Sunday, June 17, 2012

1001 nikmat

Begitu banyak dan tidak terhitung nikmat yang maha Agung! Oh, betapa kita seronok menikmati segala kesenangan ini, namun ada saudara seakidah yang masih tidak ketahuan nasib dan makan minumnya! Dan Sejauh mana kita mensyukuri 1001 nikmatnya? Sejauh mana kita menjadi hambanya yang benar-benar telah berterima kasih? T_T


Alhamdullilah, Allahuakbar,

Sebenarnya jika difikir dan mahu disenaraikan segala kurniaan yang Allah kurniakan pada kita, tidak langsung dapat disenaraikan. Sedari kita ditiupkan ruh di alam rahim itu, nikmat yang Maha Besar sudah bermula. Kasih sayangnya sudah disemai buat bakal umat nabi Muhammad! Di alam rahim itu, Allah melindungi dengan kukuh bersama si ibu, yang padanya barakah dan rahmat. Disirami dengan zat-zat dan nutrisi agar ia bertumbuh dan berkembang menjadi segumpal daging yang seterusnya Allah kasihkan dengan tulang temulang dan segala urat saraf yang menjalar. 



Tidak cukup dengan itu, Allah mengurniakan satu alat yang menjadi nadi seorang manusia iaitu jantung untuk terus bernyawa dan terus bernafas hatta di luar alam nyata berserta organ-organ yang cukup unik. Sampai masa, lahirnya si kecil berteriak tanda syukurnya pada yang Maha Esa yang telah menyampaikannya pada dunia nyata. 



Nikmat Tuhan belum berhenti dan tidak akan berhenti. Si kecil, dikurnia para ibu bapa yang padanya Allah titipkan rasa kasih, sayang dan simpati agar si kecil dijaga, dibelai, dipelihara penuh kelembutan. Di cukupkan makan dan minum, tempat berlindung dan segala segi aspek fizikal. Ah! tidak perlu diceritakan betapa segalaNya adalah dengan izin dan kasihnya Allah pada hamba-hambanya.



Sesungguhnya segala kenikmatan yang Allah kurniakan adalah pinjaman semata. Yang kadangkala Allah selangselikan dengan sedikit ujian, agar kita tidak dibiarkan terus lena melayari segala nikmatnya. Agar kita beringat! Tapi, berapa ramai yang menyedarinya? Kadang-kadang, kita ditimpa dengan pelbagai bentuk ujian, sakit, kemalangan, kehilangan yang pada ketika itu nikmatNya sedang memuncak. Kita mengeluh, apa semua ini?


Maka ingatlah kembali pada segala nikmat yang tercurah sebelum ini. Mungkin ujian ini sebagai kafarah, pada noda dan dosa yang terkadang kita melakukannya tanpa sedar atau sekalipun sedar. Kerana itu, teruskanlah berterima kasih, teruskanlah bersyukur kerana ianya umpama peringatan halus datang terus daripadaNya.



Aneka Kurnia


Ketahuilah, kurniaNya cukup beraneka. KurniaNya bukan setakat duniawi sahaja, malah mencakupi segala segi. Kurnia nikmat dunia, sudah tentunya kesihatan yang baik, harta dan sumber pendapatan yang halal, juadah yang beraneka, keamanan yang dikecapi hatta senafas udara yang disedut! Malah air tidak putus-putus kita gunakan pada setiap ketika. Belum kita campur dengan kejadian alam yang cukup membuka mata hati bagi mereka yang mahu berfikir. Allahuakbar.



Nikmat Iman dan Islam adalah nikmat cukup besar! Kita dilahirkan terus sebagai Islam yang padanya kita mengenal Allah, mengenal Rasul, serta menatap naskhah hebat al Quran. SubhanAllah. Dan Allah telah memilih kita untuk diberikan kekuatan untuk terus beriman dan beramal padaNya! 



Dan ketahuilah nikmat yang dinanti oleh semua penghuni syurga ialah nikmat akhirat yang padanya kekal. Itulah ganjaran buat mereka yang bersyukur saat diberi nikmat di dunia. Ganjaran syurga yang Allah ciptakan tidak akan sama nilainya dengan amalan manusia di dunia. Dengan segala sifat pemurahNya, Allah mengurniakan kadar pahala yang jauh lebih bernilai dengan telah dikerjakan di dunia. Oh syurga! Tidak akan terbayang keasyikannya! Allahuakbar.




Jika kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya"
(Surah Ibrahim, 14 : 34)


Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabku amatlah berat" 
(Surah Ibrahim, 14: 7)


Jom jadi Ahli Syukur. :)


Nota: Diubah suai dari solusi isu no 43, tulisan Pahrol Mohamad Juoi.

Saturday, June 9, 2012

Kasih Seorang Rasul

Kisah ini saya bawakan dari buku Semulia Akhlak Nabi karangan Amru Khalid di bawah tajuk Tawadhu'. Tertarik untuk berkongsi bagaimana halusnya kasih sayang baginda terhadap kanak-kanak perempuan ini yang cukup menyentuh hati.


********************


Jumlah wanita dalam Perang Khaibar waktu itu ialah sebanyak 20 orang. Di antara mereka, ada seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil. Nabi saw lalu bersabda kepada kanak-kanak ini.

Kemarilah, naik di belakangku"

Jarak tempoh perjalanan pada ketika itu ialah 90 km. Para sahabat menceritakan,


Jika nabi ingin beristirehat baginda menurunkan kanak-kanak perempuan ini dari atas unta dengan mengarahkan unta tersebut berlutut, lalu beliau berkata, "Hulurkan tanganmu" Demikian nabi saw menurunkan kanak-kanak kecil ini.


Kanak-kanak perempuan itu menceritakan,

ketika perang telah tamat dan kemenangan berpihak pada kaum muslimin, aku melihat Rasulullah saw membahagi-bahagikan harta rampasan perang. Tatkala melihatku, baginda bersabda "Kemarilah" Aku menghampiri baginda, lalu baginda mengeluarkan seuntai kalung seraya berkata kepadaku "pakailah kalung ini" 

Ketika aku ingin mengambil kalung tersebut dari baginda untuk ku pakai, tiba-tiba baginda bersabda,

Jangan! Aku akan memakaikannya untukmu. Maka Rasullulah saw memakaikan kalung tersebut ke leherku. "


Kanak-kanak perempuan ini lalu berkata, " Demi Allah, selepas ini, kalung ini tidak akan terlepas dari leherku untuk selamanya kerana aku telah bertekad agar ia terkubur bersamaku kelak, sampai datang hari kiamat. Pada hari itu (kiamat), aku akan mengatakan pada Rasullullah, "Kalung ini, wahai Rasullulah."


Begitulah kisah sebuah ketulusan hati nurani Rasulullah yang berlaku pada 1400 tahun yang lalu. Betapa ketawadhukan baginda sungguh luar biasa. Hatta terhadap kanak-kanak, fakir miskin, orang tua dan segenap lapisan masyarakat.



Lawan kepada sifat tawadhu ialah sombong. Ayuh kita sama-sama berdoa agar tidak sesekali merasa lebih hebat dari yang orang lain. Nabi saw mendefinisikan kesombongan sabdanya,

Kesombongan itu menolak kebenaran dan merendahkan martabat manusia"

Nabi saw turut bersabda,


Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun seberat zarah (sebiji sawi). "

Nauzubillahi min zalik! Moga kita dijauhkan. Tetapi terus didekatkan dengan jalan-jalan menuju pintu-pintu syurga yang serba indah dan sempurna.. InsyaAllah.


Penulis Amru Khalid mengakhiri topik tawadhu' ini dengan iringan doa :

Ya Allah, kurniakan kami sikap tawadhu'....


Ya Allah, patrikan pada diri kami sikap tawadhu'....


Ya Allah kami berlindung dari kesombongan....


Ya Allah jauhkan kami dari sifat sombong....


Ya Allah tolonglah kami untuk selalu dapat berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah kepadaMu sebaik-baiknya....


Amin ya rabb


Entry Bajet Bagus ini juga berkisar tentang sifat riak, sombong dan takbur secara lebih praktikal. :)



p/s: Gambar sempena hari bapa yang bakal menjelma ( tak pasti tarikhnya bila, tak patut betul!).
Selamat Hari Bapa buat Abah. Terima kasih atas penat lelah dan pengorbanan. ^^