Friday, July 15, 2011

Sang Waktu


Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya tempoh setahun,
tanyalah pada
penuntut yang belajar pulun
tapi gagal di akhir tahun.



Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sebulan,
tanyalah pada
si ibu yang baru saja melahirkan
bayi tidak cukup bulan.



Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu seminggu,
tanyalah pada
orang yang sempat hidup
dari kesan bencana alam



Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sehari,
tanyalah pada
perokok yang menghidap kanser hati
namun sabar menunggu mati



Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sejam,
tanyalah pada
sang pencinta yang duduk lebam
tunggu kekasih tak datang-datang.



Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu seminit,
tanyalah pada
orang yang mengejar bas transit,
akhirnya tertinggal terkincit-kincit



Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sesaat,
tanyalah pada
orang yang baru saja terselamat
dari kemalangan singkat





Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu semilisaat,
tanyalah pada,
atlit yang mati-matian berlari kuat
hanya demi sekeping pingat





Di antara paling cepat dan paling lambat
Tiada satupun kisah yang tidak padat
Biar seberapa mahal pun masa sesaat
Kita mungkin terlewat
Namun tidak bagi sang waktu.











Sumber: Irfan Jani Facebook : Sumber inspirasi.








Penulis: Subhana Allah! Begitu hebat madah bicara karya ini. Mendalam dan sungguh bermakna! Itulah dia masa yang waima emas sekalipun tiada galang gantinya. Terima kasih kepada penulis asal yang bijak bermain bahasa. Praised to Allah!

Thursday, July 14, 2011

Tawakkal kita

Saya kira saya belum pernah memberi ulasan atau entry berkaitan cerita atau filem. Tipu kalau saya katakan diri ini langsung tidak menonton cerita-cerita atau filem-filem tika ada waktu senggang terutama ketika di rumah bersama keluarga tercinta. Tipu juga kalau saya katakan saya langsung tidak menyentuh sebarang bentuk hiburan  untuk mengisi masa terluang. Ah! Ini lah realitinya. Realiti yang perlu dihadapi dengan berhati-hati!



Mungkin pada suatu ketika kita bisa berkumpul bersama lingkungan para sahabat yang soleh dan solehah, yang sentiasa mengajak untuk bersolat berjemaah, membaca al Quran dan mentadabbur maknanya, sama-sama ingat mengingati tatkala ada yang 'down', mengajak untuk bangun malam untuk meneguhkan cinta kepada sang pencipta, saling menguatkan antara satu sama lain. Tarikan duniawi pula begitu lemah sama sekali. Oh! begitu senang dan indahnya hidup ini jika seluruh hidup ini begitu terbimbing oleh para murabbi dan mutarrabbi yang sentiasa menjaga di sisi. Namun hakikatnya Tidak!



Kerana segalanya bermula pada diri sendiri. Kerana dirilah yang akan belajar untuk mengenal siapa kita yang sebenarnya. Kerana diri sendirilah yang berhadapan dengan segala rencah realiti hidup. Kerana diri sendirilah yang memilih jalan yang bakal dilaluinya. Kerana itulah, amat penting 'fikrah islami' ini perlu disemai, dibajai seterusnya disiram agar tumbuh suatu dahan yang teguh menjulang ke langit yang akar umbinya begitu kukuh untuk dicabut dan dirosakkan oleh anasir-anasir yang punya rencananya tersendiri. Itulah dia 'tarbiyah' atau didikan yang datang dari Allah.



Ok. berbalik kepada filem yang bakal saya kongsikan. Dua buah filem sebenarnya. Kerana kedua-duanya datang dari produksi dan penulis yang sama. (jika saya salah, betulkan ya). Walaupun ianya berkisar dan bersumberkan pada kitab Bible dan pengaruh kepercayaan agama Christian, namun bagi saya tunjang ketauhidannya sama iaitu percaya bahawa ada SATU sahaja pencipta di alam fana ini iaitu Allah. Allah azzawajalla. (Christian bertuhankan Jesus)







 Nothing is impossible if God with you" (Matthew) - Facing the Giants 


Dan tidak banyak bezanya dengan ayat dari al-Quran yang membawa maksud akan kekuasaan Allah yang mampu menjadikan segalanya walau pada zahirnya di luar kemampuan manusia.


