Tuesday, December 17, 2013

Skrip Kehidupan

Subhanallah! Allahuakbar

Begitu pantas masa berlalu hingga tidak sedar tahun 2013 Masihi bakal melabuhkan tirai dan meninggalkan kita. Namun, sebagai manusia yang proaktif masa tidak menjadikan siapa kita, tetapi siapa kita yang menjadikan masa sebagai peluang untuk digunakan dengan sebaiknya atau tidak. Pilihan ada di tangan kita sendiri!


Refleksi diri apakah makna kehidupan sepanjang usia ini. Apakah sudah semua suruhan Allah telah diikuti? Apakah segala larangan Allah telah kita patuhi? Subhanallah.. Sungguh, kita hanya hamba yang lemah yang ada naik turun imannya. Namun, turunnya iman bukan bermakna turunnya darjat kita sebagai hambanya, malah naik darjatnya setelah belajar daripada kesilapan, lalu menjadi hambanya yang lebih baik dan lebih baik...


Skrip kehidupan ku, ku untaikan di sini agar menjadi saksi niatku dan doaku pada yang Maha Esa. Meskipun, ku tahu Allah Azzawajalla telah lebih maha mengetahui lahir batin ku. 


Allah Tuhanku, Tuhanku yang menguasai segala langit dan bumi, 
Allah Tuhanku, Pemilik segalanya didunia dan akhirat, 
Allah Tuhanku, Pemilik cinta, hati dan kasih sayang


Izinkan daku menjadi anak yang solehah, 
Yang dapat berbakti kepada kedua ibu bapa ku selagi mereka ada di dunia ini
Yang berkata kepada mereka dengan suara yang rendah, lunak dan lembut terhadap keduanya
Yang selalu berdoa untuk mereka, agar menjadi ladang pahala buat mereka di Sana



Allah, kurniakanlah yang terbaik buat diri kami
Bersihkan hati kami
Sucikan jiwa dan fikiran kami
Lapangkan dan tenangkan hati nurani, jiwa dan fikiran kami
Ikhlaskan kami dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah 
Sebagai hambamu dan khalifah di muka bumi
Menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia dan makhluk mu di muka bumi ini
Yang cintakan ilmu, mendalami ilmu, mengamalkan ilmu, lalu menyebarluaskan ilmu yang dipinjamkanMu kepada manusia lain
Diperluaskan rezeki yang halal
Semata-mata mengharapkan redha Mu, 
Dan bersyukur dengan segala kudrat yang dikurnia
Menuju syurga, negeri akhirat yang abadi



Ya Arrahman, Arrahim
Pemilik Kasih dan sayang
Kurniakan kami kasih sayang, cinta untuk aku lebih mencintaiMu, merasakan kelazatan mencintaiMu, 
Lalu dengan rasa cinta yang kau anugerahkan, 
Aku menyayangi semua manusia dan makhluk di muka bumi ini
Tanpa hasad, tanpa dengki, tanpa sifat mazmumah
Sirami kami dengan sinar cahayamu, rahmatmu
Membentuk peribadi dan akhlak seindah akhlak Rasulullah Saw
Dikurnia ketegasan dalam kelembutan
Agar kami teguh dan istiqamah, di jalanMu



Aku berdoa dan akan terus berusaha
Dikurnia ilmu sebagai seorang anak, kakak, guru, isteri, menantu, sahabat yang solehah
Lalu diamalkan dan dikongsi pada yang lain
Dipertemukan jodoh yang kau redhai
Seorang lelaki bergelar suami yang soleh,
beriman dan cintakan masjid, bertanggungjawab, pengasih, penyayang, sihat dan tidak merokok, 
Cergas, tegap, bijak, indah mata memandang...
Menjadi Nakhoda bahtera menuju Syurga
Dipermudahkan jodoh pertemuan
Menuju jalan pernikahan yang Kau redha, yang Kau sukai
Menabur benih di ladang pahala sebagai seorang isteri, murabbi dan ibu mithali
Mencintai dan menyayangi suami, anak-anak, ibu bapa dan seluruh kaum kerabatku
Seperti mana Khadijah mentaati suaminya, dan kasihnya Aisyah kepada Rasulullah Saw..
Sebagai persediaan sebagai penghuni syurgaMu..
Menuju negeri indah yang kekal abadi


Amin, amin ya Rabbal 'alamin



Abah dan mak, menunaikan haji pada tahun 2000












Saturday, August 10, 2013

Betul ke nak ke syurga?

