Allahuakbar! Betapa kerdilnya diri ini. Terasa hinanya diri. Hanya hamba yang terpalit dosa-dosa. Selalu aku tegaskan pada diri, perbaharui hidup, perbaharui niat! Namun terkadang, tersasar juga. Terjatuh juga. Dan sekali lagi seolah aku bangun semula, dan bangkit semula, lagi, lagi dan lagi. Astaghfirullah. Namun, Kau Tuhanku tetap sahaja mencurahkan nikmat-nikmat tanpa putus. Kau tetap sahaja melapangkan lautan keampunan buat sekalian hambaMu yang memohon taubat di atas mihrab cinta. Subhanallah! Terima kasih Allah untuk nikmat yang tidak pernah berhenti. Hanya hambaMu ini sahaja yang terkadang lalai dan alpa dibuai nikmat hingga lupa untuk bersyukur dengan hati, lisan dan perbuatan...
Ingin ku nukilkan di sini, usai memperoleh halwa telinga daripada Ustazah Norhafizah Musa. Empat perkara yang kita biasa lakukan dan tanpa sedar pada empat waktu inilah waktu rutin yang sebenarnya perlu dititik beratkan agar dikurniakan kekuatan pada keesokkan harinya.
***********
i) Ketika ingin masuk tidur.
Setengah jam sebelum tidur adalah masa berharga yang perlu diuruskan! Kerana tidur adalah mati kecil. Kerana itulah perlunya persiapan agar jika waktu itu, Allah ambil nyawa, maka pada ketika itu kita dalam keadaan suci dan bersih. Ustazah mencadangkan agar sebelum tidur, ambillah wuduk dan bersolat sunat witir (penutup) 3 rakaat 2 salam. Adalah menjadi suatu yang amat baik sekiranya dapat diamalkan surah al-mulk dan al waqiah sebelum melelapkan mata. Membaca surah 3 kul dan mengusap pada keseluruhan anggota tubuh juga merupakan amalan Sunnah yang diamalkan Nabi Muhammad (saw).
ii) Ketika bangun tidur
Apa yang kita lakukan saat terbangun dari tidur?? Dalam keadaan separa sedar dan mata yang terkebil-kebil, apa yang bermain dalam fikiran kita? Maka amat beruntung bagi mereka yang bangun sahaja dari tidur dan mencelikkan mata lalu lidahnya mengucapkan alhamdulillah diteruskan dengan doa bangun dari tidur. Subhanallah. Suatu nikmat yang cukup besar tatkala kita bangun dari tidur dan kalimat Allah terus sahaja menjadi saksi bermulanya hari baru. Menurut ustazah lagi, adalah amat beruntung juga yang dapat bangun sebelum subuh, lalu mengerjakan solat sunat walau hanya 2 rakaat dan beristighfar pada Rabb memohon kekuatan agar dipermudahkan hari yang bakal dilalui serta mengharap rahmat dan berkah dari Tuhan.
Ustazah menambah lagi, sekiranya terjaga pada tengah malam, moga-moga kita diberi kekuatan untuk bangun walaupun sekadar bersolat sunat tahajud 2 rakaat. Ustazah memberikan tips iaitu sepotong doa yang sunnah dibacakan saat terjaga daripada tidur dan insyaAllah diberikan kekuatan dan kesegaran untuk berusaha melakukan solat malam.
iii) Saat ditimpa kesusahan
Ustazah berkata saat ditimpa kesusahan, ikhtiar pertama ialah dengan ingat pada Allah! Usahakan dan belajar untuk menangis di hadapan Allah. Mohon taubat atas segala kekhilafan diri, atas dosa-dosa yang dilakukan. InsyaAllah! Allah itu Maha Mendengar. Dia tidak akan pernah mensia-siakan doa hamba-hambanya yang mengikhlaskan diri bermunajat di hadapanNya dengan sungguh-sungguh! Percaya dan yakin. Allah akan mudahkan.
iv) Ketika ingin menunaikan solat.
Ketika seorang hamba menunaikan solat, itulah cerminan keaslian diri kita yang sebenar. Pada ketika itu, seluruh jasad dan roh bersatu memberi tumpuan sepenuhnya menghadap Sang Pencipta yang Agung. Allahuakbar. Refleksi solat yang dilakukan saban waktu. Sungguh banyak perkara harus diperbaharui. Diperbaiki. Ustazah menggambarkan susuk tubuh Nabi Muhammad (saw) saat baginda ingin solat, seolah-olah baginda tidak mengenal orang-orang di sekeliling kerana pada saat itu hati, jiwa dan fikiran sedang bersedia menghadap penuh khusyuk pada Allah Azza Wajalla.
Alhamdulillah. Tuhanku, Allah.
Masih memberi kurnia hati yang masih hidup.
Tandanya? Kau bisa menangis! Kau bisa rasa bersalah pada dosa.
Alhamdulillah. Jangan sia-siakan nikmat ini.
Terus usaha perbaiki sisi diri. Taubat jangan putus.
Taubat usah dipermain.
Tekad.
Azam.
Moga kita dalam rahmat & kasih sayang Tuhan.
Terima kasih Tuhan.
Masih memberi kurnia hati yang masih hidup.
Tandanya? Kau bisa menangis! Kau bisa rasa bersalah pada dosa.
Alhamdulillah. Jangan sia-siakan nikmat ini.
Terus usaha perbaiki sisi diri. Taubat jangan putus.
Taubat usah dipermain.
Tekad.
Azam.
Moga kita dalam rahmat & kasih sayang Tuhan.
Terima kasih Tuhan.
Diolah dari perkongsian ilmu, Ustazah Norhafizah Musa
Segmen Usrati, Ikim FM
0 comments:
Post a Comment