Alhamdullilah. Allah masih mengizinkan untuk Ramadhan kembali bertamu. Allah masih mengizinkan untuk menghadiahkan sebuah bulan yang penuh barakah buat hamba-hambanya. Allah masih memberi peluang acap kali buat hamba-hambanya untuk memperbaharui jiwa dan segala tingkah dan kesilapan lalu... Allah, Allah, Allah..! Begitu luas kasih sayangMu! Terima kasih Allah.
Aku berharap penuh pengharapan agar Ramadhan kali ini benar-benar mampu mendidik dan memberi 1001 perubahan dalam diri. Agar Ramadhan kali ini mampu melampiaskan ketaqwaan bukan hanya pada diri, tetapi juga mampu di'percikkan' kepada seluruh ahli keluarga yang lain. Kalau dahulu, dakwah hanya dalam linkungan manusia-manusia di luar, yang sama jantinanya, yang lebih kurang sebaya umurnya, atau mungkin lebih muda. Tetapi kini, aku sedar proses ini harus diteruskan. Sentiasa perlu diteruskan. Jangan STOP!
Ah! Bukan mudah kerja ini. Masakan senang? Ku kira, aspek yang paling penting dalam menggerakkan 'gerabak' ini untuk terus berada dalam landasan, ialah bermula pada diri. Dalam diri. Merasakan amat perlu menjadi qudwah hasanah dalam keluarga ini. Menjadi role model. Berasa amat kerdil di sisi sahabat yang khabarnya berjaya menempiaskan kerjanya pada seluruh keluarganya. Bagaimana agaknya dia menjaga mutabaah amalnya. Bagaimana agaknya dia bergenang air mata bersama sang pencipta meminta dan memohon saban waktu di tengah malam yang sunyi? Pasti bermacam halangan dan pengorbanan yang dilaluinya. Ah. Persoalan demi persoalan ligat di kepala memikirkan metod terbaik untuk bergerak.
Menjadi role model. Ku kira tidak perlu melantunkan madah bicara, memberi penjelasan panjang lebar. Berleter tak tentu hala. Cukup dengan setiap tingkah dan kata yang ditonjolkan. Cukup sebagai suatu bentuk didikan secara halus... Cukup agar mata mereka menjadi saksi betapa indahnya Islam menyediakan kita suatu bentuk hidup yang bersyariat.Cukup indah.
Doa ku buat Ramadhan kali ini. Moga dikurnia kekuatan untuk terus 'berlari'. Walau dalam kondisi apa pun. Moga hati-hati kita tetap tsabat dalam agamaMu. Dan Moga Ramadhan ini menjadi saksi untuk segala bentuk 'kerja' yang dilakukan.
Mendidik dengan Ibrah Perang Badar
Mengambil ibrah semangat perang badar, cukup untuk meremangkan bulu roma. Membayangkan kiranya diri berada pada ketika itu, di saat panas dan bahang mentari menerjah di atas kepala, ditambah ketika itu wahyu pertama yang diturunkan Allah atas kewajipan menunaikan puasa. Sudahlah pertama kali berpuasa, keterujian fizikal begitu menggugat tatkala berjalan berpuluh kilometer di tanah gersang dan bertempur dengan kafir musyrikin yang bilangan dan kelengkapan yang jauh lebih baik. Begitu serba serbi kekurangan ahlul badar ketika itu. Namun, mereka punya kelebihan tersendiri. Iaitu iman dan keyakinan. Yakin bahawa akan tiba pertolongan dari Allah Azzawajalla.
Sesungguhnya semangat Ahlul Badar yang berperang tika diri berpuasa dengan serba serbi kekurangan wajar menjadi inspirasi. Apalah sangat perjuangan kita sekadar melawan nafsu makan dan nafsu syahwat berbanding mereka?
Sebaliknya, ramai di antara kita yang sudah kelesuan dan keletihan tatkala tiba waktu tengah hari di bulan Ramadhan. Langsung merudum kadar produktivitinya. Jika ditanya, ada bermacam alasan. Ada yang berbangga dengan ibadah solat terawih 20 rakaat, bertadarus selepas solat terawih. Ada pula yang bangun tengah malam untuk bersolat tahajud. Pendek kata, segala solat sunat mahu dilakukan sepanjang malam Ramadhan. Tapi, akibatnya pada siang harinya, tanggungjawab dan amanat dalam pekerjaan tidak dititik beratkan.Ketika bermesyuarat, tidak dapat menumpukan perhatian, melakukan kesilapan dalam mencatat dokumen. Malah ada juga yang ponteng kerja dengan tertidur di surau selepas solat zohor. Ah? Beginikah etika pekerja yang sedang berpuasa?
Sesungguhnya, kunci kepada segala amalan dan ibadah ialah
ikhlas. Memang lumrah manusia mengantuk apabila kurang tidur, tetapi siapakah yang menyuruh kita berjaga malam sepanjang bulan Ramadhan? Sebab itu Rasullulah bersolat terawih 8 rakaat di masjid dan selebihnya sehingga 20 rakaat di rumah. Kerana baginda tidak mahu umatnya melakukan perkara yang mereka tidak berupaya melakukannya dengan
ikhlas.
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka" (Hadith)
InsyaAllah. Moga kita ikhlaskan diri dalam beribadah di Ramadhan kali ini. Jauh sekali beribadah kerana ingin menunjuk-nunjuk atau berlumba-lumba siapa yang paling kuat beribadah di bulan Ramadhan. Nauzubillah.
Salam Ramadhan.
Rujukan: Utusan (Rencana). Penulis asal : Maulana Arrif