Saturday, August 10, 2013

Betul ke nak ke syurga?

Alhamdullilah. Syukur yang tidak terhingga pada yang Maha Esa atas segala limpahan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat Iman, Islam, dan kesejahteraan yang dikurnia Allah adalah amat bernilai yang tidak akan mampu diperoleh di mana-mana. Tidak terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri dan memohon kemaafan kepada semua atas segala kekhilafan diri sama ada dilakukan secara sedar atau pun tidak. Kerana pada akhirnya, khilaf itu datang kerana kita hanya manusia biasa. Hambanya yang sangat lemah. Iringan doa untuk Syawal yang berbahagia ini, moga ikatan silaturrahim bertambah erat dan ukhuwah yang terbina terus terpelihara serta beroleh keberkatan dariNya. InsyaAllah.



Berbalik kepada tajuk entri. Betul ke nak ke syurga? Siapa yang tidak ingin ke syurga? Siapa?? Tiada siapa yang tidak mahu ke sana, singgahsana indah nan abadi.. Setiap dari kita pasti mahukan yang terbaik bagi pengakhiran perjalanan hidup ini. Persoalannya, LAYAK KAH kita? Ah! Hanya mampu mengetap bibir.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan, hanya dengan mengatakan, "kami telah beriman" dan mereka tidak diuji? " 
(al Ankabut, 29:2) 



Dan kehidupan dunia hanyalah permainan & senda gurau, sedangkan negeri akhirat itu sungguh lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti? "
(al An-'am, 6:32) 


Ah, kita tahu hakikat perjalanan hidup ini adalah sementara, dan negeri akhirat itu adalah kekal abadi.  Kita tahu hakikat bahawa bukan mudah menuju ke singgahsana indah nan abadi itu. Namun kita hanya tahu, tapi tidak sedar, kerana acap kali kita tewas dengan mainan nafsu sendiri. Acap kali juga kita kalah dengan keindahan dan keseronokan dunia ditambah dengan godaan syaitan yang datang bertalu-talu. 


Bibir masih mengatakan Syurga masih menjadi matlamat utama namun mengecewakan seolah-olah usaha sudah sampai di situ. Masih tidak mencapai target. 


Harapan yang terluah di bibir (qauli) masih belum masih belum dibuktikan sepenuhnya pada hati (qalbi) dan tubuh badan (amali). Apa benar hati sudah cukup mengejar redha Allah berbanding keutamaan lain??Sudahkah kecintaan Allah didahului melebihi tujuan yang lain? Mengetap lagi bibir.


Ayuh, kita semak semula beberapa perkara yang menjadi penyebab matlamat ke syurga seolah-olah kabur.

1. Pungut IKHLAS yang berciciran
Mungkin sifat ikhlas kita sudah lama rosak dan tercicir akibat pelbagai keseronokan dan kelekaan. Ikhlas itu bagaimana? Orang yang ikhlas tidak akan mengharap langsung penilaian dan penghargaan manusia bahkan keredhaan dan keutamaan Allah yang dicari. 

Tanda Ikhlas : 1.Tidak menoleh kepada pujian dan sanjungan. 2.Tidak peduli kepada sebarang cercaan dan celaan"
(Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)

 2. Sibukkan diri dengan ketaatan
Mujahadah. Ah! Ingat senang ke? Mungkin itu yang tergetus di hati. Tidak mengapa. Barulah ia dinamakan ujian bukan? Mujahadah seperti berperang. Berperang dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu. Ada tips mengatakan bila maksiat menguasai diri tepuklah dada, dan katakan "Aku takut pada azab Allah! Aku mahu syurga!"  Teruslah memujuk diri, mendisiplinkan diri untuk terus berada dalam kebaikan serta menyebarkan kebaikan. Ayuh sibukkan diri!

Sepotong doa agar sentiasa berada salam ketaatan:
Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini mendatangkan kebaikan kepadaku dan matikanlah aku jika kematian itu yang lebih baik bagiku dan jadikanlah kehidupan itu penambah kepada pahalaku dan kematian itu sebagai kerehatan bagiku daripada segala kejahatan"





Rujukan: Olahan Majalah At-Taqwa Isu 4, Penulis: Wan Nor Zadilah Wan Mohamad (ms 24)