Friday, July 8, 2011

Siap Siaga

Aku punya latar dan pengalaman ketenteraan. Bukan seminggu atau sebulan, tapi tiga tahun. Berkecimpung dalam pasukan latihan pegawai simpanan punya pengalaman tersendiri. Bergelumang dengan lelah dan cungap itu satu kemestian dalam setiap latihan. Tidak lupa pada disiplin yang sentiasa dititik beratkan. Dan pada masa itu tulang temulang serta  otot-otot dirasakan begitu mencengkam! Dan aku tahu dan faham bahawa sebagai salah seorang anggota pasukan tentera, kami perlu sentiasa bersedia, walau bukan berada di barisan paling hadapan, kami harus siap jika ditakdirkan meletusnya perang. Bersiap siaga! 
Ah! Itu masa lalu ku. Masa lalu yang bukan sia-sia.




Tapi, kelelahan fizikal itu ku rasakan tidak cukup. Kerana terkadang terasa tertampar di mana aku saat para sahabiah berpenat lelah menggerakkan halaqah dan buah fikiran serta tenaga di medan dakwah. Sudahkah merasa sebegitu cungap dan lelah di jalan ini seperti yang dirasakan tatkala seluruh fizikal mu kuat mendesak dan mengerah, berhempas pulas menuju ke garisan penamat. Sudahkah merasa sebegitu letih dan nafas seolah mendesah seperti As Syahid Imam Hassan al Banna yang setiap malamnya tidak lepas fikirannya memikirkan ummah ini yang akhirnya syahid di tebak oleh peluru si kafir itu? Dan sejauh mana siap siaga dirimu dalam merentas dunia realiti ini yang semakin mencengkam?

Ya. Inilah dia. Dunia realiti yang begitu menakutkan! Dunia yang bukannya mudah. Dunia yang perlu mujahadah.

Dan di saat madrasah tarbiyah yang semakin memunculkan diri, aku perlu bersiap siaga menyiapkan segala keperluan ruhi dan jasadi. Memastikan bahawa diri tidak mensia-siakan bulan itu dengan berlalu begitu sahaja. Sesungguhnya, bulan itu menyimpan 1001 rahsia yang begitu misteri. Dan di bulan itu, Allah telah menghadiahkan malam yang penuh syahdu buat pencinta dan perindu sunyi nan bayu. Oh! Aku rindu saat berdamping denganmu di malam yang ditemani cahaya bulan dan angin yang mendesir menjadi peneman. 

Kerana medan ini harus berjalan samada dalam tempo yang berbeza atau seiring demi sebuah bekal di jalan dakwah ini.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan!


Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh Allah beserta orang-orang yang berbuat baik. (Ar Rum : 69)

0 comments: