Sunday, December 6, 2015

Percaya dan yakin



Bismillahirrahmanirrahim. Dengan Nama Mu Tuhan.


Subhanallah! Sungguh dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai cerita dan peristiwa yang cukup menggugah jiwa. Ia umpama sebuah lukisan abstrak pelbagai warna yang penuh kisah. Ada kisah air mata yang meluncur laju dan ada kisah yang membuatkan diri senyum sendiri hingga ke telinga dan terkadang tertawa sendiri!

Sungguh! Percaya dan yakinlah pada aturan Allah. Yakinlah bila mana hak Allah dijaga, maka Allah akan permudahkan segalanya. Sabar dan teruskan berbuat dan menyebarkan kebaikan.

Pada saat kau jatuh, hati kau hancur. 
Kau menangis. Berjurai-jurai air mata. Rasa pedih. Kecewa. Tak terungkap. Di atas mihrab cinta kau tadah tangan, mohon hidayah. Mohon petunjuk. Mohon dikuatkan semangat! Diberi kekuatan. Diberi iman dan taqwa untuk terus teguh di atas jalan cinta ini. Tersedu-sedan memohon keampunan pada Sang Pencipta. Tersekat-sekat suara merintih, membaitkan butir bicara pada Sang Khaliq. Subhanallah, bukankah keperitan ini suatu nikmat? 



Terkadang, tanda cinta Allah terhadap seseorang itu, Allah akan biarkan hatinya hancur berkali-kali, sampai dia rasa tiada lagi harapan di dunia ini, dan itu akan membuatnya punya harapan hanya untuk Allah sahaja" - Syeikh Abdul Qadir Jailani



Selalu percaya dan yakinlah, bila kesedihan datang, hakikat kesedihan itu penuh nikmat. Percayalah wahai saudara ku, Allah telah susunkan sesuatu yang terbaik untukmu. Hakikat kesedihan dan kepedihan itu sebenarnya membuatkan diri kita hampir pada DIA.





Pada ketika aku tahu, bahawa kegembiraan membuatkan manusia sering terlupa kepadaMu. Pada ketika aku sedar, bahawa kesedihan sering membuat manusia begitu akrab merayu dari-Mu. Pada ketika itu, kekusutan berlalu. Diam-diam, aku berterima kasih padaMu. Tuhan" -Bonda Nor


Subhanallah. Aku cukup terkesan bila Allah izinkan aku dipertemu dengan seorang wanita berusia 55 tahun.  Seorang calon SPM persendirian yang mengambil SPM untuk menyambung pengajiannya dalam bidang pengajian Islam. Meskipun umurnya sudah lebih setengah abad dan lebih kurang sebaya pun dengan ibu-ibu kita, namun semangatnya cukup kental! Cuba sahaja bayangkan, kali terakhir beliau mengambil peperiksaan LCE pada tahun 1976 dan pada tahun 2015 mengambil peperiksaan SPM. Subhanallah. Allahuakbar. Makcik Juriah Janaky binti Abdullah. Moga Allah merahmatimu. Moga Allah izinkan untuk makcik terus menuntut ilmu dan berjaya mencapai impian. InsyaAllah. Kami doakan! 



 



Sungguh aturan pertemuan ini, benar-benar menjentik hatiku. Bahawa ilmu amat penting. Ilmu itu suatu yang amat berharga yang tiada jangka hayat. Ilmu itu kuasa. Yes. Knowledge is power. Ilmu itu cahaya. Sesiapa yang mencintai ilmu, dan berusaha mempelajarinya, mengamalkan dan menyampaikan kepada yang lain, sesungguhnya ganjarannya hanya Allah jua yang mengetahui. Ilmu yang bermanfaat (amal jariah) dapat menemani kita hingga ke liang lahad. Subhanallah!



Tak pasti sekiranya cerita pertemuan dengan makcik ini terkeluar dari tajuk entry ini. Namun, apa yang aku ingin highlight kan di sini, ialah bila kita percaya dan yakin pada Allah. Jaga Hak Allah. Fikir yang baik-baik. Bersangka baik pada DIA. Allah akan pertemukan kita dengan orang yang baik-baik dan tempat yang baik-baik. InsyaAllah. Namun, andainya sebaliknya, ia adalah ujian untuk kita berfikir dan memuhasabah diri untuk terus memperbaiki sisi diri. 





Pesanan ini. Buat diriku jua. 
Moga Allah redha.
Moga Allah berkati.
Kerana tujuan dan impian kita sama.
Menuju redha Tuhan.
Syurga yang kekal abadi. 


InsyaAllah