Sesungguhnya urusanNya apabila DIA mengkehendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu." (Yassin : 82)


Kepercayaan dan keyakinan akan kekuasaan Tuhan yang mampu melakukan apa jua yang dikehendakinya. Itulah yang saya kira, kita beriktikad dan beriman akan wujudnya Allah, Tuhan yang sekalian alam yang zatnya tidak terjangkau oleh fikiran dan akal manusia.



Mesej ini cuba disampaikan dalam kisah yang dipaparkan yang mana tidak melupakan usaha yang harus seiring dengan tawakkal dan pengharapan akan pertolongan dari yang maha berkuasa.



Kedua-dua kisah yang dipaparkan berkisar bagaimana manusia berhadapan dengan masalah-masalah dan dugaan yang begitu menggugat jiwa. Yang terkadang menggetarkan kepercayaan bahawa segala permasalahan dan dugaan itu telah Allah rencanakan asbab dan musababnya. Itulah dia 'ujian'. Ujian yang datang untuk melihat sejauhmana ketaatan dan kebergantungan manusia pada DIA, penentu segalanya. 



Elemen dakwah dalam kisah ini begitu jelas. Bagaimana keyakinan individu itu, di perkuat oleh 'murabbi' yang bijak mengatur bicara dalam mendidik mutarabbinya agar terus teguh berpegang pada prinsip dan akidah. Bagaimana saya kira, ada sebahagian babak dalam Facing The Giants, pelajar-pelajarnya telah membuat bulatan dan saling menginsafi serta mengingati antara satu sama lain. Dalam perkataan lain kita kenal ia sebagai 'halaqah'  atau 'usrah'. Suatu bentuk wadah tarbiyah individu yang disarankan oleh pemimpin as-Syahid Hassan Al Banna. Oh! menarik bukan?








Saya kira, selain keterujian kepercayaan mereka pada Tuhan yang satu, kisah yang dipaparkan turut terselit beribu nilai-nilai murni yang semakin lama semakin nipis di dada setiap daripada kita. Bermula bagaimana kita memulakan bicara, setiap patah perkataan yang keluar di bibir, komunikasi dengan setiap individu di sekeliling terutama bagaimana kita menjaga hubungan dengan kedua ibu bapa dan sudah tentu hubungan dengan DIA, sikap usaha yang bersungguh-sungguh, sabar dan banyak lagi nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan dalam filem ini. Tidak rugi anda menontonnya. 



Saya fikir, tidak perlu untuk saya menceritakan sinopsis kedua-dua kisah ini. Tonton dan fahami setiap patah perkataan yang dipaparkan. (Tonton bersama subtitle). InsyaAllah. Beroleh manfaat. Selamat menonton!




Penulis: Jazakallah kpd Ustaz hasrizal yang memperkenal cerita ini. :)

Friday, July 8, 2011

Siap Siaga

Aku punya latar dan pengalaman ketenteraan. Bukan seminggu atau sebulan, tapi tiga tahun. Berkecimpung dalam pasukan latihan pegawai simpanan punya pengalaman tersendiri. Bergelumang dengan lelah dan cungap itu satu kemestian dalam setiap latihan. Tidak lupa pada disiplin yang sentiasa dititik beratkan. Dan pada masa itu tulang temulang serta  otot-otot dirasakan begitu mencengkam! Dan aku tahu dan faham bahawa sebagai salah seorang anggota pasukan tentera, kami perlu sentiasa bersedia, walau bukan berada di barisan paling hadapan, kami harus siap jika ditakdirkan meletusnya perang. Bersiap siaga! 
Ah! Itu masa lalu ku. Masa lalu yang bukan sia-sia.