Alhamdullilah. Syukur yang tidak terhingga pada yang Maha Esa atas segala limpahan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat Iman, Islam, dan kesejahteraan yang dikurnia Allah adalah amat bernilai yang tidak akan mampu diperoleh di mana-mana. Tidak terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri dan memohon kemaafan kepada semua atas segala kekhilafan diri sama ada dilakukan secara sedar atau pun tidak. Kerana pada akhirnya, khilaf itu datang kerana kita hanya manusia biasa. Hambanya yang sangat lemah. Iringan doa untuk Syawal yang berbahagia ini, moga ikatan silaturrahim bertambah erat dan ukhuwah yang terbina terus terpelihara serta beroleh keberkatan dariNya. InsyaAllah.



Berbalik kepada tajuk entri. Betul ke nak ke syurga? Siapa yang tidak ingin ke syurga? Siapa?? Tiada siapa yang tidak mahu ke sana, singgahsana indah nan abadi.. Setiap dari kita pasti mahukan yang terbaik bagi pengakhiran perjalanan hidup ini. Persoalannya, LAYAK KAH kita? Ah! Hanya mampu mengetap bibir.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan, hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman" dan mereka tidak diuji? " 
(al Ankabut, 29:2) 



Dan kehidupan dunia hanyalah permainan & senda gurau, sedangkan negeri akhirat itu sungguh lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti? "
(al An-'am, 6:32) 


Ah, kita tahu hakikat perjalanan hidup ini adalah sementara, dan negeri akhirat itu adalah kekal abadi.  Kita tahu hakikat bahawa bukan mudah menuju ke singgahsana indah nan abadi itu. Namun kita hanya tahu, tapi tidak sedar, kerana acap kali kita tewas dengan mainan nafsu sendiri. Acap kali juga kita kalah dengan keindahan dan keseronokan dunia ditambah dengan godaan syaitan yang datang bertalu-talu. 


Bibir masih mengatakan Syurga masih menjadi matlamat utama namun mengecewakan seolah-olah usaha sudah sampai di situ. Masih tidak mencapai target. 


Harapan yang terluah di bibir (qauli) masih belum masih belum dibuktikan sepenuhnya pada hati (qalbi) dan tubuh badan (amali). Apa benar hati sudah cukup mengejar redha Allah berbanding keutamaan lain??Sudahkah kecintaan Allah didahului melebihi tujuan yang lain? Mengetap lagi bibir.


Ayuh, kita semak semula beberapa perkara yang menjadi penyebab matlamat ke syurga seolah-olah kabur.

1. Pungut IKHLAS yang berciciran
Mungkin sifat ikhlas kita sudah lama rosak dan tercicir akibat pelbagai keseronokan dan kelekaan. Ikhlas itu bagaimana? Orang yang ikhlas tidak akan mengharap langsung penilaian dan penghargaan manusia bahkan keredhaan dan keutamaan Allah yang dicari. 

Tanda Ikhlas : 1.Tidak menoleh kepada pujian dan sanjungan. 2.Tidak peduli kepada sebarang cercaan dan celaan"
(Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)

 2. Sibukkan diri dengan ketaatan
Mujahadah. Ah! Ingat senang ke? Mungkin itu yang tergetus di hati. Tidak mengapa. Barulah ia dinamakan ujian bukan? Mujahadah seperti berperang. Berperang dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu. Ada tips mengatakan bila maksiat menguasai diri tepuklah dada, dan katakan "Aku takut pada azab Allah! Aku mahu syurga!"  Teruslah memujuk diri, mendisiplinkan diri untuk terus berada dalam kebaikan serta menyebarkan kebaikan. Ayuh sibukkan diri!

Sepotong doa agar sentiasa berada salam ketaatan:
Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini mendatangkan kebaikan kepadaku dan matikanlah aku jika kematian itu yang lebih baik bagiku dan jadikanlah kehidupan itu penambah kepada pahalaku dan kematian itu sebagai kerehatan bagiku daripada segala kejahatan"





Rujukan: Olahan Majalah At-Taqwa Isu 4, Penulis: Wan Nor Zadilah Wan Mohamad (ms 24)


Saturday, June 22, 2013

Kuasa kasih sayang

Kenapa awak degil sangat! tak nak dengar cakap saya!"
Dah berbuih mulut bagi nasihat, kenapa tak berubah jugak!"



Mungkin dialog-dialog di atas biasa bagi seorang pendidik kepada para pelajar yang nakal atau mungkin para ibu bapa kepada anak-anak yang membuat perangai.


Usahlah berhenti memberi nasihat, teruslah menitipkan kata-kata murni dan teguran buat insan yang disayangi. Teruslah memberi semangat dan pedoman. Moga ada secuil kata yang di ambil buat pedoman masa hadapan.

Persoalannya, terkesankah hati mereka dengan nasihat-nasihat itu? Bagaimana menyentuh hati-hati mereka agar menerima nasihat dan bimbingan kita?


Sungguh, Allah lah yang memberi kuasa dalam menyentuh hati-hati mereka melalui Kasih Sayang. Allah jualah Pemberi Kasih Sayang. Kasih sayanglah yang akan melembutkan dan menyentuh lubuk hati mereka menjadi manusia dan hambanya yang lebih baik.


Ayuhlah kita berusaha memupuk kasih sayang dalam sanubari dan jiwa. Melalui tutur bicara, kita cuba untuk berlemah lembut. Menutur perkataan yang elok dan indah didengar. Menyebut dengan suara yang santun lagi bersopan. Seperti yang disarankan oleh Imam Sufyan:

"Tidaklah seseorang itu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kecuali pada ada 3 sifat:
1. Berhalus ketika menyuruh dan melarang.
 2. Adil ketika menyuruh dan melarang.
3. Bijaksana ketika menyuruh dan melarang.


Kita sering mahukan para pelajar mendengar kata guru-gurunya. Kita sering mahu mempengaruhi mereka agar mengikuti segala suruhan dan kehendak kita. Tanpa kita sedar, latar belakang emosi, latar belakang keluarga serta lain -lain keperluan yang tidak terpandang oleh mata hati kita.
Subhanallah! Sungguh, masih cetek ilmu yang perlu dicari lagi.



Ayuhlah berkasih sayang pada perilaku. Seorang kanak-kanak berusia 0 hingga 7 tahun, akan menyerap seperti span, pada setiap apa yang didengar dan apa dilihat di sekelilingnya. Pada 7 tahun berikutnya, iaitu pada usia 7 tahun hingga 13 tahun mereka akan melihat orang-orang disekelilingnya untuk dijadikan 'role model' nya. Melihat tingkah ibu bapanya, guru-gurunya. Tanpa kita sedar, tiap perbuatan seperti berjalan, bercakap, mahu pun membuat apa jua aktiviti diperhatikan mereka. Ayuh, kita berusaha menjadi model terbaik, Qudwah Hasanah untuk mereka. Dan sebaik-sebaik Qudwah tentulah nabi kita, Muhammad SAW. 



Ayuh, kita semai kasih sayang. Kerana kasih sayang lah kuasa terbesar. Bagaimana beroleh kasih sayang? Ilmu, ilmu dan ilmu. Dan segalanya datang dari Pemberi Ilmu dan Kasih Sayang, Allah Azzawajalla. 


Kerana kasih sayang Allah pada hambanya tidak pernah berhenti. Meskipun, kejahatan yang dilakukan, Allah masih membalasnya dengan selaut kebaikan..





p/s: nakal tapi tetap sayang








Tuesday, March 26, 2013

Bahagia


Bagaimana mentafsir bahagia?
Adakah dengan memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia?
Adakah dengan menggenggam segulung ijazah kelas pertama?
Adakah dengan memiliki kereta sport dan gajet paling efisyen?



Bahagia itu ada dalam diri
Tiadakah indikator yang tepat untuk mengklasifikasi bahagia?


Bilamana jiwa dan hati tiada rasa
Bahagia tidak akan muncul begitu sahaja
Tidak akan datang bergolek. Tidak



Tatkala cukup segalanya
Makan, pakai serta kelengkapan dan keperluan cukup sempurna
Namun masih terasa kurang sesuatu
Mengapa masih tidak bahagia?



