Sunday, October 21, 2012

Ajaibnya Doa!



"Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara manusia dengan tuhan. Bila-bila masa, siapa saja insan itu, di mana saja dia berada, bangsa apa, keturunan apa dia, siapa mak bapanya, siapa datuk neneknya, jika dia ingin berhubung dengan Allah azzawajalla atau kembali kepada Allah, maka tidak pernah ada halangan!"



Masih terngiang-ngiang kata-kata Dr. Mohd Asri bin Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan nama Dr. Maza, seorang ilmuwan dan tidak salah jika saya gelarkan dia sebagai ulama' muda yang cukup terkenal dengan kelantangan beliau bersuara. Oh. Bukan perihal beliau yang ingin saya kongsikan tetapi, apa yang beliau sampaikan melalui video yang saya tonton dalam lebih kurang 11 minit itu benar-benar menyedarkan saya bahawa suatu doa seorang hamba kepada tuhannya adalah telus dan terus. Tanpa halangan!

Video Dr Mohd. Asri



Sungguh, tatkala kedua tangan menadah ke langit, mata menatap erat kedua tapak tangan, ketika itulah manusia berhubung terus dengan Tuhannya. Tiada perantaraan atau medium di antara manusia dengan tuhannya. Hanya Doa! Doa yang membuatkan manusia itu, terus dekat dan berhubung dengan pemilik alam semesta, Allah Azzawajalla!


Manusia tidak perlu kepada patung-patung atau berhala-berhala atau segala kelengkapan makanan dan manisan mahupun kertas-kertas yang perlu dibakar untuk terus berhubung dengan tuhannya. Hanya DOA!


Berdoalah kepada Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina"
(Surah al-Ghafir,40 : 60)




Subhanallah! Sungguh Islam benar-benar suatu agama yang syumul! (sempurna). Allah, rahmati kami dan bukakanlah pintu hati kami untuk terus berdoa kepadamu, walau apa jua keadaan sama ada ketika kami susah mahupun di kala senang. Kerana, terhalangnya hati daripada berdoa adalah lebih malang, daripada doa yang tidak makbul.



Memetik kata-kata penulis 'cinta', Ustaz Pahrol Mohd Juoi,  

Percayalah. Allah mendidik (mentarbiyah) manusia melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan"


Apabila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Apabila kesenangan bertamu, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang seorang manusia untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi, apabila si kaya menjengah, usah pula terjejas sifat qanaah (merasa cukup dengan segala kurniaan Allah). Ingat! Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.

(Pahrol Mohd Juoi)


Dan Kami pasti akan menguji kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira, kepada orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah, 2: 155)


Maka ingatlah kepada Ku, Aku pun ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada Ku"
(Surah al-Baqarah, 2: 152)



p/s: Jom berdoa! =)



Rujukan: Novel Nota Hati Seorang Lelaki, Pahrol Mohd. Juoi.

0 comments: