Showing posts with label Diari. Show all posts
Showing posts with label Diari. Show all posts

Monday, May 30, 2016

Menjadi agen kebaikan

Dakwah akan terus berjalan.
Sama ada kamu ditinggalkan atau kamu yang meninggalkan.


Teruslah menjadi agen kebaikan. 
Menyentuh hati-hati manusia yang kehausan untuk kenal Tuhan.
Mendampingi anak-anak pelajar untuk mereka tahu, diri mereka sangat berharga.
Untuk mereka sedar, kita tidak selamanya di dunia.
Kerana kita hanya hamba, yang perlu terus kuat berusaha.
Sehabis daya. Semampu kudrat yang dikurnia.
Menjadi yang terbaik. Dunia dan akhirat.


Wahai diri,
Kamulah model, qudwah untuk menjadi agen kebaikan orang di sekeliling kamu.
Bagaimana?
Tingkah laku, budi pekerti, lisan dan tutur bicara.
Kerana akhlak adalah segalanya.
Kasih sayang itu tunjangnya.
Ilmu penyuluhnya.
Allah jualah yang mengurnia hidayah. Menyentuh hati mereka.


Bagaimana untuk terus kuat?
Pegang dan yakinlah dengan utuh!
Solusinya hanya INTIM dengan ALLAH.
Bangun di tengah malam. 
Solat malam dan mohon kekuatan.
Kau hamburkan air mata. 
Ikhlaskan doa.
Rendahkan hati padaNya.
Al Quran dan tadabbur.
Zikir pada lidah dan hati jangan pernah henti
Diiringi restu ayahanda dan bonda 


Ketahuilah
Bangun malam itulah sumber persediaan kekuatan
Untuk kau memikul tanggungjawab dan amanah
Yang jauh lebih besar
Hanya Dia, Allah yang mengurnia kekuatan, ilham dan kemudahan

Sampai bila kita mahu di takuk lama?
Sampai bila?


Wahai diri,
Sedarlah
Bangkitlah
Perbaharui niat!
Redha Allah yang didamba 



#Nasihat & Peringatan untuk diriku.

6 hari menuju Ramadhan.




Thursday, December 25, 2014

Aku memilih lupa



Dalam diam
Hatiku terguris
Gurisannya cukup dalam


Dalam diam
Jiwaku menangis
Tangisannya membenih dendam


Namun, berdendam bukan sifatku
Pendendam bukan aku


Lalu, untuk ku seka air mata
Untuk ku lentur bahagia
Aku memilih lupa


Biar aku lupa
Seperti tiada apa-apa
Tiada yang ku lihat
Tiada yang ku dengar
Tiada kesan mata menangis
Tiada parut hati terguris


Dan aku mahu datang kepadamu
Dengan senyumanku
Seperti tiada luka
Kerana ketika itu
Aku sudah lupa..


Nukilan,
Bonda Nor

http://www.barrowhamradio.org/images/spring.jpg


https://pbs.twimg.com/profile_images/2125961772/jre.jpg

Saturday, December 13, 2014

Di atas Mihrab Cinta



Bila kali terakhir kamu menangis? Semalam? Kerana apa? Kerana Dia atau si dia? Ketahuilah, sesungguhnya nilai air mata yang gugur kerana Allah tiada tolok bandingnya! Andai hendak dibuat perbandingan, seribu titis air hujan di bumi belum tentu sama. Astaghfirullah - Dr Aizzad








                  Subhanallah! Terkadang dengan tangisan segala yang terbuku itu terzahir. Dengan tangisan seolah suatu kelegaan yang amat itu hadir. Tanpa perlu bait-bait kata untuk menjelaskan suasana. Allah. Tangisan bukan tanda lemah. Tapi tanda bukti cinta dan kasih Tuhan pada hamba-hambanya yang kuat hatinya untuk terus memuhasabah diri. Untuk tenang dan sabar pada takdir dan ketentuan Allah. Kerana ujian hidup adalah Sunnatullah..



                 Menangislah. Menangislah! Namun, harus diingat menangislah kerana TuhanMu! Bukan kerana manusia. Jika asbab nya kerana manusia, ketahuilah Allah azzawajalla yang mencampakkan perasaan itu, emosi itu, lalu gugurlah air mata. Lalu teruslah bertaubat padaNya atas segala salah dan silap pada Sang Pencipta mahu pun pada hamba-hambanya. Hamburkanlah air mata keinsafan sederasnya di atas mihrab cinta. Di tengah malam penuh syahdu. Di saat embun mulai menitis jatuh ke bumi. Subhanallah! Andai saat itu yang dikau peroleh, alangkah beruntungnya. Alangkah nikmatnya!


Manusia dilahirkan dengan tangisan, lalu di celah-celah kehidupan kita menangis, dan akhirnya kita dihantar ke kuburan juga diiringi tangisan"
(Ustaz Pahrol Mohd Juoi)



                Betapa lemahnya manusia. Hanya hamba kerdil lagi hina disisi yang Maha Agung. Siapalah kita? Hambanya yang sering saja terpalit dosa-dosa. Lalu sandarkanlah segalanya pada Pemilik Kekuatan.




Hari ini,belajarlah untuk menerima semua dugaan dengan hati terbuka dan berlapang dada. Jangan membenci sesiapa. Mereka hadir dalam setiap episod hidup kita dengan izin Allah Azza Wajalla bersebab. Untuk menjadikan kita 'manusia' dan sedar tujuan kita dihidupkan adalah untuk menjadi hamba. Senyum. :)"
(Dr. Anwar Fazal)


Di sini, aku untaikan sepotong doa titipan Ustazah Norhafizah Musa.

Doa mohon dipertanggungjawabkan segala urusan

Ya Allah, Ya Tuhanku.

Sesungguhnya banyaknya penanggungan atas diri ini Ya Allah. 
Ada hak, ada perkara yang tidak selesai antara aku dengan Engkau, Ya Allah
dan ada banyak perkara yang aku tanggung, 
segala urusan yang belum beres di antara aku dengan hamba-hambaMu Ya Allah

Wahai Allah, ada pun urusan aku dengan Engkau
Ampunkanlah Ya Allah, bereskanlah Ya Allah, lupus kirakanlah Ya Allah

Adapun, urusan aku dengan hamba-hambaMu Ya Allah,

Mohon Ya Allah
Pertanggungjawabkanlah untuk ku. Pertanggungjawabkanlah untuk ku.

(Terjemahan: Doa Tawaf pusingan ke-6)


Selamat Hari Indah!

Monday, November 3, 2014

Perjalanan Cinta


Perjalanan adalah melelahkan 
Kerana ia meragut tenaga
Namun jika dibuat dari hati
Perjalanan tidak akan penat lagi!



Perjalanan adalah kesulitan
Kerana ia berdepan dengan ketidaktentuan
Namun jika disertai tawakkal
Perjalanan akan dipermudahkan




Perjalanan itu satu kesunyian
Kerana ia melelahkan
Namun, jika dilalui dengan yang tersayang
Tidak akan ada kesunyian yang berpanjangan!

 InsyaAllah




Nukilan,
Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Monday, September 15, 2014

Mengurus harapan


Usai mencerna minda dengan sebuah artikel tulisan Ir. Ahmad Jais Alias, bertajuk Menguruskan Harapan. Sungguh, terasa benar, seolah-olah hampir pada diri saat ini. Manusia dan harapan memang tidak akan pernah terpisah. Kerana manusia bersifat lemah dan terbatas kemampuan diri. Manusia, merancang dan berharap, tetapi Allah jualah yang mengizinkan segala-galanya. 

Tatkala kita meletakkan sepenuh usaha dan keringat dalam mencapai harapan, namun tiada tawakal di akhirnya, maka ia adalah sia-sia... Bukan menidakkan sebuah harapan, kerana harapan itu penting, sebagai suatu motivasi pada manusia untuk berbuat sehabis baik. Cuma yang membezakan aku dan kamu, ialah pada niat. Adakah tunjang harapan itu, kita telah meletakkan Allah sebagai tujuan. Moga-moga dengan tertunainya harapan itu, kita semakin intim dengan Allah, semakin dekat dengan Allah. Dan dari situlah muncul keberkatan dalam segala yang dirancang dan diharapkan.

Tiada daya upaya kita wahai manusia yang berharap pada manusia yang lemah sifatnya. Sungguh, jika Allah mengkehendaki ia berlaku, maka ia AKAN berlaku, tetapi jika TIDAK Allah kehendaki, maka ia tidak akan berlaku. Maka letakkanlah pengharapan dan kebergantungan hanya pada DIA, insyaAllah tidak akan kecewa!


Di sini aku kongsikan sebahagian rencana tulisan Ir. Ahmad Jais yang pasti membuat diri kembali merefleksi dan merenung ke dalam diri..

*****

Setiap insan mempunyai harapan. Bahkan harapan adalah salah satu naluri yang tertanam dalam diri kita yang bergelar insan. Harapan menumbuhkan tekad dan usaha, manakala putus harapan mengundang kekecewaan, duka dan nestapa.

Harapan ini perlu diuruskan, kerana ibarat tenaga pendam dalaman yang menanti saat dan tika untuk meledak menghasilkan letusan kejayaan dalam kehidupan. Seseorang yang punya harapan yang tinggi menggunung, pasti bermotivasi untuk melakukan gerak kerja yang menjurus ke arah merealisasikan harapan tersebut. Sebaliknya, mereka yang mudah berputus asa akan tewas sebelum berjuang lagi.

Jika diturutkan hati dan nafsu, pastinya harapan manusia tidak akan kenal had atau siling. Manusia berharap akan hidup selama-lamanya, berharap dapat berkahwin dengan anak raja, berharap dapat harta seperti Qarun, berharap berkuasa sehebat Sulaiman, dan macam-macam lagi pengharapan yang terlintas di fikiran.

Harapan yang terlalu menggunung tanpa menjejak ke bumi nyata akan mengundang parah jika tidak kesampaian. Ia akan jadi seperti Mat Jenin, yang berharap menjadi kaya dengan hanya berangan-angan di atas pokok kelapa, dan akhirnya sakit sendirian bila jatuh bersama-sama dengan buah kelapa di atas tanah.

Ada juga yang kecewa keraca cinta dan harapan yang mendalam terhadap seseorang yang disukainya, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kasih tidak berbalas, cinta terlarang oleh keluarga atau maut yang memisahkan dua insan yang bercinta ini. Jika ketika harapan percintaan ini berderai oleh pelbagai faktor tersebut, jiwa gagal diurus dengan baik, putus harapan ini bisa mengundang putus nyawa, bunuh diri dan tindakan lain yang membahayakan pasangan kekasih tersebut.

Apa yang dibincangkan adalah harapan yang boleh diuruskan oleh diri sendiri, seperti harapan untuk berjaya dalam pelajaran, mengejar kerjaya, kekayaan dan sebagainya. Semua ini adalah perkara yang boleh berada dalam genggaman kita. Berjaya atau gagal kita mengejar harapan itu, bergantung sepenuhnya kepada usaha yang kita lakukan ditambah dengan doa dan tawakal kepada Allah S.W.T
 

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi

Tetapi bagaimana pula harapan yang melibatkan pihak lain? Kita berharap mendapat ketua yang adil, mendapat kekasih dan teman hidup sejati, kita mengharapkan usaha kita dihargai dan segala macam pengharapan yang melibatkan insan lain. Kekecewaan lebih banyak berlaku dalam perhubungan dua pihak, berbanding mereka yang berputus asa dengan diri sendiri. Putus asa akan datang bilamana harapan kita tidak bersambut oleh pihak lain. Dalam situasi ini, apa yang boleh dilakukan?


Kekecewaan bukanlah sesuatu yang negatif secara mutlak, bahkan jika diambil secara positif, ia boleh ditukar menjadi tenaga yang kuat untuk menjana kebangkitan mereka yang pernah tewas. Kekecewaan memberi ruang untuk kita menilai kembali kekuatan diri, mengukuhkan kembali sendi-sendi yang longgar, memantapkan yang lemah merancang keupayaan serta keupayaan serta kekuatan baru.


Kekecewaan bukan untuk ditangisi tetapi untuk direnungi dan difahami. Kekecewaan bukan diubati dengan tangisan (walaupun tangisan juga perlu untuk melepaskan perasaan), tetapi dirawat dengan keazaman dan ketinggian himmah dan perasaan.

Seseorang yang bijak menguruskan kekecewaan dan bangkit daripada kejatuhan, insyaAllah akan beroleh hikmah dalam menguruskan harapan. Tidak semua harapan sendiri dapat digapai. Tidak semua harapan orang lain, terhadap kita perlu dipenuhi. Namun jangan jemu, untuk sentiasa mengharap yang terbaik.

Di dalam Islan, salah satu sifat seorang Mukmin adalah raja' (pengharapan) kepada Allah s.w.t. Harapan kepada Allah s.w.t tidak akan dikecewakan kerana Allah adalah sebaik-baik tempat kita meletakkan harapan.