Tapi, kelelahan fizikal itu ku rasakan tidak cukup. Kerana terkadang terasa tertampar di mana aku saat para sahabiah berpenat lelah menggerakkan halaqah dan buah fikiran serta tenaga di medan dakwah. Sudahkah merasa sebegitu cungap dan lelah di jalan ini seperti yang dirasakan tatkala seluruh fizikal mu kuat mendesak dan mengerah, berhempas pulas menuju ke garisan penamat. Sudahkah merasa sebegitu letih dan nafas seolah mendesah seperti As Syahid Imam Hassan al Banna yang setiap malamnya tidak lepas fikirannya memikirkan ummah ini yang akhirnya syahid di tebak oleh peluru si kafir itu? Dan sejauh mana siap siaga dirimu dalam merentas dunia realiti ini yang semakin mencengkam?

Ya. Inilah dia. Dunia realiti yang begitu menakutkan! Dunia yang bukannya mudah. Dunia yang perlu mujahadah.

Dan di saat madrasah tarbiyah yang semakin memunculkan diri, aku perlu bersiap siaga menyiapkan segala keperluan ruhi dan jasadi. Memastikan bahawa diri tidak mensia-siakan bulan itu dengan berlalu begitu sahaja. Sesungguhnya, bulan itu menyimpan 1001 rahsia yang begitu misteri. Dan di bulan itu, Allah telah menghadiahkan malam yang penuh syahdu buat pencinta dan perindu sunyi nan bayu. Oh! Aku rindu saat berdamping denganmu di malam yang ditemani cahaya bulan dan angin yang mendesir menjadi peneman. 

Kerana medan ini harus berjalan samada dalam tempo yang berbeza atau seiring demi sebuah bekal di jalan dakwah ini.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan!


Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh Allah beserta orang-orang yang berbuat baik. (Ar Rum : 69)

Tuesday, July 5, 2011

Kini ku mengerti

Kini ku mengerti

Betapa kudratmu itu amat hebat
Walau hanya seorang wanita biasa

Betapa kesabaranmu terkadang tercabar
Oleh duri-duri tajam yang terkadang menerjam

Betapa engkau lalui dengan penuh pengertian
Bahawa anak-anak mu
Sentiasa bisa membutuhkanmu
Walau sesaat

Kini ku mengerti

Jerih perih kau melayan kerenah kami
Segala pinta dan kehendak cuba dituruti
Ah! betapa kau sabar menyapa
Tatkala tangan dan kakimu
Terus deras menari
Menggapai itu dan ini
Mengurus keperluan
Yang mana perlu

Oh! Kau tidak pernah gagal menyediakan makan pakai kami
Kau tidak pernah gagal bertahan dengan kami
Kau tidak pernah gagal menbanting kudrat untuk kami
Pada kerja-kerja yang tidak sudah
Untuk kami

Terima kasih untuk segalanya
Ibunda
Hanya yang Esa dapat membalasnya
Moga bahagia nan abadi, menanti di syurga nanti
Bersama sang suami yang begitu kasih dan menyayangi
Moga Allah kumpulkan kalian sebagai ahli syurga.
Insya Allah


Selamat Hari Lahir Emak





" ..dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat dan jauh, teman sejawat, ibnu sabil ( musafir yang bukan kerana maksiat yang kehabisan bekal) dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga diri,.." ( An-Nisa' : 36 )




" Dan Tuhanmu telah memerintah agar kamu agar kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu dan bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanm, maka sekali-kali jangan kau mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik"  (Al- Isra': 23)




Penulis: 'Kami' sayangkan mak dan abah.

Mood : Muhasabah. (Jom berbakti kepada orang tua!) ^_^

Sunday, July 3, 2011

Tinta itu

Penulisannya begitu puitis dan menyentuh kalbu. Begitu dekat dalam naluri dan jiwa si pembaca. Begitu halus menyentuh tiap relung hati. Aku bukan bermadah kerana kata-kata dan bahasa penulisan ini. Tapi kerana tinta yang dipersembahkan begitu membuka mata dan hati. Bahawa sejarah ini begitu agung. Sejarah sebuah keagungan. Namun, akhirnya rebah. Kerana ada rencana-rencana rahsia yang hanya diketahuiNya. Namun, bagiku itu adalah Sunnatullah. Suatu ketetapan dan kitaran masa yang akan berulang kembali.  Tapi ingat! Walaupun Allah berkata yang batil tetap batil dan al Haq itu pasti menang, itu bukan bermakna kita hanya sekadar bergoyang kaki dan mengisi perut yang kelaparan sambil menanti yang Haq itu untuk menang. Tidak! Kerana 'kerja' dan 'proses' ini perlu diteruskan, terus terusan.

