Thursday, July 14, 2011

Tawakkal kita

Saya kira saya belum pernah memberi ulasan atau entry berkaitan cerita atau filem. Tipu kalau saya katakan diri ini langsung tidak menonton cerita-cerita atau filem-filem tika ada waktu senggang terutama ketika di rumah bersama keluarga tercinta. Tipu juga kalau saya katakan saya langsung tidak menyentuh sebarang bentuk hiburan  untuk mengisi masa terluang. Ah! Ini lah realitinya. Realiti yang perlu dihadapi dengan berhati-hati!



Mungkin pada suatu ketika kita bisa berkumpul bersama lingkungan para sahabat yang soleh dan solehah, yang sentiasa mengajak untuk bersolat berjemaah, membaca al Quran dan mentadabbur maknanya, sama-sama ingat mengingati tatkala ada yang 'down', mengajak untuk bangun malam untuk meneguhkan cinta kepada sang pencipta, saling menguatkan antara satu sama lain. Tarikan duniawi pula begitu lemah sama sekali. Oh! begitu senang dan indahnya hidup ini jika seluruh hidup ini begitu terbimbing oleh para murabbi dan mutarrabbi yang sentiasa menjaga di sisi. Namun hakikatnya Tidak!



Kerana segalanya bermula pada diri sendiri. Kerana dirilah yang akan belajar untuk mengenal siapa kita yang sebenarnya. Kerana diri sendirilah yang berhadapan dengan segala rencah realiti hidup. Kerana diri sendirilah yang memilih jalan yang bakal dilaluinya. Kerana itulah, amat penting 'fikrah islami' ini perlu disemai, dibajai seterusnya disiram agar tumbuh suatu dahan yang teguh menjulang ke langit yang akar umbinya begitu kukuh untuk dicabut dan dirosakkan oleh anasir-anasir yang punya rencananya tersendiri. Itulah dia 'tarbiyah' atau didikan yang datang dari Allah.



Ok. berbalik kepada filem yang bakal saya kongsikan. Dua buah filem sebenarnya. Kerana kedua-duanya datang dari produksi dan penulis yang sama. (jika saya salah, betulkan ya). Walaupun ianya berkisar dan bersumberkan pada kitab Bible dan pengaruh kepercayaan agama Christian, namun bagi saya tunjang ketauhidannya sama iaitu percaya bahawa ada SATU sahaja pencipta di alam fana ini iaitu Allah. Allah azzawajalla. (Christian bertuhankan Jesus)







 Nothing is impossible if God with you" (Matthew) - Facing the Giants 


Dan tidak banyak bezanya dengan ayat dari al-Quran yang membawa maksud akan kekuasaan Allah yang mampu menjadikan segalanya walau pada zahirnya di luar kemampuan manusia.


Sesungguhnya urusanNya apabila DIA mengkehendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu." (Yassin : 82)


Kepercayaan dan keyakinan akan kekuasaan Tuhan yang mampu melakukan apa jua yang dikehendakinya. Itulah yang saya kira, kita beriktikad dan beriman akan wujudnya Allah, Tuhan yang sekalian alam yang zatnya tidak terjangkau oleh fikiran dan akal manusia.



Mesej ini cuba disampaikan dalam kisah yang dipaparkan yang mana tidak melupakan usaha yang harus seiring dengan tawakkal dan pengharapan akan pertolongan dari yang maha berkuasa.



Kedua-dua kisah yang dipaparkan berkisar bagaimana manusia berhadapan dengan masalah-masalah dan dugaan yang begitu menggugat jiwa. Yang terkadang menggetarkan kepercayaan bahawa segala permasalahan dan dugaan itu telah Allah rencanakan asbab dan musababnya. Itulah dia 'ujian'. Ujian yang datang untuk melihat sejauhmana ketaatan dan kebergantungan manusia pada DIA, penentu segalanya. 



Elemen dakwah dalam kisah ini begitu jelas. Bagaimana keyakinan individu itu, di perkuat oleh 'murabbi' yang bijak mengatur bicara dalam mendidik mutarabbinya agar terus teguh berpegang pada prinsip dan akidah. Bagaimana saya kira, ada sebahagian babak dalam Facing The Giants, pelajar-pelajarnya telah membuat bulatan dan saling menginsafi serta mengingati antara satu sama lain. Dalam perkataan lain kita kenal ia sebagai 'halaqah'  atau 'usrah'. Suatu bentuk wadah tarbiyah individu yang disarankan oleh pemimpin as-Syahid Hassan Al Banna. Oh! menarik bukan?








Saya kira, selain keterujian kepercayaan mereka pada Tuhan yang satu, kisah yang dipaparkan turut terselit beribu nilai-nilai murni yang semakin lama semakin nipis di dada setiap daripada kita. Bermula bagaimana kita memulakan bicara, setiap patah perkataan yang keluar di bibir, komunikasi dengan setiap individu di sekeliling terutama bagaimana kita menjaga hubungan dengan kedua ibu bapa dan sudah tentu hubungan dengan DIA, sikap usaha yang bersungguh-sungguh, sabar dan banyak lagi nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan dalam filem ini. Tidak rugi anda menontonnya. 



Saya fikir, tidak perlu untuk saya menceritakan sinopsis kedua-dua kisah ini. Tonton dan fahami setiap patah perkataan yang dipaparkan. (Tonton bersama subtitle). InsyaAllah. Beroleh manfaat. Selamat menonton!




Penulis: Jazakallah kpd Ustaz hasrizal yang memperkenal cerita ini. :)

0 comments: