Monday, December 12, 2011

Bajet bagus

Usai membaca artikel tulisan Ir. Ahmad Jais Alias al Syaznii dalam majalah Solusi keluaran terkini. Artikel bertajuk Bajet Bagus. Artikel ini amat menarik untuk saya kongsikan kerana merasakan dunia bajet bagus ini begitu dekat dengan kehidupan seharian kita. Bagaimana kita menjalani hari-hari dengan kerendahan hati pada Pencipta tanpa merasakan diri sudah cukup bagus. Sememangnya, keyakinan pada diri, keazaman yang tinggi serta semangat dedikasi itu amat perlu dalam mencapai cita-cita, tetapi ketahuilah kita hanyalah hamba. Hamba yang mampu berharap. Namun segalanya terpulang pada izin yang maha Esa. 



Saya kira perkataan 'bajet bagus' ini sudah amat dikenali lebih-lebih lagi dalam kalangan muda mudi yang acap kali menggunakan perkataan ini. Merasakan bahawa diri sudah cukup bagus serba serbi. Tetapi sesungguhnya, perbuatan tersebut jika diteliti secara halus hatta ke dalam diri para dai'e sekali pun, pasti ada secebis rasa 'bagus' atau 'baik' yang dikatakan pada diri sendiri yang sememangnya perbuatan ini ditakuti menghampiri perasaan ujub. Moga kita dijauhkan. Amin!


Seseorang yang merasakan dirinya bagus, sebenarnya hampir-hampir menggelincirkan kakinya ke dalam lubang yang amat bahaya, yang membawa kepada tiga sifat mazmumah (keji) yang perlu dielakkan iaitu ujub, riyak, dan takkabbur."
(Ir Ahmad Jais Alias Syaznii)


Saya kongsikan sebahagian tulisan Tuan Ir Ahmad Jais Alias Syaznii ini, yang saya fikir ianya amat bermakna untuk dikongsi sebagai pedoman kita semua.


Gambar hiasan


(Petikan : Artikel Ir Ahmad Jais Alias Syaznii)


UJUB ertinya berasa takjub dengan diri sendiri. Berasa dirinya hebat dan lebih daripada orang lain, walaupun perasaan itu mungkin  tidak terlafaz atau dizahirkan dengan kata-kata. Guru saya memberikan contoh berikut:  


Seorang yang bangkit awal pagi untuk bertahajud, bermunajat sendirian di ruang kamarnya, tanpa diketahui oleh sesiapa pun meratap merayu kepada Tuhannya, boleh terpercik penyakit ujub, jika terdetik di hatinya perasaan dan kata-kata: "Alhamdullillah, awal aku bangun hari ini, tidak sangka pula dapat bertahajud dalam keadaan jiran semua masih tidur lena"


Cukup dengan merasai kehebatan diri sendiri itu, walau tiada siapa tahu dia bertahajud, maka rasa takjub dengan diri sendiri itulah namanya ujub. Penyakit ujub jika dilayan dan dibiarkan bermain-main di perasaan, jika tidak dibendung dan dirawat segera, akan mudah merebak menjadi RIYAK. Bagaimana? Jika si polan tersebut mula membuka mulut dan menceritakan kehebatannya dan mengharapkan orang melihat kehebatannya dan mengharapkan orang melihat kehebatannya. 



Contohnya: jika selepas bertahajud maka si polan segera ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Selepas solat subuh berjemaah, dia sengaja bertanya kepada jiran-jiran soalan seperti: 


Jam 5.00 pagi tadi tak dengar ke bunyi jam loceng? Saya dengar sampai ke rumah saya, ganggu wirid dan tahajjud saya tadi!"


Ungkapan itu bertujuan memaklumkan kepada jirannya, dia telah bangkit lebih awal daripada jirannya. Maka jatuhlah si polan itu perangkap riyak, iaitu melakukan amalan kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia dan mengharapkan pujian. Riyak yang kronik akan membawa si penghidapnya kepada TAKABBUR  iaitu kemuncak keburukan akhlak pada mana-mana makhluk. Orang yang takabbur akan berbangga dengan kelebihannya dan menempelak orang lain dengan menganggap semuanya lemah dan buruk. Contohnya:


Awat hang tak bangkit Subuh? Teruklah hang ni. Tengok macam aku, setengah jam sebelum azan, sudah siap tahajud dan nak pi masjid dah. Bukan macam hang, dok berdengkur lagi." 

******************************


Nauzubillahi min zalik! Betapa perlu untuk kita sentiasa bermohon perlindungan dari Allah, agar terpelihara dari rasa terdetik sebegitu di hati. Agar tidak tergelincir ke dalam lubang iblis yang membawa diri hanyut dalam rasa bangga dan meninggi diri sedang diri kita diciptakan dengan penuh kelemahan. 



Orang berilmu jika tidak disempurnakan dengan adab, akan menjadi bajet bagus

Orang kaya jika hilang adab, akan jadi sombong. 

Orang miskin jika tidak beradab akan menjadi sampah masyarakat yang melambakkan masalah sosial yang lain. 

Anak yang tidak diajar beradab, akan jadi biadap. 

Ibu bapa yang lemah adab, akan hilang tanggungjawab.

Yang paling bahaya, pemimpin yang tidak mengambil kira soal adab, ada kecenderungan menjadi pemimpin yang zalim.  

 (Penulis : Ir Ahmad Jais Alias Syaznii)




Kerana manusia itu diciptakan lemah. (an Nisa' : 28)







Artikel sebenar: Majalah solusi Isu 38. muka surat 27. Penulis: Ir Ahmad Jais Alias Syaznii

3 comments: