Kenapa awak degil sangat! tak nak dengar cakap saya!"
Dah berbuih mulut bagi nasihat, kenapa tak berubah jugak!"
Mungkin dialog-dialog di atas biasa bagi seorang pendidik kepada para pelajar yang nakal atau mungkin para ibu bapa kepada anak-anak yang membuat perangai.
Usahlah berhenti memberi nasihat, teruslah menitipkan kata-kata murni dan teguran buat insan yang disayangi. Teruslah memberi semangat dan pedoman. Moga ada secuil kata yang di ambil buat pedoman masa hadapan.
Persoalannya, terkesankah hati mereka dengan nasihat-nasihat itu? Bagaimana menyentuh hati-hati mereka agar menerima nasihat dan bimbingan kita?
Sungguh, Allah lah yang memberi kuasa dalam menyentuh hati-hati mereka melalui Kasih Sayang. Allah jualah Pemberi Kasih Sayang. Kasih sayanglah yang akan melembutkan dan menyentuh lubuk hati mereka menjadi manusia dan hambanya yang lebih baik.
Ayuhlah kita berusaha memupuk kasih sayang dalam sanubari dan jiwa. Melalui tutur bicara, kita cuba untuk berlemah lembut. Menutur perkataan yang elok dan indah didengar. Menyebut dengan suara yang santun lagi bersopan. Seperti yang disarankan oleh Imam Sufyan:
1. Berhalus ketika menyuruh dan melarang.
2. Adil ketika menyuruh dan melarang.
3. Bijaksana ketika menyuruh dan melarang.
Kita sering mahukan para pelajar mendengar kata guru-gurunya. Kita sering mahu mempengaruhi mereka agar mengikuti segala suruhan dan kehendak kita. Tanpa kita sedar, latar belakang emosi, latar belakang keluarga serta lain -lain keperluan yang tidak terpandang oleh mata hati kita.
Subhanallah! Sungguh, masih cetek ilmu yang perlu dicari lagi.
Ayuhlah berkasih sayang pada perilaku. Seorang kanak-kanak berusia 0 hingga 7 tahun, akan menyerap seperti span, pada setiap apa yang didengar dan apa dilihat di sekelilingnya. Pada 7 tahun berikutnya, iaitu pada usia 7 tahun hingga 13 tahun mereka akan melihat orang-orang disekelilingnya untuk dijadikan 'role model' nya. Melihat tingkah ibu bapanya, guru-gurunya. Tanpa kita sedar, tiap perbuatan seperti berjalan, bercakap, mahu pun membuat apa jua aktiviti diperhatikan mereka. Ayuh, kita berusaha menjadi model terbaik, Qudwah Hasanah untuk mereka. Dan sebaik-sebaik Qudwah tentulah nabi kita, Muhammad SAW.
Ayuh, kita semai kasih sayang. Kerana kasih sayang lah kuasa terbesar. Bagaimana beroleh kasih sayang? Ilmu, ilmu dan ilmu. Dan segalanya datang dari Pemberi Ilmu dan Kasih Sayang, Allah Azzawajalla.
Kerana kasih sayang Allah pada hambanya tidak pernah berhenti. Meskipun, kejahatan yang dilakukan, Allah masih membalasnya dengan selaut kebaikan..