Allahuakbar!
Bahagia adalah atas redhaMu, Tuhanku
Bahagia adalah tatkala ketenangan menghiasi tiap amal
Tatkala senyum tidak pernah lekang
Walau diterjah badai ujian


Kerana sentiasa syukur
Kerana adanya kebergantungan pada yang Satu!
Semata menuju Taman Firdausi nan abadi
Kerana bahagia di sana adalah kekal
Bahagia yang sejati dan sentiasa mekar




Hakikat Bahagia : UNIC



Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang

C/O :
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki













Ehsan Google


Tuesday, March 5, 2013

Hati


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang



Ibnu Kathir, seorang ulama' menyatakan bagaimana impak manusia yang hatinya penuh maksiat.

Di dunia, dia tidak mendapat ketenteraman dan ketenangan 
Hatinya gelisah akibat kederhakaannya
Meskipun lahiriahnya nampak begitu senang
Mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini
Mampu tinggal di mana sahaja yang dikehendaki

Namun, selama mana dia belum sampai pada keyakinan dan petunjuk Allah,
Maka hatinya sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. 
Inilah kehidupan yang sempit.


Maulana Jalaluddin ar rumi, seorang penyair sufi, menceritakan bagaimana tanda hati yang sihat dan sebaliknya.

Dia senang melihat dan menyebut-nyebut kebaikan orang lain
Hidupnya bagaikan di sebuah taman yang indah
Di sini anggerik
Di sana melati
Di mana-mana sahaja mata memandang
Yang nampak hanya bebunga
Yang indah 
Mekar harum mewangi

Sebaliknya, orang yang gemar melihat kejelikan orang lain
Fikirannya hanya diselaputi oleh aneka keburukan
Sementara hatinya hanya dikepung prasangka-prasangka buruk
Kerana itu, ke mana-mana pun matanya melihat
yang nampak ialah ular, kala jengking, duri dan sebagainya
Di mana saja dia berada 
Sentiasa tidak akan pernah menikmati keindahan


Allahuakbar!

Kuat kan hamba-hambamu ini agar mampu membina kekuatan hati!
Sungguh proses Mujahadah tiada jalan pintas dan singkat. Ia bukan sekelip mata!

Kita terpaksa melawan hawa nafsu. Melalui jalan mujahadah seperti berperang dengan hawa nafsu. Ia adalah suatu perjuangan yang amat pahit. Maka, kekuatan dan kebergantungan hanyalah pada Allah. Teruslah berdoa tanpa henti. Agar Allah membantu hati-hati kita untuk sentiasa ingat padaNya, mensyukuri segala nikmatnya.

Kerana syurga itu terlalu manis.


Ya tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi"
(Al A'raf: 23)


 


Diolah dari Galeri Audio Ikim FM
Segmen Mukmin Profesional bertajuk Hidup Sihat Tanpa Maksiat
Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Monday, February 4, 2013

Memberi itu nikmat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Apabila ditimbang-timbang hari ini, sudah berapa banyak kita memberi dari menerima?

Adakah kita lebih banyak menerima dari memberi?

Memberi bukan hanya dalam bentuk wang ringgit, tetapi mencakupi lebih dari itu. Senyuman, bantuan dan doa merupakan suatu bentuk pemberian yang amat bernilai saya kira. =)

Hakikatnya, emosi orang yang banyak memberi adalah lebih ceria, gembira dan lebih banyak tersenyum kerana hormon endorphin, sejenis hormon 'gembira' telah dirembeskan yang akan mempengaruhi emosi dan perasaan kita dan orang yang sebegini merupakan orang yang produktif! InsyaAllah!


Berbanding mereka yang sukar memberi, mereka lebih mudah murung, muram dan kurang tersenyum kerana tatkala itu  hormon cortison telah dirembeskan.


Ayuh. Mari hayati kisah ini yang tercatat dalam sebuah hadith yang panjang.



Seorang wanita Yahudi yang merupakan seorang pelacur telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Dengan izin dan inayahnya, Allah telah mengurniakan hidayah kepadanya dan akhirnya menjadi wanita Solehah. 

Di sini, dapat kita lihat, Allah telah menilai pemberian kasih  sayang wanita ini hatta sekalipun terhadap seekor anjing! Subhanallah.

Sebagai kontra dan perbandingan, diceritakan pula terdapat seorang wanita yang kuat ibadahnya kepada Allah tetapi mengurung kucingnya hingga tidak diberi makan dan minum. Lalu akhirnya, Allah mentakdirkan neraka buatnya. Nauzubillah! 

Dapat kita lihat, nilai suatu pemberian lebih lebih lagi sebuah kasih sayang amat besar maknanya. 



