tak penat. Belajar pun penat, kerja pun penat. Duduk depan laptop berjam-jam pun boleh penat!



Rasa gementar. Bagaimana agaknya pengakhiran sebuah perjalanan seorang a'bid dan khalifah di dunia ini. Sebelum kehidupan ini berakhir, adakah saya telah melunaskan tanggungjawab saya di dunia ini? Sebetulnya, saya takut, kerana setiap patah perkataan yang saya lontarkan ini akan menyoal kembali saya di akhirat kelak.

Cakap je lebih!  

Ya. Saya orang biasa-biasa saja yang tidak lari dari dosa dan khilaf.  Saya bukan orang alim, yang tinggi ilmu agama. Bukan tokoh ilmuwan, bukan ustazah. Saya masih merangkak di jalan ini dan masih berusaha memperbaiki diri. Tapi, saya sedar, setiap dari kita adalah seorang khalifah, yang wajib menyampaikan walau sekelumit dakwah kepada sesiapa. Dalam apa jua bentuk. Dan kita juga adalah hamba kepada yang Maha Agung. Hamba yang sungguh kerdil di sisiNya. Hamba yang selalu sahaja lupa dan langsung tidak menunjukkan kesungguhan dalam memaparkan rasa syukur atas segala nikmatNya yang melimpah ruah kepada kita.



Dan saya berharap dan berdoa, moga usaha kecil saya melalui tulisan ini,  Allah mengiranya sebagai salah satu usaha dalam menyebarkan syiarNya. Walau bukan dalam 'bulatan-bulatan cinta' itu. Walau bukan berlatarkan kehijauan suasana rehlah yang damai.


Moga Allah meredhai. Mohon doa.


Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat di jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk"   
 (an Nahl: 125)