Harapkan bunga, bungakan layu..Harapkan manusia, manusia akan pergi...Harapkan harta akan binasa..Harapkan Allah tidak akan musnah.."


http://data2.whicdn.com/images/95076947/thumb.jpg




Sumber rujukan: Majalah Solusi Isu No. 18
Artikel Menguruskan Harapan 
Penulis: Ir. Ahmad Jais Alias











Thursday, May 29, 2014

Universiti Kehidupan

Jika semua yang kita kehendaki terus kita miliki
Lalu dari mana kita belajar ikhlas

Jika semua yang kita impikan segera terwujud
Lalu dari mana kita belajar sabar

Jika setiap doa kita terus dikabulkan 
Lalu bagaimana kita dapat belajar ikhtiar

Seorang yang taat pada Allah
Bukan bererti tidak ada cacat dan kekurangan

Seorang yang tekun berdoa
Bukan bererti tidak ada masa-masa sulit

Ketika kerjamu tidak dihargai 
Saat itu kamu sedang belajar tentang keikhlasan 

Ketika kamu lelah dan kecewa 
Saat itu kamu sedang belajar tentang kesungguhan

Ketika kamu harus membayar biaya yang sebenarnya tidak perlu kau tanggung
Saat itu kamu sedang belajar tentang murah hati dan dermawan

Hari-hari yang dilewati 
Sejatinya harus diingati
Bahawa kita sedang menimba ilmu 
Dalam sebuah Universiti Kehidupan...



Pantai Tunjuk Laut, Mersing Johor


kerana lautan yang membiru,
gelora ombak yang datang dan pergi,
pepasir halus putih bersih
serta angin yang menderu...

sentiasa menggetarkan jiwaku
Menggamitku pada Satu Kuasa
itulah dia kebesaran Tuhan yang maha Agung
Pemilik segala khazanah langit dan bumi..

Subhanallah!

Tuesday, May 13, 2014

Ampunilah wahai Allah..

Ya Allah Ya Tuhan kami
Ampunilah segala dosa-dosa kami Ya Allah


Ampunilah Ya Allah
Segala Janji yang telah kami mungkiri..


Ampunilah Ya Allah
Segala Amanah yang telah kami khianati..


Ampunilah Ya Allah
Segala Ujian Mu yang tidak sabar kami menanggungnya..


Ampunilah Ya Allah
Sekalian banyak Nikmat Mu yang tidak kami syukuri...


Ampunilah Ya Allah
Segala amalan, segala perbuatan, segala tindakan Hidup kami, 
yang tidak kami jadikan Engkau sebagai Matlamatnya... 


Subhanallah...




p/s:
48 Hari menuju Ramadhan..

Wahai Allah,berkatilah bulan Rejab ini dan Syaaban yang akan datang..
Dan sampaikan kami dalam bulan penuh keampunan dan rahmat, Ramadhan..


Dipetik dari doa yang dibacakan oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam Segmen Usrati. IKIM fm.- Daurah Ramadhan 2







Sunday, March 2, 2014

Doa Memohon Kemuliaan



Bismillahirahmanirrahim


Ilahi, 
Wahai Tuhanku, Wahai Allah
Apabila Engkau menerima taubatku
Apabila Engkau mengampunkan dosa-dosaku

Tuhanku, Muliakanlah aku dengan kekuatan hafazan
Dengan kejelasan kefahaman
Sehingga aku dapat menghafaz dan memahami
Segala apa yang aku dapat dan dengar dari Ilmu dan Quran..

Dan Muliakanlah aku dengan suara lunak merdu
sehingga sesiapa yang mendengar suaraku, bacaanku, kata-kataku,
Membaca atau melihat perkataanku
Bertambah gementar hati mereka
Tersentuh hati mereka
Menggoncang jiwa mereka
Bertambah syahdu
Menjadi sebab musabab mendapat hidayah Mu
Walaupun sebenarnya mereka adalah orang yang berhati batu

Dan muliakanlah  aku Ya Allah
Dengan limpahan rezeki yang halal
Dan kurniakan kami rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka...

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui






P/s: Doa ini sesuai diamalkan terutama oleh kanak-kanak lelaki atau dewasa yang insyaAllah menjadi Imam di dalam solat. Yang mengalunkan ayat-ayat cinta dari Allah. Juga tidak terkecuali buat para pendidik dan murabbi juga sesiapa sahaja yang berniat menyebarkan kebaikan dan kemuliaan.. InsyaAllah =)


Sumber: Ustazah Norhafizah Musa

Tuesday, December 17, 2013

Skrip Kehidupan

Subhanallah! Allahuakbar

Begitu pantas masa berlalu hingga tidak sedar tahun 2013 Masihi bakal melabuhkan tirai dan meninggalkan kita. Namun, sebagai manusia yang proaktif masa tidak menjadikan siapa kita, tetapi siapa kita yang menjadikan masa sebagai peluang untuk digunakan dengan sebaiknya atau tidak. Pilihan ada di tangan kita sendiri!


Refleksi diri apakah makna kehidupan sepanjang usia ini. Apakah sudah semua suruhan Allah telah diikuti? Apakah segala larangan Allah telah kita patuhi? Subhanallah.. Sungguh, kita hanya hamba yang lemah yang ada naik turun imannya. Namun, turunnya iman bukan bermakna turunnya darjat kita sebagai hambanya, malah naik darjatnya setelah belajar daripada kesilapan, lalu menjadi hambanya yang lebih baik dan lebih baik...


Skrip kehidupan ku, ku untaikan di sini agar menjadi saksi niatku dan doaku pada yang Maha Esa. Meskipun, ku tahu Allah Azzawajalla telah lebih maha mengetahui lahir batin ku. 


Allah Tuhanku, Tuhanku yang menguasai segala langit dan bumi, 
Allah Tuhanku, Pemilik segalanya didunia dan akhirat, 
Allah Tuhanku, Pemilik cinta, hati dan kasih sayang


Izinkan daku menjadi anak yang solehah, 
Yang dapat berbakti kepada kedua ibu bapa ku selagi mereka ada di dunia ini
Yang berkata kepada mereka dengan suara yang rendah, lunak dan lembut terhadap keduanya
Yang selalu berdoa untuk mereka, agar menjadi ladang pahala buat mereka di Sana



Allah, kurniakanlah yang terbaik buat diri kami
Bersihkan hati kami
Sucikan jiwa dan fikiran kami
Lapangkan dan tenangkan hati nurani, jiwa dan fikiran kami
Ikhlaskan kami dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah 
Sebagai hambamu dan khalifah di muka bumi
Menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia dan makhluk mu di muka bumi ini
Yang cintakan ilmu, mendalami ilmu, mengamalkan ilmu, lalu menyebarluaskan ilmu yang dipinjamkanMu kepada manusia lain
Diperluaskan rezeki yang halal
Semata-mata mengharapkan redha Mu, 
Dan bersyukur dengan segala kudrat yang dikurnia
Menuju syurga, negeri akhirat yang abadi



Ya Arrahman, Arrahim
Pemilik Kasih dan sayang
Kurniakan kami kasih sayang, cinta untuk aku lebih mencintaiMu, merasakan kelazatan mencintaiMu, 
Lalu dengan rasa cinta yang kau anugerahkan, 
Aku menyayangi semua manusia dan makhluk di muka bumi ini
Tanpa hasad, tanpa dengki, tanpa sifat mazmumah
Sirami kami dengan sinar cahayamu, rahmatmu
Membentuk peribadi dan akhlak seindah akhlak Rasulullah Saw
Dikurnia ketegasan dalam kelembutan
Agar kami teguh dan istiqamah, di jalanMu



Aku berdoa dan akan terus berusaha
Dikurnia ilmu sebagai seorang anak, kakak, guru, isteri, menantu, sahabat yang solehah
Lalu diamalkan dan dikongsi pada yang lain
Dipertemukan jodoh yang kau redhai
Seorang lelaki bergelar suami yang soleh,
beriman dan cintakan masjid, bertanggungjawab, pengasih, penyayang, sihat dan tidak merokok, 
Cergas, tegap, bijak, indah mata memandang...
Menjadi Nakhoda bahtera menuju Syurga
Dipermudahkan jodoh pertemuan
Menuju jalan pernikahan yang Kau redha, yang Kau sukai
Menabur benih di ladang pahala sebagai seorang isteri, murabbi dan ibu mithali
Mencintai dan menyayangi suami, anak-anak, ibu bapa dan seluruh kaum kerabatku
Seperti mana Khadijah mentaati suaminya, dan kasihnya Aisyah kepada Rasulullah Saw..
Sebagai persediaan sebagai penghuni syurgaMu..
Menuju negeri indah yang kekal abadi


Amin, amin ya Rabbal 'alamin



Abah dan mak, menunaikan haji pada tahun 2000