Saya kongsikan sebuah tinta dari kisah Sultan Abdul Hamid II (Kerajaan Turki Uthmaniyah) ketika saat-saat dibuang kerajaan, yang mana menjadi suatu tarikh keramat, jatuhnya pemerintahan khilafah di bumi Allah ini. Terasa bergetar seluruh tubuh, bilamana memikirkan andai aku berada di situ?


***********************************************************

Andainya Aku Di Situ 

Oleh: Abdul Rahman Raji, 

Tahun 1, Syariah Islamiyah, 

Universiti Al-Azhar (Kaherah)


Suasana sunyi menyelubungi malam yang pekat gelita itu. Keheningan suara alam seolah-olah turut bersama menangisi peristiwa pahit tersebut. Angin bertiup perlahan, seakan-akan menyesali terhadap apa yang bakal berlaku. Bahkan, bakal disesali dan ditangisi seluruh alam.

Kedengaran derapan tapak kaki beberapa orang, melangkah masuk ke pekarangan Istana Yildiz. Masing-masing serba lengkap berpakaian kemas berwarna hitam. Kedatangan mereka bakal membawa suatu titik berdarah bagi sejarah umat Islam. Mereka ingin segera menemui Sultan Abd Hamid II, Khalifah umat Islam terakhir, di ruang kediamannya. Kedatangan mereka telah dijangka sendiri oleh Sultan Abd Hamid.

Lalu, Sultan Abd Hamid melangkah keluar tenang, mendapatkan mereka. Baginda sudah memahami sendiri tujuan kedatangan mereka. Lalu,baginda berbicara,

“Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku  terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?”, luah Sultan memohon timbang tara dari mereka.

Namun, menghampakan, nilai simpati dan belas kasihan telah lama jauh hilang dari hati mereka.

“Tidak, negara telah memecat anda!” tegas Esha Pasha, salah seorang wakil delegasi tersebut, yang juga seorang wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan. Kedatangan mereka dijelaskannya kepada Sultan Abd Hamid dengan angkuh dan biadap.

Kehadiran mereka sebenarnya telah dirancang sekian lama oleh musuh-musuh kerajaan Bani Uthmaniah sedunia. Mereka telah  disokong 240 perwakilan Parlimen Uthmaniah, dibawah tekanan puak Turki Muda, yang bersetuju dengan penggulingan Sultan Abd Hamid II. Bahkan, seorang senator berpengaruh, Sheikh Hamdi Afandi Mali, telah mengeluarkan fatwa tentang penggulingan Sultan, dan dipersetujui oleh para senator yang lain, walaupun sangat jelas kebatilan dalam fatwanya. Namun, hakikat fakta dan realiti sejarah takkan sekali-kali mampu diubah kebenarannya. Kemudian, satu-persatu wajah ahli delegasi diperhatikan dengan baik oleh baginda.

“Negara telah memecatku, itu tiada masalah, tetapi kenapa kalian membawa serta Yahudi ini masuk ke tempatku?” kata Sultan dengan nada yang cukup marah, sambil menunding jari tehadap salah seorang wakil delegasi Yahudi berbangsa Itali, Emmanuel Carasso.

Baginda cukup mengenali Emmanuel Carasso, seorang wakil yang turut bersama-sama Theodor Herzl ketika cuba membuat tawaran keizinan penempatan Yahudi di Palestin.

“Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami”, balas Esha Pasha, cuba mengalih bicara.

Sultan Abd Hamid sedar kedudukannya di saat-saat yang genting itu. Baginda yakin dengan ketentuan Allah SWT telah tetapkan untuknya. Sunnah Allah yang pasti bagi hari-hari yang digilirkan kemenangan dan kekalahan sepertimana kisah Uhud, suatu ketika dahulu.

Malam 27 April 1909 itu menjadi saksi pengusiran Khalifah terakhir umat dari pemerintahan dunia. Malam itu juga baginda beserta ahli keluarganya yang ramai diangkut menuju ke  stesen kereta api Sirkeci. Mereka diusir dari bumi yang menjadi simbol kekuatan dan kesatuan umat, dan dibuang ke istana milik Yahudi di Salonika.

Bumi seakan-akan bergegar akan tragedi yang memilukan itu. Tanah keemasan yang  pernah dijejak oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera itu suatu ketika dahulu, kini berubah wajahnya menjadi debu-debu yang berterbangan.

“Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan pada umat Muhammad ini” Sultan cuba menenangkan anaknya, Fatimah sambil mengusap air matanya yang mengalir sedih.

Kereta api pun meluncur laju, meninggalkan bumi khilafah di belakang. Maka, tamatlah salasilah pemerintahan Khilafah umat Islam sejak dari zaman Abu Bakar r.a, selepas pembubaran khilafah secara rasmi di Istanbul pada 3 Mac 1924 Masihi bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah.


Saudara,
Andainya saudara telah hidup disaat-saat kejatuhan itu,
Apakah yang akan saudara lakukan?
Marah?
Menangis?
Membuat demonstrasi?
Berceramah dan menghebahkan ke pelusuk dunia?
Mengadakan muktamar-muktamar?
Atau, tenang dan sekadar duduk menerima ketentuan?
Saudara, apa yang akan saudara lakukan?
Jawablah, kerana saat itu saudara telah dihinakan.

Syakib Arsalan Menggaris Langkah

Lalu, di celah-celah kegawatan umat itu, muncul seorang Ulama Agung, Syakib Arsalan menggaris langkah;
“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”
Ungkapannya muncul setelah beberapa kali diutus surat kepadanya, menanyakan pendapat tentang muktamar dan perhimpuanan yang diadakan untuk memilih Khalifah Umat yang baru. Namun, beliau tegas dalam memahami teori kebangkitan bagi umat ini. Kekalahan umat baginya bukanlah sekadar kejatuhan kekuasaan dan pemerintahan khilafah, tetapi ia adalah lebih menjunam hingga ke pokok akar-akarnya, iaitu akidah dan iman setiap muslim di seluruh dunia.

Sejarah membuktikan bahawa kelemahan identiti dan jiwa seorang muslim ketika itu, cukup membimbangkan, sehingga membawa kepada pepecahan dan penentangan sesama muslim.

Di awal ambang kemorosotan kerajaan Uthmaniah, telah muncul satu gerakan Revolusi Arab yang berpusat di Mekah. Mereka menentang pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah atas dasar nasionalisme dan perkauman. Bahkan, gerakan ini ditaja sendiri oleh pihak British dan Perancis. Di Turki pula muncul gerakan Young Turks atau Turki Muda dan Parti Al-Ittihad wal Taraqqi, yang juga menentang dasar pemerintahan khilafah Uthmaniah. Perkembangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara-negara lain, sehingga kebanyakannya menuntut permisahan secara total dari pemerintahan kerajaan Uthmaniah, dan membina negara-negara masing-masing.

Seorang penulis berpengaruh di Mesir, Abdul Rahman Al-Kawakibi telah menulis dalam bukunya, Ummul Qura, menghasut orang-orang Arab supaya menetang kerajaan Uthmaniah, dan menuduh Sultan Abdul Hamid seorang yang mengutamakan politik lebih dari agama.

Kemorosatan moral dan akhlak juga menjadi lumrah dan kebiasaan. Penyelewengan akidah dan bidaah telah merebak ke seluruh jiwa umat. Golongan istana para pemimpin juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta tari-menari dan hidangan minuman keras. Gejala rasuah dan pecah amanah menjadi adat dalam sistem pentadbiran sehingga ke tahap yang kritikal.

