Thursday, August 18, 2011

Meruntuh Ego, Ikhlas

Bismillah...



Entry ini ditulis dengan pelbagai gejolak kerana saya tidak mahu ianya bercampur dengan hal peribadi dan apa jua bentuk bisikan halus yang datang dari syaitan. Namun, saya tidak mahu entry ini ditulis dengan semberono sahaja tanpa mendatangkan apa-apa manfaat. Kerana tika ini, diri merasakan 'ego' itu masih menebal. Ego yang terkadang memburukkan keadaan, membuat jiwa lebih menderita dan dalam masa yang sama seolah menambah titik hitam di dalam hati. Astaghfirullah.. Mungkin ego yang saya maksudkan lebih kepada sifat negatif. Atau adakah ego yang bersifat positif?



Untuk menulis entry ini saya perlu melakukan sedikit 'research' atau carian maklumat. Terasa begitu banyak yang tersirat dan tidak mampu dilantun dengan kata-kata. Ditambah dengan perjalanan Ramadahan yang sudah hampir ke fasa penghujung. Dalam hati kecil, saya berdoa.


Ya Allah, janganlah kau biarkan kami mensia-siakan 10 malam terakhir Ramadhan ini. Bantulah dan bimbinglah kami untuk beribadat kepada Mu agar Ramadhan ini tidak berlalu begitu sahaja dengan tidak memberi apa-apa makna buat kami. Bantulah kami merebut malam al Qadr Mu. Ikhlaskan hati kami, ikhlaskan, ikhlaskan, ikhlaskan lah hati kami Ya Allah! Amin, Ya rabbal 'alamin. "


Sungguh. Saya merasakan Ramadhan kali ini cukup berbeza dari Ramadhan tahun-tahun yang lepas. Mungkin kerana tika ini, saya berpeluang menyambutnya bersama dengan keluarga tercinta di rumah. Dan kerana itu, keperluan mujahadah begitu besar sama sekali. Serta merasakan diri harus untuk mendewasa. Mendewasa! Bukan setakat mendewasakan umur, tetapi tingkah, pemikiran, perlakuan, tutur kata dan segala aspek kehidupan.



Berbalik kepada tajuk entry. Saya ambil kisah dari tinta Islam, ketika Perang Yarmouk (cari lagi detail mengenai perang Islam ini ok!). Berkisar mengenai seorang pemuda bernama Ikramah. Anak kepada Abu Jahal. Nama Abu Jahal cukup terkenal dengan kelantangannya dan kebiadapannya menentang Rasullullah SAW. Tercatat nama Abu Jahal dalam banyak moment dalam agendanya menentang Rasullullah menyebarkan dakwah. Ikramah pada mulanya juga seperti bapanya. Begitu memusuhi Baginda sehingga pernah membantu bapanya melempar najis ketika Nabi Allah sedang solat dan mencekik leher Baginda.



Namun, sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Kerana ketulusan hati isterinya yang ketika itu baru memeluk Islam  mempertahankan dirinya kepada Rasullullah, jiwanya luluh dan akhirnya menyebut kalimah syahadah.



Detik getir ketika perang Yarmouk, di mana ketika itu Ikramah telah mati syahid. Pada ketika itu, di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat hendak memberi minum kepada salah seorang dari mereka. Tetapi seorang demi seorang menolak pelawaan tersebut.



Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang daripada mereka, maka masing-masing berkata, “Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku.” Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu"



Dalam riwayat mengatakan, “Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata, 



Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku.” Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata, “Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku.” 



Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorang pun di antara mereka yang sempat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya!



SubhanaAllah!  Begitu mulia hati mereka. Begitu rendah jiwa mereka. Itulah dia Itsar (melebihkan orang lain) , sifat yang amat disanjung dalam Islam. Begitu ikhlas. Tiada langsung titik ego yang tercalit. Tiada langsung rasa mementingkan diri. 






Kisah ini secara tidak langsung merefleksi diri. Bahawa sesungguhnya segala-segalanya milik Allah. Terkadang, saya tidak menafikan, sifat pentingkan diri terkadang muncul dan menjengah. Tanpa memikirkan kepentingan orang lain yang mungkin lebih memerlukan dan dalam banyak lagi keadaan dalam kehidupan seharian yang dilalui tanpa sedar.






Akhir kalam. Salam merebut malam al Qadr.  Moga diberi kesempatan dan kekuatan dari yang Maha Esa. InsyaAllah.



Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan pengajaran yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk" (An Nahl : 125)



Sumber artikel : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia 

0 comments: