Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Tuesday, June 9, 2015

Segalanya Allah

Subhanallah!

Merefleksi diri saat ini. Terkadang betapa perlunya berjuang bermati-matian untuk istiqamah. Berjuang. Mujahadah. Berperang dengan diri. Betapa kerdilnya diri. Betapa lemahnya hambamu ini.


Tika ini. Masih berpulun menggagahkan diri menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun. Allahuakbar. Betapa perlunya pengurusan masa, pengurusan diri dan keluarga. Tika ini juga masa menyantuni keluarga yang cukup bernilai. Masa berlian. Masa untuk menatap wajah-wajah kesayangan yang selama ini sentiasa di sisi. Tidak pernah hilang. 

Tika ini juga kudrat seorang ibu juga terpancar jelas. Allahuakbar. Emak, ibu, mama, ummi... Entah dari mana kudrat dan kekuatan yang dikau peroleh saat menguruskan keluarga yang penuh liku. Itulah anugerah Allah yang tidak ternilai bila bergelar seorang ibu. Anugerah yang dijanjikan syurga di akhirat nanti. InsyaAllah! Dan adalah menjadi suatu kerugian besar jika seorang anak tidak dapat berbakti kepada kedua orang tuanya saat mereka ada di depan mata!


Subhanallah. Usai menyaksikan keindahan Tuhan yang tiada tara. Sungguh, perjalanan mengenal Tuhan tidak akan pernah mengenal erti puas. Betapa alam buana ini amat luas, menandakan sebuah kuasa Agung yang tidak akan pernah ditandingi oleh sesiapa kecuali Mu, Tuhanku. Allah.

Ya Rabb.
Moga-moga kau berkati sisi-sisi perjalanan hidup kami. 
Moga-moga kau rahmati.
Moga-moga kau redhai.
Moga-moga kau pimpin kami menuju negeri akhirat yang abadi..


Ya Rabb. 
Kematian itu bila-bila.
Di kiri kanan ku, kematian bersilih ganti.
Tidak kira tua atau muda. 
Ia datang tepat pada masa. Tidak awal dan tidak lambat.
Refleksi diri. Sudah bersediakah? T_T


Ya Rabb.
Ambillah nyawa kami pada saat Engkau paling redha kepada kami. 
Pada saat kami benar-benar redha kepadaMu.


Perjalanan mengenal Tuhan yang tiada noktah. Sebuah perjalanan cinta.


Saturday, July 12, 2014

Ramadhan : bukti kasih sayang Allah


Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
(al-Baqarah: 183)


Allah SWT memulakan ayat itu dengan panggilan, "Wahai orang-orang yang beriman". Menunjukkan hanya mereka yang benar-benar menjiwai dan merasai nikmat iman saja yang akan ternanti-nanti kedatangan Ramadan al-Mubarak dan kefarduan puasa.

Mental mereka sudah disediakan dengan maklumat, ilmu pengetahuan dan kefahaman yang jelas agar perjalanan ibadah puasa pada tahun ini akan menjadi jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Subhanallah! Tepuk dada. Tanya iman. Tanyakan pada suasana hati. Bagaimana kondisi hati saat di sapa angin bayu cinta Ramadhan...

Ramadhan datang dengan membawa kasih sayang Allah untuk hambaNya. Dipenuhi dengan rahmat, ampunan bagi segala dosa yang lalu serta kedudukan darjat yang ditinggikan. Hinggakan kita dijanji dengan jaminan pembebasan daripada api neraka Allah.

Mungkin ada kedengaran dalam masyarakat yang mempersoal, andai kebaikan yang dibawa oleh puasa mengapa pula perlu berlapar dahaga? Tidak diharuskan bersama dengan isteri di siang hari Ramadhan. Sedangkan ia halal. Bukankah itu membebankan manusia?

Manusia sering alpa dalam menjaga diri mereka sendiri. Riang dengan keseronokan dunia. Bermegah dengan perhiasan yang bersifat sementara. Lantas Allah mendatangkan satu sistem yang boleh memulihkan manusia daripada penyakit yang dinamakan oleh Rasulullah sebagai 'hub al-dunia' iaitu sifat keterlaluan cintakan dunia. Tatkala nafsu dan kehendak manusia dilemahkan lantaran sistem sokongan nafsu disekat, mekanikal jasad lahiriah juga akan turut tunduk.


Sungguh-sungguh benar kita berlapar dahaga pada siang harinya. Hampir-hampir tiga belas jam lamanya. Malah, sebahagian saudara seagama kita melaluinya lebih daripada itu. 


Sumber: Akhbar

Namun, rasa lapar dahaga ini hakikatnya untuk kebaikan kesihatan manusia. Sistem pencernaan yang hampir-hampir tidak berhenti sepanjang tahun, Allah kurniakan rehat untuknya.

Lebihan glukosa dalam darah dicernakan. Himpunan lemak yang dikumpul oleh badan selama ini dibakar dan digunapakai di siang hari sebagai gantian kepada sistem sokongan makan minum yang tertahan di siang hari. Apa kesannya? Mereka yang kencing manis semakin bertenaga. Tekanan darah kian stabil. Badan menjadi lebih sihat. Rejuvinasi badan berlaku. Siapa yang untung? Bukankah itu bukti kasih sayang Allah pada kita?


Lingkaran kemampuan


Allah bersifat dengan Maha Adil dan Maha Bijaksana. Apa sahaja perintah yang didatangkan kepada manusia pastinya dalam lingkaran kemampuan mereka. Amat-amat mustahil Allah tetapkan sesuatu itu melangkaui batasan had manusia.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari kebajikan yang dikerjakan dan dia mendapat (siksa) dari kejahatan yang diperbuat..."
(Al Baqarah: 286)

Apa yang lebih indah lagi ialah lapar dahaga dan penat lelah itu tidak sia-sia. Ampunan dosa pula diberikan Allah. Ramadhan al Mubarak melalui ibadah puasa juga adalah satu fasa pemurnian jiwa manusia. Kita sering lalai dengan ayunan harta duniawi. Jarang sekali merasai kesakitan dan keperitan hidup insan lain. Tatkala nafsu diri mula dibelenggu kelaparan dan dahaga, jiwa manusia mula mengharapkan rahmat dan redha Allah. Jiwa merintih mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan.  

Andai diberi pilihan, pastinya manusia yang rasional akan mengatakan bahawa memberikan kebahagiaan kepada insan lain akan lebih memberikan bahagia kepada diri sendiri.

Lantas sedekah akan mula menjalar dalam masyarakat. Saat inilah fakir miskin dan anak yatim akan merasai nikmat kemudahan dan kesenangan sebagaimana yang dikecapi oleh insan yang berharta. Sillaturrahim  kian utuh. Perpaduan makin terikat padu. Andai dapat difahami dengan jiwa yang tenang, pasti terserlah kasih sayang rahmat Allah dalam perintah puasa atas manusia. 

Inilah satu-satunya bulan yang disebut di dalam al Quran. Tiada selainnya. Menjadikan Ramadhan terlalu istimewa. Satu ruang yang yang sewajibnya digunakan oleh umat Islam dalam bermuhasabah, merenung semula,  dan membetulkan atas segala tindakan atau keputusan yang dibuat selama ini.

Bergembiralah wahai umat Islam dengan kedatangan Ramadhan ini. Ayuh, kita kerjakan ibadah puasa ini dengan sesempurna mungkin. Tunduk patuh pada segala perintah. Hindarkan diri dari segala yang sia-sia. Andai semua ini dapat dilakukan dengan sempurna, bergembiralah dengan jaminan bahagia daripada nabi yang mengatakan bagi kita yang berpuasa dengan keimanan akan tersedia satu pintu syurga yang khas untuk kita lalui kelak. Ar-Rayyan nama diberi. Bagi yang tidak berpuasa, ini bukan laluan kamu.


Diolah dari penulis,
Ahmad Fahim Robani
Pensyarah Multimedia Melaka
Berita Harian 27 Jun 2014.