Friday, August 26, 2011

Meniti hari-hari terakhir

Bismillah


Masih teringat zaman kanak-kanak dan awal remaja, saat tiba aidilfitri, hati begitu girang, melonjak-lonjak kegembiraan. Entah apa yang suka sangat. Mungkin kerana dapat baju raya baru, kasut raya baru, dapat main bunga api ( mercun x berani main...), dan mungkin juga bakal memperolehi duit raya yang berkepuk-kepuk selain berkumpul bersama sanak saudara dan beraya sakan. Dan yang pasti, seronok  kerana dapat menikmati pelbagai juadah yang sedap-sedap dan tidak perlu untuk berpuasa lagi dan boleh dikatakan banyak perkara yang disukai tatkala aidilfitri menjelang tiba... 



Gambar : Hiasan


Itu zaman ketika aku belum mengenal tarbiyah. Zaman ketika aku belum mengenal matlamat hidup yang sebenarnya.  Matlamat hidup seorang muslim yang beragama Islam yang bukan hanya pada nama Islamnya sahaja. Kerana hakikatnya kita adalah seorang hamba kerdil kepada sang pencipta yang agung dan seorang khalifah di muka bumi ini. Sesungguhnya tugas dan amanah seorang hamba kepada sang pencipta dan khalifah di muka bumi Allah ini cukup besar.  Masakan tidak?  

Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak dapat melaksanakannya, lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh. " 
(Al-ahzab: 72)



Dan ketahuilah matlamat hidup ini. Kerana selagi nafas ini masih mendesah dan selagi oksigen yang dihirup ini tidak dituntut untuk dibayar walau sedetik bernafas dan selagi jantung dan nadi masih dikurnia Allah untuk terus bernyawa. Selagi itu, Allah mengurniakan seluas-luasnya pilihan buat kita. Memilih untuk terus hidup dan berada di jalan yang mana?


Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu"
(Az-zariyat: 56)



Jazakunallahu khairan khathira kepada  murabbi dan sesiapa sahaja yang telah menarik tangan ini melangkah ke sebuah dunia baru. Dunia dakwah dan tarbiyah. Walau tidak menjanjikan kesenangan dan kemewahan, walau tidak dilimpahi janji-janji manis namun syurga itu janji yang pasti. Dan ketenangan jiwa yang tiada taranya. Alhamdullillah.



Tidak menafikan kegembiraan di hari kemenangan 1 Syawal nanti. Hari saat umat Islam seluruh dunia meraikan dengan penuh syukur atas nikmat kejayaan, kesejahteraan dan kesihatan setelah sebulan berpuasa. Namun, untuk meniti perpisahan bersama Ramadhan, aku seolah 'takut' andai sebulan puasa yang dilalui telah berlalu dengan sia-sia. Astaghfirullah. Nauzubillah..! Berdoalah dan sentiasa memohon, moga Allah menerima segala amal kita dan mengiranya untuk disenaraikan sebagai saham berganda di akhirat kelak.



Sia-sialah dan rugilah sesiapa yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa ke atasnya"
(Hadith Riwayat Bukhari) 



Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka manakala syaitan-syaitan dibelenggu" 
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 



Dan Ramadhan kali ini benar-benar meguji kembali syahadahku. Menguji sejauh mana diri ketika berdepan dengan sekelumit libasan yang tidak terbanding dengan dugaan umat-umat terdahulu. Sejauhmana dan bagaimana untuk kembali 'segar' dalam dunia 'baru' dan mengaut ganjaran Allah di bulan keampunan ini.



Semalam adalah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan tahun ini. Dan kini meniti hari-hari terakhir di bulan mulia ini. Moga hamasah di bulan Mulia ini tidak terhenti setakat di sini dan menjadi titik tolak untuk menjadi lebih 'hebat' menyusur langkah sebagai hamba dan khalifah di bulan-bulan yang mendatang. InsyaAllah



Dari Jabir dari Nabi S.aw: 
Apabila malam terakhir dari bulan ramadhan datang, maka menangislah seluruh langit, bumi dan para malaikat kerana musibah yang akan menimpa umat nabi Muhammd.


Rasullulah ditanya, "musibah apa ya Rasullulah?"




Nabi S.a.w menjawab: Perginya Bulan Ramadhan. Kerana di Bulan Ramadhan itu semua doa-doa dikabulkan, semua sedekah diterima, semua kebaikan dilipatgandakan pahalanya serta seksa pun dihentikan"






 




Ramadhan ini berbaki. Ayuh, usah disia-siakan. Jangan dirugikan.


Salam Lebaran. Salam Aidilfitri minal 'aidil wal faizin. 


Mohon kemaafan andai khilaf yang terjadi. Kerana hamba adalah insan biasa.


Wallahu 'alam. 

0 comments: