Bila kali terakhir kamu menangis? Semalam? Kerana apa? Kerana Dia atau si dia? Ketahuilah, sesungguhnya nilai air mata yang gugur kerana Allah tiada tolok bandingnya! Andai hendak dibuat perbandingan, seribu titis air hujan di bumi belum tentu sama. Astaghfirullah - Dr Aizzad
Subhanallah! Terkadang dengan tangisan segala yang terbuku itu terzahir. Dengan tangisan seolah suatu kelegaan yang amat itu hadir. Tanpa perlu bait-bait kata untuk menjelaskan suasana. Allah. Tangisan bukan tanda lemah. Tapi tanda bukti cinta dan kasih Tuhan pada hamba-hambanya yang kuat hatinya untuk terus memuhasabah diri. Untuk tenang dan sabar pada takdir dan ketentuan Allah. Kerana ujian hidup adalah Sunnatullah..
Menangislah. Menangislah! Namun, harus diingat menangislah kerana TuhanMu! Bukan kerana manusia. Jika asbab nya kerana manusia, ketahuilah Allah azzawajalla yang mencampakkan perasaan itu, emosi itu, lalu gugurlah air mata. Lalu teruslah bertaubat padaNya atas segala salah dan silap pada Sang Pencipta mahu pun pada hamba-hambanya. Hamburkanlah air mata keinsafan sederasnya di atas mihrab cinta. Di tengah malam penuh syahdu. Di saat embun mulai menitis jatuh ke bumi. Subhanallah! Andai saat itu yang dikau peroleh, alangkah beruntungnya. Alangkah nikmatnya!
Manusia dilahirkan dengan tangisan, lalu di celah-celah kehidupan kita menangis, dan akhirnya kita dihantar ke kuburan juga diiringi tangisan"
(Ustaz Pahrol Mohd Juoi)
Betapa lemahnya manusia. Hanya hamba kerdil lagi hina disisi yang Maha Agung. Siapalah kita? Hambanya yang sering saja terpalit dosa-dosa. Lalu sandarkanlah segalanya pada Pemilik Kekuatan.
Hari ini,belajarlah untuk menerima semua dugaan dengan hati terbuka dan berlapang dada. Jangan membenci sesiapa. Mereka hadir dalam setiap episod hidup kita dengan izin Allah Azza Wajalla bersebab. Untuk menjadikan kita 'manusia' dan sedar tujuan kita dihidupkan adalah untuk menjadi hamba. Senyum. :)"
(Dr. Anwar Fazal)
Di sini, aku untaikan sepotong doa titipan Ustazah Norhafizah Musa.
Doa mohon dipertanggungjawabkan segala urusan
Ya Allah, Ya Tuhanku.
Sesungguhnya banyaknya penanggungan atas diri ini Ya Allah.
Ada hak, ada perkara yang tidak selesai antara aku dengan Engkau, Ya Allah
dan ada banyak perkara yang aku tanggung,
segala urusan yang belum beres di antara aku dengan hamba-hambaMu Ya Allah
Wahai Allah, ada pun urusan aku dengan Engkau
Ampunkanlah Ya Allah, bereskanlah Ya Allah, lupus kirakanlah Ya Allah
Adapun, urusan aku dengan hamba-hambaMu Ya Allah,
Mohon Ya Allah
Pertanggungjawabkanlah untuk ku. Pertanggungjawabkanlah untuk ku.
(Terjemahan: Doa Tawaf pusingan ke-6)
Selamat Hari Indah!