Besar lagi kasih dan sayang Allah serta segala pemberian Yang Maha Pencipta kepada sekalian alam.

Allah. Sungguh Dialah yang Maha Pemberi. Dia memberi tanpa syarat. Tanpa diminta. Tanpa minta dibalas.


Hanya perlu bayangkan pada diri kita yang tika ini masih bisa bernafas. Sistem pernafasan dan organ paru-paru masih berfungsi dengan baik. Jantung yang tidak pernah berhenti berdegup mengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan sedari sejak dilahirkan hingga saat ini. Sistem perkumuhan dan segala rembesan enzim dan hormon serta berjuta-juta lagi proses yang sedang berlaku dalam tubuh kita dalam sedar mahupun tidak.  Subhanallah! 

Sungguh. Allah itu tidak tidur dan tidak mengantuk.

Dan segalanya adalah manfaat untuk manusia.

Malu kita pada Allah. Sudahlah berhutang pada Allah, untuk membalas segala kurniaanNya apatah lagi.


Ya. Pada logiknya memberi akan mengurangkan. Namun, pada hakikatnya tidak! Yakinlah.


Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui"
(al Baqarah: 261 ) 



Dan mungkin keberkatan (barakah) pada setiap pemberian kita, Allah kurniakan secara tidak ketara (intangible). Barakahnya mungkin dalam bentuk keluarga yang penuh dengan kasih sayang, ahli rumah yang selamat sejahtera dari segala musibah, sihat wal'afiat dan pelbagai lagi bentuk yang terkadang kita tidak sedar dan tidak tahu.


Dan sungguh kasih sayang itu berkadar terus dengan iman kita.

Semakin tinggi iman kita, semakin banyak kita mampu untuk memberi kasih sayang.


Inginkan kasih sayang, maka berilah kasih sayang.

Sungguh, memberi itu nikmat!








Di olah dari Galeri Audio,Ikim. fm. Segmen Mukmin Profesional, bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi bertajuk Memberi dengan Kasih Sayang.





Saturday, January 5, 2013

Isi hati


Bismilllah


Kalaulah ada mesin atau apa sahaja alat yang dapat menterjemah apa yang bermain di fikiran dan otak manusia kepada patah-patah perkataan,  tentu sahaja sudah beribu-ribu patah telah diterjemah. Terkadang, sukar untuk kita keluarkan kepada perkataan pada setiap apa yang kita rasa, pada setiap emosi dan psikologi manusia. 


Kerana sesungguhnya, hanya DIA, Allah yang maha mengetahui, setiap isi hati seorang manusia. Every single thing. He knows. Dan sebagai hambaNya, kita perlu untuk cuba sedaya upaya meletakkan Allah pada setiap detik, tika dan masa kerana Dia lah pencipta rasa itu. Dan kepada Dia sebaik-baik tempat luahan rasa dan pengaduan. He is always there to listen you. =)


Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi, sesungguhnya Dia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada"
(Surah Faathir : 38)


Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya). Dan bertakwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada"

(Surah al Maidah : 7) 


Dan lebih-lebih lagi, bagi seorang manusia yang bergelar perempuan dan wanita, emosi adalah satu kuasa besar. Emosi lah yang menyebabkan wanita itu penuh kasih dan sayang. Kerana emosi jugalah wanita itu terluka dan melukakan. Kerana emosi wanita juga, menyebabkan lelaki sukar untuk memahami. Dan emosi jugalah yang membahagiakan wanita.

Kerana wanita adalah makhluk perasaan.


Benar. Terkadang dalam membuat keputusan emosi sentiasa mempengaruhi. Kerana itu, amat perlu kebergantungan penuh pada yang Esa. Agar pilihan itu adalah yang terbaik bukan mengikut rasa dan emosi. 


Teringat pada pesan salah seorang pakar motivasi tanah air, yang berpesan agar kita melazimi diri dengan solat istikharah pada setiap malam. Kerana kita membuat keputusan pada setiap masa. Pada setiap hari. Tanpa kita tahu pengakhiran kepada keputusan yang kita ambil. Tapi Allah tahu. Dan itu kerana itu, kita memohon petunjuk dan jalan dari yang Maha Mengetahui, agar setiap keputusan adalah terbaik di sisiNya.


Ayuh. Saling mendoakan ya? 


.