Tuesday, June 14, 2011

Bukti cinta

Bismillah...

Tulisan demi tulisan ku hadirkan supaya dapat ku rungkaikan sedikit demi sedikit 'hadiah' buat diri. Bukan sekadar hadiah, tetapi sebenarnya sebagai peringatan. Tulisan-tulisan ini bukan hanya omongan kosong dan suka-suka, tetapi tulisan-tulisan inilah menjadi bukti pada sebuah perjalanan yang panjang. Perjalanan seorang 'abid yang kerdil dalam menggalas tanggungjawab khalifah di muka bumi Allah ini. Gulp! Aku sekadar menelan air liur yang hampir kering.. Memikirkan sejauh mana tugas yang satu ini telah dilaksanakan..

Sering saja, berasa takut andai tulisan-tulisan ini akan menimbulkan riak, takabbur, bongkak dan meninggi diri. Ya, Allah. Moga dijauhkan.. Dan sering saja takut andai tulisan-tulisan ini melebihi dari amal yang dilakukan. Berharap agar segala yang tercurah menjadi bekal buat diri selama berada di jalan ini..Umpama sebuah diari lama, bila diselak, pasti tersenyum dan tergelak kecil, memikirkan betapa naifnya kita ketika itu..:)

Sesungguhnya, dakwah dan tarbiyah itu adalah kehidupan.. Sedari kau mencelikkan mata, berjalan dengan derap langkah itu, setiap lisan dan perbuatan, hatta pakaian dan seluruh fizikal itu adalah dakwah! Dan selagi setiap apa yang direncanakan adalah berpaksikan pada yang Esa, selagi itu, Allah akan menilai... Usah gusar. Kerana sebenarnya masih banyak peluang yang dibuka oleh Azzawajalla untuk kau melabuhkan kewajipan itu.

Ah!, adakah aku sekadar menyedapkan hati sendiri? Memikirkan betapa ramai para pencinta di jalan ini giat dan sibuk menebarkan sayap. Masing-masing seolah terbang, semakin hari semakin tinggi, tinggi menggapai angkasa nan biru.., semata-mata mengumpul benih untuk bertemu Dia, Azzawajalla. Dan aku? Sekadar duduk, bergoyang kaki, dan kononnya menyatakan bahawa :
                       
"Eh, aku ok je.. InsyaAllah.. Moga ditetapkan iman...!"

Dan selagi hatta satu haram bahan tarbiyah tidak kau sentuh, selagi ayat-ayat cinta dari DIA tidak kau santuni, selagi.... Selagi itu, sebenarnya kau semakin jauh dan kering dijilat kesedapan syaitan. Istighfar!

Dan kerana itu, perlunya kau untuk mewujudkan bi'ah itu. Dimana kau berada kini..

Aku tersentap seketika. Menyantuni ayat-ayat cinta Sang Pencipta:

" Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan " (As-Saff : 2-3)


Sering saja diri berasa malu pada yang Esa. Atas kekhilafan diri..Yang terkadang menzalimi diri sendiri! Betapa sanggup menempatkan Allah, Tuhanku, hanya pada masa-masa yang diperlukan sahaja! Oh..
Tidak ku nafikan.. Tika terasa diri ini jauh, kering dan lemah dalam menelusuri mehnah, tika nafas seolah tersekat-sekat menghirup hembusan syahdu manisnya iman,  akan aku singkap kembali lembaran-lembaran ini, tulisan-tulisan yang menjadi saksi atas apa yang telah dikatakan dan diusahakan dan sejauh mana ianya dikotakan...T_T . Dan masihkah mahu terus-terusan begitu?


Masih terngiang-ngiang kata-kata murabbi:

"Tidak akan sia-sia, selama bertahun tarbiyah awak. Kerana kebatilan tetap batil, dan kebenaran pasti akan menang "

Dan begitu jualah perumpamaan yang Allah ceritakan, mana mungkin, susu yang Allah jadikan boleh bertukar warna. Walaupun sebelum itu, ia terhasil daripada tapisan-tapisan, urat-urat darah yang berselirat. Yang sebelum itu tercampur segala kekotoran darah dan lainnya. Maha suci Allah, yang menghasilkan susu itu, putih suci warnanya..

" Kami memberimu minum dari apa yang ada dalam perutnya, (berupa) susu murni, antara kotoran dan darah, yang mudah ditelan bagi orang yang meminumnya " (An Nahl: 66)



Dan di mana saya berpijak, saya berdoa moga Allah tsabatkan saya dan kalian semua. Agar tidak berpaling dari jalan ini. Jalan Cinta Para Pejuang.

Kerana sering saja, diri melalui episod-episod getir. Berperang dengan al-Hawa' yang berajakan nafsu.

Dan moga tulisan ini menjadi bukti cinta ku di Jalan ini...



"Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu.
Jagalah Allah, nescaya dia akan selalu berada di hadapanmu.
Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, 
Jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah.

Ketahuilah, sesungguhnya, andai kata sekelompok orang bersatu untuk mendatangkan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi manfaat sedikit pun, kecuali apa yang telah Allah tetapkan bagimu. Dan andaikata mereka bersatu untuk mendatangkan sesuatu yang memudaratkanmu, nescaya mereka tidak akan memudaratkanmu, kecuali musibah yang memang Allah tetapkan bagimu "
(Hadith riwayat Tirmizi) -Hadith 19-



Wallahu'alam.