Monday, September 15, 2014

Mengurus harapan


Usai mencerna minda dengan sebuah artikel tulisan Ir. Ahmad Jais Alias, bertajuk Menguruskan Harapan. Sungguh, terasa benar, seolah-olah hampir pada diri saat ini. Manusia dan harapan memang tidak akan pernah terpisah. Kerana manusia bersifat lemah dan terbatas kemampuan diri. Manusia, merancang dan berharap, tetapi Allah jualah yang mengizinkan segala-galanya. 

Tatkala kita meletakkan sepenuh usaha dan keringat dalam mencapai harapan, namun tiada tawakal di akhirnya, maka ia adalah sia-sia... Bukan menidakkan sebuah harapan, kerana harapan itu penting, sebagai suatu motivasi pada manusia untuk berbuat sehabis baik. Cuma yang membezakan aku dan kamu, ialah pada niat. Adakah tunjang harapan itu, kita telah meletakkan Allah sebagai tujuan. Moga-moga dengan tertunainya harapan itu, kita semakin intim dengan Allah, semakin dekat dengan Allah. Dan dari situlah muncul keberkatan dalam segala yang dirancang dan diharapkan.

Tiada daya upaya kita wahai manusia yang berharap pada manusia yang lemah sifatnya. Sungguh, jika Allah mengkehendaki ia berlaku, maka ia AKAN berlaku, tetapi jika TIDAK Allah kehendaki, maka ia tidak akan berlaku. Maka letakkanlah pengharapan dan kebergantungan hanya pada DIA, insyaAllah tidak akan kecewa!


Di sini aku kongsikan sebahagian rencana tulisan Ir. Ahmad Jais yang pasti membuat diri kembali merefleksi dan merenung ke dalam diri..

*****

Setiap insan mempunyai harapan. Bahkan harapan adalah salah satu naluri yang tertanam dalam diri kita yang bergelar insan. Harapan menumbuhkan tekad dan usaha, manakala putus harapan mengundang kekecewaan, duka dan nestapa.

Harapan ini perlu diuruskan, kerana ibarat tenaga pendam dalaman yang menanti saat dan tika untuk meledak menghasilkan letusan kejayaan dalam kehidupan. Seseorang yang punya harapan yang tinggi menggunung, pasti bermotivasi untuk melakukan gerak kerja yang menjurus ke arah merealisasikan harapan tersebut. Sebaliknya, mereka yang mudah berputus asa akan tewas sebelum berjuang lagi.

Jika diturutkan hati dan nafsu, pastinya harapan manusia tidak akan kenal had atau siling. Manusia berharap akan hidup selama-lamanya, berharap dapat berkahwin dengan anak raja, berharap dapat harta seperti Qarun, berharap berkuasa sehebat Sulaiman, dan macam-macam lagi pengharapan yang terlintas di fikiran.

Harapan yang terlalu menggunung tanpa menjejak ke bumi nyata akan mengundang parah jika tidak kesampaian. Ia akan jadi seperti Mat Jenin, yang berharap menjadi kaya dengan hanya berangan-angan di atas pokok kelapa, dan akhirnya sakit sendirian bila jatuh bersama-sama dengan buah kelapa di atas tanah.

Ada juga yang kecewa keraca cinta dan harapan yang mendalam terhadap seseorang yang disukainya, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kasih tidak berbalas, cinta terlarang oleh keluarga atau maut yang memisahkan dua insan yang bercinta ini. Jika ketika harapan percintaan ini berderai oleh pelbagai faktor tersebut, jiwa gagal diurus dengan baik, putus harapan ini bisa mengundang putus nyawa, bunuh diri dan tindakan lain yang membahayakan pasangan kekasih tersebut.

Apa yang dibincangkan adalah harapan yang boleh diuruskan oleh diri sendiri, seperti harapan untuk berjaya dalam pelajaran, mengejar kerjaya, kekayaan dan sebagainya. Semua ini adalah perkara yang boleh berada dalam genggaman kita. Berjaya atau gagal kita mengejar harapan itu, bergantung sepenuhnya kepada usaha yang kita lakukan ditambah dengan doa dan tawakal kepada Allah S.W.T
 

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi

Tetapi bagaimana pula harapan yang melibatkan pihak lain? Kita berharap mendapat ketua yang adil, mendapat kekasih dan teman hidup sejati, kita mengharapkan usaha kita dihargai dan segala macam pengharapan yang melibatkan insan lain. Kekecewaan lebih banyak berlaku dalam perhubungan dua pihak, berbanding mereka yang berputus asa dengan diri sendiri. Putus asa akan datang bilamana harapan kita tidak bersambut oleh pihak lain. Dalam situasi ini, apa yang boleh dilakukan?


Kekecewaan bukanlah sesuatu yang negatif secara mutlak, bahkan jika diambil secara positif, ia boleh ditukar menjadi tenaga yang kuat untuk menjana kebangkitan mereka yang pernah tewas. Kekecewaan memberi ruang untuk kita menilai kembali kekuatan diri, mengukuhkan kembali sendi-sendi yang longgar, memantapkan yang lemah merancang keupayaan serta keupayaan serta kekuatan baru.


Kekecewaan bukan untuk ditangisi tetapi untuk direnungi dan difahami. Kekecewaan bukan diubati dengan tangisan (walaupun tangisan juga perlu untuk melepaskan perasaan), tetapi dirawat dengan keazaman dan ketinggian himmah dan perasaan.

Seseorang yang bijak menguruskan kekecewaan dan bangkit daripada kejatuhan, insyaAllah akan beroleh hikmah dalam menguruskan harapan. Tidak semua harapan sendiri dapat digapai. Tidak semua harapan orang lain, terhadap kita perlu dipenuhi. Namun jangan jemu, untuk sentiasa mengharap yang terbaik.

Di dalam Islan, salah satu sifat seorang Mukmin adalah raja' (pengharapan) kepada Allah s.w.t. Harapan kepada Allah s.w.t tidak akan dikecewakan kerana Allah adalah sebaik-baik tempat kita meletakkan harapan.

Harapkan bunga, bungakan layu..Harapkan manusia, manusia akan pergi...Harapkan harta akan binasa..Harapkan Allah tidak akan musnah.."


http://data2.whicdn.com/images/95076947/thumb.jpg




Sumber rujukan: Majalah Solusi Isu No. 18
Artikel Menguruskan Harapan 
Penulis: Ir. Ahmad Jais Alias