Maka, Syakib Arsalan melahirkan kerisauannya pada aspek pembinaan semula jati diri, akidah dan iman dalam diri umat. Beliau memandang hakikat kerosakan tersebut, seiring dengan teori Al-Faruq Umar Al-Khattab, ketika ditanya,

“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia makmur maju?”
Lalu, beliau menjawab:
“Apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik”

Juga, seiring dengan firman Allah SWT ketika mengajar para sahabat erti sebenar kejatuhan pada perang Uhud:
“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), padahal kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan musibah kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (musibah) ini? Katakanlah (wahai Muhammad) (Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”
(Aali Imran: 165)
Ya, Allah SWT telah menegaskan pada umat ini :
“(Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”

Hasan Al Banna Mengorak Langkah


Walaupun begitu, teori Syakib Arsalan tersebut seolah-olah tidak diendahkan para pemimpin dan umat. Hal ini diakui sendiri oleh seorang tokoh Islam bernama Abdul Wahab Azzam,

“Namun,sampai kini kita masih mendengar laungan-laungan di dalam perhimpunan-perhimpunan serta resolusi-resolusi di muktamar –muktamar sejak puluhan tahun dahulu.Semuanya itu hanya merupakan himpunan angka kosong. Usaha dakwah ini mesti dimula dari bawah sepertimana kata Syakib

Maka umat terus dilanda kebingungan sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah di Turki, berbagai pihak cuba membuat serangan-serangan terhadap keteguhan dan keaslian Islam dan umatnya. Kekacauan dan huru-hara yang berlaku kesan dari kejatuhan khilafah Uthmaniah amat dirasai oleh mereka yang masih ikhlas dan dan beriman dengan risalah Nabi SAW. Namun,mereka seolah-olah hanya mampu menunggu kemunculan mana-mana peribadi yang bangkit dan berdiri memimpin mereka ke arah kebangkitan.

Maka, Allah Maha Adil telah menyiapkan sebuah peribadi unggul yang  bangkit dan kembali mentajdid ruh Islam dan jihad ke dalam jiwa umat. Pada tahun 1928, Imam Hasan Al-Banna bangkit dan mengasaskan sebuah gerakan Islam yang melakukan usaha-usaha untuk membawa kembali khilafah kepada tempatnya.

Beliau telah melakukan beberapa kajian-kajian terhadap permasalahan umat dan ubatnya, dan akhirnya mendapati:

“Ceramah, ucapan, buku, pengajian, mengenal pasti penyakit dan ubat sahaja tidak akan membawa apa-apa kesan dan tidak akan dapat membawa pendakwah kepada matlamat. Sebaliknya dakwah perlu menggunakan segala wahana. Wahana yang perlu digunakan oleh semua gerakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah tiga perkara berikut :
  1. Iman yang mantap
  2. Pembentukan yang kemas
  3. Usaha yang berterusan”
Usaha beliau dalam mentarbiyah dan membina umat berterusan dan disambung oleh para generasi selepasnya, dan mula membuahkan hasil demi hasil dengan izin-Nya.

Sirah Rasulullah SAW dalam menumpukan aspek-aspek pembinaan generasi sahabat sehingga membawa kepada penegakan negara Islam Madinah dan menjadi titik bermula kegemilangan empayar Ummayah, Abbasiyah, dan Uthmaniah menjadi dalil jelas kepada usaha Imam Hasan Al Banna dalam menjadikan tarbiyah sebagai kekuatan umat.

Akhirnya, menjadi kewajipan bagi setiap mereka yang mengakui Allah sebagai tuhannya untuk menggabungkan diri dalam usaha-usaha pembinaan diri dan pentarbiyahan, agar suatu hari nanti, pembukaan Kota Konstantinople kembali bergegar dan kegemilangan Kota Baghdad kembali menyinar.
Jika tidak, maka setiap dari kita akan dipertanggungjawabkan dosa akibat tidak meletakkan Islam ke tempat yang sepatutnya.
“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!”
Sumber:
Harb, Muhammad (1998). Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II. Darul Qalam, ; Asy-Syalabi, Ali Muhammad (2003).Bangkit dan Runtuhnya Khilafah ‘Utsmaniyah. Pustaka Al-Kautsar, 403-425.
Muzakarrat Daie wa Daieah; Hasan Al Banna.

Sumber: ISMA MESIR

 

 

Penulis: Allahu Akbar! (jom kita mulakan tarbiyah individu! jom usraah! ^^,)