Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya ilham dan buah fikiran datang dari Allah. Bukan datang dengan sendiri. Saya suka dengan perkataan optimis. Tetapi, untuk menyelongkar di sebalik makna perkataan itu, bukan kerja mudah. Memasuki tahun baru 2012, membuatkan diri tersentak dari lamunan yang panjang. Pada tahun ini, jika dizinkanNya, saya bakal memasuki alam berkerjaya. Amin. Moga dipermudahkan. Umur juga bakal meningkat. Ah! Ketepikan angka tersebut, kalau diri masih belum mampu menonjolkan bahawa anda kini memasuki alam dewasa. Akhir remaja. Dan sudah tentu bagi seorang perempuan, emak dan abah sudah bertanya, "sudah punya teman atau tidak?" ....
Apa yang lebih penting, saya perlu sentiasa mengingatkan diri, matlamat saya diciptakan. Sentiasa refresh niat. Lebih-lebih lagi pada tahun baru 2012 yang saya jangka penuh dengan cabaran yang mendatang. Sentiasa bertanya apakah matlamat saya sebagai manusia di muka bumi, sebagai hamba Allah dan khalifah.
Harapan saya, sudah tentu apabila sudah menjadi pendidik, saya berdoa agar saya menjadi pendidik yang bukan hanya menyampaikan kandungan subjek dan mata pelajaran, tetapi juga dapat mendidik mereka dengan nilai-nilai murni supaya mereka kenal siapa Allah. Agar mereka bukan Islam hanya pada nama, tetapi juga Islam pada segenap sudut. Ah! Mungkin saya belum cukup sempurna. Saya tahu. Kerana saya juga manusia lemah dan masih berusaha menjadi lebih baik dan bermanfaat kepada yang lain. Kekurangan memang harus diperbaiki tetapi kekurangan tidak menghalang kita untuk terus menebarkan kebaikan. (Umar Muhammad Noor)
Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia kerana kamu menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah "
(al-Imran: 110)
Adapun buih, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya, tetapi yang bermanfaat bagi manusia, akan tetap ada di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan"
(ar-Ra'd: 17)
Optimis dalam kamus dewan merujuk kepada orang yang selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu. (macam nak buat karangan SPM la pulak, haha) Lebih mudah saya katakan orang yang optimis sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik. Optimisme pula merujuk kamus dewan, ialah sikap iaitu pandangan hidup atau pendirian yang melihat segala hal dari sudut kebaikannya sahaja atau menjangkakan perkembangan atau kemungkinan yang baik-baik sahaja.
Ya. Saya perlu optimis pada tahun baru ini. Saya harap mereka di luar sana juga begitu. Kerana saya percaya sikap optimis akan membantu untuk lebih berusaha walau apa jua aral melintang selain mengalirkan semangat positif dalam diri. Optimis dan berbaik sangka pada Sang Perancang yang Maha Mengetahui. Dan percaya atau tidak sikap optimisme ini sebenarnya baik untuk pesakit jantung khususnya kerana apabila pesakit memiliki harapan positif (optimis) terhadap penyakitnya, ia bukan hanya memberi kesan pada semangatnya yang kuat untuk melawan penyakit, malah memiliki harapan positif terhadap penyakit. Apa pun ianya kembali kepada ketentuan Yang Maha Mengetahui. Lanjutan bacaan : Optimisme dan Efeknya Terhadap Jantung
Kita yang kawal fikiran kita dan fikiran kawal niat kita, dan niat menentukan kehidupan kita. Manusia yang berjaya ialah manusia yang kawal fikiran dan niat mereka"
(Prof. Dr. Muhaya Mohamad)
Jujurnya, saya dan rakan-rakan Jurusan Sarjana Muda Pendidikan masih menunggu panggilan untuk ditemuduga. Mohon doa dari semua yang terbaca entry ini, moga dipermudahkan kami menelusuri sisi perjalanan menuju penempatan nanti yang diketahui sekitar bulan Mac depan. (nak interview, tapi baca gitu-gitu je, bole ke? T_T) Saya turut mendoakan agar setiap dari kita sentiasa dipermudah dalam segala kerja yang diusahakan dan moga ia dikira sebagai ibadah dan beroleh ganjaran dariNya. InsyaAllah.
Ayuh, optimis dan bersangka baiklah terhadap Allah. Walau di dunia ini terkadang sering saja ditimpa badai dan kesulitan, ketahuilah di syurga nanti nikmatnya kekal selamanya. Akhir kalam, saya kongsikan Hadith 19 yang amat dekat di hati.
Peliharalah Allah nescaya engkau dapatiNya di hadapan engkau. Kenal Allah pada masa lapang, nescaya Dia mengenal engkau pada masa susah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya, apa-apa yang ditakdirkan tidak datang kepada engkau, tidaklah ia datang kepada engkau. Tetapi apa yang sepatutnya datang kepada engkau, tidaklah ia tersalah datang kepada engkau. Dan ketahuilah sesungguhnya, kemenangan itu beserta kesabaran. Dan sesungguhnya, kelapangan itu, beserta kesusahan. Dan sungguh, bersama kesusahan itu ada kesenangan"
(Hadith 19)
P/S: Gambar hiasan. ^_^