Friday, September 9, 2011

Cahaya Itu

Kali terakhir aku menatapi bait-bait indah Fi zilal Quran ini, lebih kurang beberapa bulan yang lepas. Ya. Berbulan-bulan yang lalu. Agak lama juga sebenarnya. Itupun kerana ianya berkaitan dengan topik usrah yang diminta oleh naqibah ku untuk kami melakukan sedikit pembacaan terlebih dahulu sebelum berbincang dan menghurai lanjut mengenainya.



Ah. Tidak ku nafikan. Bahasanya terkadang agak berat dan berkias, namun itu tidak bermaksud aku langsung tidak berminat menancapnya. Kerana aku dapat merasakan di sebalik setiap bait perkataan yang Sayyid Qutb lantunkan begitu banyak maksud yang tersirat. Begitu banyak yang tersirat. Seperti yang dikatakan oleh naqibah ku, terkadang bahasa Melayu pun tidak mampu meluahkan maksud di sebalik perkataan Arab yang digunakan. Kerana ianya begitu spesifik. Begitu mendalam maksudnya.



Namun, bila memikirkan latar belakang kisah As syahid Sayyid Qutb saat menulis karangan ini, sungguh ianya benar-benar suatu keajaiban bagiku dan begitu menyentuh perasaan. Beliau menulis di sebalik jeriji-jeriji besi, di penjara yang terhimpun beribu kisah rahsia.  Dan di situ jua lah beliau merasakan, tika itu, setiap detik hidupnya dinaungi dengan al-Quran. Seolah-olah setiap bait al Quran itu berbicara dengannya. Bersama Allah Azzawajalla.



***********



Beberapa hari yang lepas, entah bagaimana aku terjumpa naskhah ini di bahagian belakang rumah. Naskhah yang agak usang dan sedikit kotor. Berkumpul bersama timbunan buku-buku lama. Aku menatapi lebih dekat. Astagfirullah!






Aku kira, naskhah ini begtu suci untuk diletakkan di merata tempat.

"Ah. Mungkin semua orang tak perasan!" Getus hatiku.

Atau mungkin, mereka tidak begitu arif dan tahu betapa karya agung ini amat bernilai sekali kandungannya. Meskipun agak kusam begitu, namun kandungan dan tulisannya masih jelas dan boleh dibaca tanpa masalah. Alhamdullilah. Tidak mengapa. Aku tidak perlu menuding jari pada sesiapa. Tidak ada gunanya. Ya. Ianya sebuah naskhah Tafsir Fi zilal Quran, Tafsir di bawah naungan al-Quran!



Ku kuis-kuis habuk-habuk yang terlekat di sekitar permukaannya. Berhabuk dan agak lama buku itu. Ku selak muka surat pertamanya. Diterbitkan kali pertama pada 1980 dan kedua pada tahun 1981. Namun, penulisnya selesai menterjemah pada tahun 1979. Terbitan ABIM. Penterjemah bernama Siddiq Fadil. Kata pengantar si penulis bertarikh 5 Julai 1979 bersamaan 10 Sha'ban 1399H. Oh! Sungguh nostalgia buku ini! Pastinya menyimpan seribu satu cerita yang tidak terungkap. Aku cuba menatapi beberapa rangkai kata di dalamnya. Ya! Ianya bukan dalam versi Indonesia. Ianya versi Bahasa Malaysia! Lantas hatiku berbunga-bunga kerana pasti ia akan lebih memudahkan aku memahami setiap patah perkataan yang diterjemah.





Sejenak aku terfikir. Allah telah mengaturkan aku untuk aku terjumpa risalah ini. Allah telah merancang untuk aku bertemu risalah ini dan untuk melihat aku. Bagaimana aku mengguna risalah ini. Kerana aku sedar, kebelakangan ini, aku sedikit tidak tenang. Entah kenapa. Selalu dibuai perasaan. Terkadang emosi. Aku bukan dalam tempoh menstruasi di mana hormon memainkan peran. Jiwa terasa kosong.


Hah! itulah. Bila mana diri tidak diisi dengan bahan-bahan tarbiyah dan terlalu asyik dengan 'skrin kaca' itu! Bila mana kurangnya lidahmu dengan zikr dan bilamana titik hitam itu seolah bercambah! Ditambah dengan kehausan untuk berhalaqah bersama sahabiah dan para mad'u!" Aku menempelak diri sendiri. 


Oh. Betapa aku sedar. Kelapangan yang Allah kurniakan ini benar-benar menguji. Kelapangan yang terkadang aku sia-siakan. Allah telah memercikkan cahayaNya padaku. Yang terkadang aku endahkannya! Ampun kan aku Ya Rabb. Ampunka aku.

Aku analogi cahaya itu begini..



Seperti sebuah rumah, cahaya matahari atau apa jua sinar yang datang dari luar rumah, tidak akan dapat memasuki ruang lingkup rumah itu, sekiranya tingkap atau pintu tidak dibuka. Mungkin hanya liang-liang dan lubang-lubang kecil yang mampu menyusup halus ke dalam rumah tanpa disedari. Dan mungkin jua bayang-bayang cahaya yang menyimbah ke ruang itu..."



Begitu juga halnya pada kita. Hakikatnya, Allah telah acap kali mengurniakan kita cahaya. Seringkali begitu.. Cahaya untuk memiliki kebahagiaan hakiki. Cahaya ketenangan jiwa. Cahaya menuju negeri kekal abadi. Namun, selagi mana kita tidak membuka pintu hati ini untuk meletakkan cahaya itu di dalamnya, sampai bila-bila pun kita tidak akan memperoleh cahaya itu. 



Itulah dia. Hambanya yang sering khilaf...Tidak pernah mengerti dan bersyukur!








Kata bintang : Aku malu pada bulan. Bila mentari hilang. Dia muncul beri sinaran.


Kata bulan pula : Aku malu pada bintang-bintang. Walau terlalu jauh, tetapi tetap bersinar beri panduan pada orang yang sesat di lautan.


Kata manusia: Aku malu pada pencipta bulan dan bintang. Walau seberapa banyak cahaya yang Dia berikan, aku tetap sesat hilang arah tujuan... 




Istighfar...  


Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah (dengan menyebut nama Allah) dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan berzikirlah pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu, dan para malaikatNya (memohon ampunan untukmu), agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang percaya (beriman) " 
(Al ahzab, 33: 41-43) 




Suka akan bait-bait puisi Langit Ilahi (Hilal Asyraf) : 


Dia Tidak Membalas Dengan Suaranya 



Cakap pada Tuhan,
Aku kesunyian,
Dia tidak membalas dengan suaraNya, 
Tetapi bila melihat penciptaan
Terasa Dia menemaniku sentiasa


Cakap pada Tuhan,
Aku perlukan teman dari kalangan insan
Dia tidak membalas dengan suaraNya
Tetapi bila sabar dalam melalui perjalanan
Terasa dia mempertemukan aku dengan orangNya...




P/s: Peringatan untuk diri. Moga istiqamah. Moga Allah tsabatkan untuk terus berada dalam saf-saf itu...

0 comments: