Ruang dashboard blog ini sudah beberapa kali dibuka dan kemudian ditutup. Terasa ingin menulis. Tetapi terasa berat. Ditambah dengan kurangnya 'modal' untuk saya menulis. Puncanya cuma satu. Kurangnya membaca. Dan ditambah dengan kurangnya mujahadah saya dalam mengharungi badai kehidupan yang sesekali melibas sisi-sisi sebuah perjalanan. Saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya tidak mahu apabila saya cuma pandai menulis, mencoret seribu satu pengajaran untuk menuju sebuah kehidupan hakiki, tetapi batinnya jiwa saya meronta-ronta. Di dalam tulisan berkata begitu, tetapi pada fizikal tidak pula menonjolkan seperti penulisannya. Berdosakah saya? Astaghfirullahal 'azim.
Baiklah. Saya ingin terus jujur. Sudah berbulan lamanya saya meninggalkan bumi tempat saya belajar. Tamat sudah diri bergelar seorang mahasiswi. Dan sudah berbulan jugalah saya meniggalkan bi'ah itu. Sudah berbulan jugalah saya tiada usrah. Apatah lagi membawa usrah. (Usrah: Sebuah halaqah cinta membina kekuatan setiap individu muslim, insyaAllah, yang diketuai oleh seorang naqibah). Dan, saya sedar saya harus mencari jalan untuk terus berada dalam saf-saf tersebut, dan tidak mahu ketinggalan dalam jemaah ini. Harus terus bergerak. Dan saya tahu, kebergantungan yang hakiki hanya pada Rabbul Jallil, tempat di mana kita memohon kekuatan dan pertolongan. (no wonderlah kalau tulisan ini terasa kering T_T)
Sebetulnya, di sini, tatkala saya sendirian. Saya belajar banyak perkara. Situasi berada di samping akhawat dan sahabat, cukup berbeza. Kuncinya hanyalah dalaman dalam diri. 'Kelapangan' ini membuatkan saya belajar. Sama ada saya terus membiarkan diri kering kontang atau perlu dibasahkan dengan mutabaah amal yang terkadang sedikit goyang. Astaghfirullah. Sangat perlu menjaga sisi-sisi amalan dan tarbiyah diri sendiri (dzartiyah) dalam keadaan sebegini.
Sering terfikir dan berfikir, bagaimana agaknya keadaan apabila menempuh alam pekerjaan yang menjanjikan kesibukan dan kepenatan. Ah! Buat kerja apa yang tak penat. Belajar pun penat, kerja pun penat. Duduk depan laptop berjam-jam pun boleh penat!
Rasa gementar. Bagaimana agaknya pengakhiran sebuah perjalanan seorang a'bid dan khalifah di dunia ini. Sebelum kehidupan ini berakhir, adakah saya telah melunaskan tanggungjawab saya di dunia ini? Sebetulnya, saya takut, kerana setiap patah perkataan yang saya lontarkan ini akan menyoal kembali saya di akhirat kelak.
Cakap je lebih!
Ya. Saya orang biasa-biasa saja yang tidak lari dari dosa dan khilaf. Saya bukan orang alim, yang tinggi ilmu agama. Bukan tokoh ilmuwan, bukan ustazah. Saya masih merangkak di jalan ini dan masih berusaha memperbaiki diri. Tapi, saya sedar, setiap dari kita adalah seorang khalifah, yang wajib menyampaikan walau sekelumit dakwah kepada sesiapa. Dalam apa jua bentuk. Dan kita juga adalah hamba kepada yang Maha Agung. Hamba yang sungguh kerdil di sisiNya. Hamba yang selalu sahaja lupa dan langsung tidak menunjukkan kesungguhan dalam memaparkan rasa syukur atas segala nikmatNya yang melimpah ruah kepada kita.
Dan saya berharap dan berdoa, moga usaha kecil saya melalui tulisan ini, Allah mengiranya sebagai salah satu usaha dalam menyebarkan syiarNya. Walau bukan dalam 'bulatan-bulatan cinta' itu. Walau bukan berlatarkan kehijauan suasana rehlah yang damai.
Moga Allah meredhai. Mohon doa.
Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat di jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk"
(an Nahl: 125)